Khamis, 9 Oktober 2014

JANGAN BERLEBIHAN DALAM HAL MAKAN DAN MINUM

JANGAN BERLEBIHAN DALAM HAL MAKAN DAN MINUM


Rujukan :
SOLAT MALAM MENGGAMIT KEDAMAIAN
Terjemahan : Syeikh Abu Muhammad Tolha Al-Khairi




Salah seorang ahli hikmah berkata : "Wahai golongan manusia, janganlah anda terlalu banyak makan, kelak anda akan banyak minum, kemudian anda akan banyak tidur. Banyak tidur akan menyebabkan kerugian yang banyak pada diri anda. Setelah itu, anda akan banyak menyesal."

          Wahai saudaraku....! Inilah sebuah wasiat yang sangat berharga, iaitu anda jangan banyak makan dan minum sehingga menyebabkan anda "kerugian dan menyesal". Walaupun, tidak disebutkan apakah perkara yang rugi dan yang disesalkan itu, tetapi bagi orang yang telah mengalami makan berlebih-lebihan itu sahaja yang telah menghadapi risikonya dan sementara bagi orang yang mengawal makan dan minumnya mengikut kadarnya telah merasai nikmatnya. Apa yang jelas syarat utama untuk memudahkan bangun malam ialah kurangkan makan, kerana banyak makan menjadi penghalang untuk terbangun malam bagi melakukan SOLAT MALAM.

          Oleh sebab itu Nabi Muhammad S.A.W mengingatkan bahawa, "Tiada suatu tempat yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk (bahaya) daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu memakan sekadarnya. Hendaklah kamu mengisi perut dengan hanya sepertiga ruang untuk makanan dan sepertiga lagi untuk air dan sepertiga lagi untuk udara bagi pernafasan." (Riwayat Tirmizi dan Ahmad).

          Sementara Imam al-Ghazali dalam Minhajul 'Abidin menjelaskan bahawa terdapat 10 bahaya terhadap manusia berpunca daripada berlebihan makan dan minum.

1. Banyak makan menyebabkan hati menjadi keras dan terhapus cahaya.

Dalam sebuah hadis yang agak masyhur bahawa Nabi S.A.W. mengingatkan bahawa : "Hati anak Adam terbentuk mengikut makan dan minum."

Dalam hadis lain Nabi S.A.W bersabda lagi : "Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebihan) makan dan minum, walaupun yang halal, kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air."

Dalam al-Quran pula Allah mengingatkan agar jangan makan makanan secara berlebihan sehingga walaupun dengan makan minum yang halal. Firman Allah, maksudnya : "Makan minumlah kamu, tetapi jangan berlebihan." (Surah al-'Asaf ayat 31).

Hukama' pula ada berkata : "Perut itu umpama kuali yang berada di bawah hati, bila ia mendidih asapnya akan terkena pada hati. Jika banyak asap, ia akan kotor dan menjadi hitam."

Ertinya, mengikut tafsiran di segi saintifik, bahan kimia daripada makanan itu menghasilkan toksid yang boleh membinasakan hati dan jantung.


2. Banyak makan akan menghilangkan kemanisan beribadah.

Seperti seorang seniman yang sedang asyik menumpukan kepada kanvas lukisannya, ia pasti lupa alam sekelilingnya. Setelah selesai dihasilkan lukisannya, ia akan terasa suatu kepuasan. Demikian juga dengan ibadah yang dilakukan dengan khusyuk, selesai sahaja melakukan ibadah akan terasa suatu kepuasan dan nikmat.

Sayidina Abu Bakar berkata : "Sejak aku menganut Islam, belum pernah perut aku kenyang dengan makanan. Kerana aku ingin benar mendapat kemanisan dan kepuasan dalam beribadah. Juga belum pernah aku kenyang dengan minuman, kerana aku sangat rindukan Allah."

Nabi S.A.W. bersabda : "Tiada seorang yang dapat melebihi Sayidina Abu Bakar dalam rasa kemanisan beribadah, puasa dan solat. Sesungguhnya, kerana sesuatu yang tersimpan di dalam dadanya (takwa)."

Kata a-Daroni : "Saat aku merasa amat manis sekali dalam beribadah ialah semasa perutku rapat dengan belakangku (terlalu amat lapar)."


3. Banyak makan hati mudah diruntun kepada maksiat.

Seseorang yang sentiasa kenyang sentiasa lupa daratan. Segala pancainderanya, seperti mata, telinga, lidah dan kemaluannya cenderung untuk melakukan perkara haram. Tetapi bila perut lapar, semua anggota menjadi aman dan tenteram daripada runtutan maksiat, hatta perkara fudhul (tidak berfaedah).

Berkata al-Ustaz Abu Jaafar Rahimullah ta'ala : "Perut itu jika ia lapar, anggota lain menjadi kenyang (tidak berkeinginan) terhadap segala perkara yang tidak baik. Tetapi jika ia kenyang, maka segala anggota lain menjadi lapar (teringin) kepada sesuatu tanpa batas dan banyaklah perkara yang dituntutnya."

Menurut Imam al-Ghazali, setiap perbuatan, ucapan serta tindak-tanduk seseorang lebih banyak dipengaruhi oleh makan minum. Jika makan yang haram, maka yang terhasil daripada anggota dan pancainderanya adalah perkara haram juga. Jika makan yang halal, yang terhasilnya adalah perkara baik dan manfaat serta keuntungan di sunia dan akhirat. Tapi jika makan berlebihan, walaupun halal, ia mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan pula.


4. Banyak makan akan melemahkan akal dan terhalang daripada menjadi cerdik.

Benar sekali apa yang disebut oleh Imam al-Daraqutni : "Bila engkau ingin sesuatu dari keperluan dunia dan akhirat, maka janganlah engkau makan dahulu sehingga perkara yang engkau ingin itu tercapai atau berhasil. Kerana makan itu akan merubah fikiran menjadi lemah. Bukti ini telah dialami oleh banyak orang yang mempraktikkannya."


5. Banyak makan menyebabkan kurang ibadah.


6. Banyak makan akan mudah terjerumus kepada subahat dan mendekati perkara haram.

Menurut Imam Al-Ghazali, barang halal itu datang kepada kamu hanya sekadar untuk menjadi bekalan sahaja. Seperti mana disebut oleh Nabi S.A.W. : "Sesungguhnya yang halal itu tiada datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi bekalan yang sekejap sahaja. Tetapi yang haram itu datang kepada kamu bertimbun-timbun. Banyak makan makanan yang subahat mudah menimbulkan was-was dalam hati, sukar menghafal ilmu dan mudah lupa."

Oleh sebab itu dalam hadis riwayat Bukhari bahawa Rasulullah S.A.W. mensifatkan, diantara halal dengan haram itu terdapat di tengah-tengahnya perkara subahat. Walau pun perkara subahat belum haram, tetapi ia lebh mendekati ke arah haram dan termasuk perkara larangan, bagai taman larangan kawasan istana. Kerana, sesiapa yang suka meniti di atas syubhat, lambat laun ia akan terjerumus kepada haram. Bagi orang wara', perkara syubhat pun dijahuinya bagai menjahui perkara haram.


7. Banyak makan menyebabkan timbul pelbagai perkara buruk.

Antara perkara buruk atau kesan sampingan berpunca daripada banyak makan ialah :
a) Hati dan badan menjadi penat kerana sibuk berusaha mencari perbelanjaan untuk tujuan menyediakan makanan yang lazat-lazat dan mahal-mahal, perencah dan resepinya yang pelbagai macam untuk melayan ragam seleranya.

b) Badan akan menjadi penat dan letih dalam pencari pelbagai resepi, menyiapkan pelbagai jenis masakan, mencuci alat-alat yang telah diguna untuk makan dan sebagainya.

c) Menghabiskan masa, fikiran, dan pertimbangan untuk mengimbangkan resepi agar terasa lazat. Kerana bimbangkan risiko kekurangan salah satu bahan, nanti kurang sedap.

d) Selepas makan, kesibukan itu bersambung lagi, seperti kena mencuci gigi, menyiapkan peralatan selepas makan seperti kertas tisu, menghidang makan ringan sebagai pencuci mulut dan lain-lain.

e) Jika perut allergic terpaksa pula pergi ke tandas. Menghadapi risiko kesan sampingan seperti terkena darah tinggi, lemah jantung atau kencing manis dan lain-lain, maka terpaksa pula jumpa doktor dan sediakan ubat sepanjang masa.

f) Selalu rugi dalam bidang agama seperti :
i) Banyak makan menjadikan seseorang malas beribadah atau melambat-lambatkan solat, kerana terasa penat akibat perut terlalu kenyang. Jika ibadah pun telah mengurangkan perkara-perkara sunat.

ii) Orang yang banyak makan akan sentiasa hendak membuang air kecil atau air besar atau sentiasa kentut. Oleh sebab itu wuduknya tidak dapat kekal. Ertinya, ia tidak mampu kekal dalam keadaan suci, iaitu sentiasa berada dalam  wuduk. Sedangkan orang yang sentiasa berada dalam keadaan berwuduk, menurut hadis, ia sentiasa diampuni dosa oleh Allah sepanjang ia berwuduk.

iii) Banyak makan menyebabkan kurang tahan beriktikaf atau tidak dapat berlama-lama dalam masjid, kerana sering keluar untuk keperluan cari makan atau kerana terbatal wuduk (sentiasa kentut) atau kerana hendak membuang air kecil atau air besar.

iv) Orang yang banyak makan ia tidak tahan berpuasa, kerana tidak tahan berlapar.

Demikian beberapa kelemahan keburukan orang yang banyak makan dan ia merupakan satu kerugian. Sesungguhnya puasa, iktikaf, dawamut toharah (sentiasa berkeadaan suci) dan lain-lain itu merupakan perkara yang menjadi ibadah dan mendapat pahala. Sedangkan banyak makan, menyebabkan peluang untuk berada dalam keadaan ibadah dan mendapat pahala terganggu oleh kesan sampingan akibat makan banyak seperti perasaan malas, mengantuk, terkentut, buang air kecil dan besar dan lain-lain.

Kerana itu Nabi S.A.W. mengingatkan : "Punca segala penyakit ialah rakus atau lahap dalam makan dan punca segala ubat ialah berpantang."

Malik bin Dinar pernah berkata : "Wahai saudara ahli Basrah, disebabkan makan terlalu banyak, maka kita terpaksa kerap pergi ke tandas, tempat yang hina."

Ertinya, kita dimalukan oleh Tuhan. Oleh sebab itu, maka aku amat inginkan sekiranya diberi rezeki oleh Allah, cuma cukup untuk menjilat lidah sahaja pada batu kerikil."

Oleh itu orang yang cuma menghabiskan masa untuk fikir makan dan minum sahaja, maka semua urusan yang dilakukan (untuk mencari makanan) hanya semata-mata untuk keduaniaan dan tidak ada apa-apa bahagian untuknya di akhirat. Kerana apa yang diusahakan semata-mata untuk menghasilkan najis dan mengakibatkan pula badan menjadi lesu, menanggung penyakit dan masa (umur) terbuang percuma sahaja.


8. Banyak makan menyebabkan terasa amat sakit ketika "SAKARATUL MAUT" dan ketika urusan perhitungan di akhirat menjadi rumit.

Dalam hal ini Nabi S.A.W. ada mengingatkan : "Berat atau ringanya sakit sakaratul maut itu bergantung kepada sedikit atau banyaknya kenikmatan dunia yang kita ambil. Jika banyak kenikmatan dan kesenangan dunia yang kita ambil dan nikmatinya, maka beratlah kita hadapi sakit sakaratul maut, kerana sedih dan sayang untuk meninggalkan dunia yang telah mendarah-daging dalam hidup kita."


9. Banyak makan menyebabkan kurangnya ganjaran di akhirat, kerana nikmatnya telah diterima di dunia lagi.

Firman Allah, maksudnya : "Dan ingatlah pada hari ketika orang kafir dimasukkan ke dalam neraka, kepada mereka dikatakan; 'Kamu telah menghabiskan rezeki dan kesenanganmu yang baik di dunia dan kamu telah pun bersenang-senang denganya, maka pada hari ini (akhirat) kamu dibalas pula dengan azab yang menghinakan. Kerana kamu dahulu (semasa) di dunia sombong dan fasiq tanpa hak." (Surah al-Ahqaf ayat 20).

Jika kita hanya mengambil dan menggunakan nikmat dunia semata-mata untuk merasakan kesenangan di dunia, maka akibatnya nikmat di akhirat akan dikurangkan oleh Allah.

Diriwayatkan bahawa suatu masa Khalid Ibnu Walid menghidangkan makanan yang enak-enak kepada Sayidina Umar al-Khatab. Lalu Sayidina Umar berkata : "Makanan yang enak ini kita akan makan sekarang, tetapi bagaimana dengan nasib orang fakir dalam kalangan sahabat Muhajirin yang meninggal dunia, kerana belum pernah kenyang makan roti yang dibuat daripada sya'ir (gandum yang amat murah harganya). "Khalid menjawab " "Ya, Amirul Mukminin, bagi mereka sudah ada syurga. Sekarang mereka sudah mendapat ganjarannya. "Kata Sayidina Umar lagi : Kalau begitu, mereka sudah dapat syurga, sedangkan kita baru dapat makanan yang enak ini. Amat celakalah kita, kerana di antara kita dengan mereka berbeza amat jauh sekali."


10. Bahaya makan banyak merumitkan soal jawab akhirat.

Bahaya makan yang terakhir ialah mengakibatkan seseorang itu akan menghadapi saat rumit ketika berhadapan dengan soal jawab akhirat.

Walau pun memakan rezeki yang halal, tetapi jika di akhirat kita disoal siasat oleh Allah di Mahkamah AKhirat tentang daripada mana kita perolehi yang halal itu dan ia diperhitungkan satu persatu. Jika kita memakan makanan yang subahat, kita akan disalahkan, kerana hanya ingin bersenang-senang. Sedangkan hal ehwal keadaan jiran, orang miskin dan lain-lain orang yang susah, tanpa dibantu, itu akan ditanya kelak oleh Allah kepada kita.

Sesiapa yang tidak membantu orang yang memerlukan bantuan, sedangkan ia mampu, maka ia dianggap tidak tergolong sebagi umat Islam. Terdapat sebuah hadis bahawa Nabi S.A.W bersabda amat tegas sekali, maksudnya ; "Siapa yang tidak memikirkan urusan sesama Muslim, ia dianggap bukan golongan mereka (bukan golongan Muslim)." (Riwayat ai-Hakim dari Ibnu Mas'ud).

Oleh itu, dalam hidup ini, kita selaku umat Islam telah tersedia memikul amanah, sama ada amanah masyarakat atau amanah diri dan keluarga. Jadi, tidak patutlah setiap hari kita cuma memikirkan tentang makan dan mengisi perut diri sendiri sahaja. Kerana kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap keluarga dan juga masyarakat.

Memang dalam hidup ini, lebih-lebih lagi untuk mengisi tugas dan tanggungjawab terhadap Allah dan juga masyarakat, kita perlukan badan yang sihat. Badan yang sihat, terbina daripada makan minum yang baik dan berzat. Memang makanan itu perlu, tetapi janganlah sampai makan terlalu berlebihan sehingga melupakan tanggungjawab lain yang lebih utama.





Semoga perkongsian ini memberi manfaat bukan sahaja buat semua pembaca tetapi juga buat diri saya sendiri. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada ALLAH dan segala kekurangan dalam penulisan ini datangnya dari kelemahan saya sendiri. 

Sekian, terima kasih.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan