Khamis, 9 Oktober 2014

PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU

PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU



1.0 PENGENALAN

Pada awalnya, Syarikat India Timur (British East India Company) enggan campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Hal ini kerana Syarikat India Timur adalah sebuah badan perniagaan yang hanya meletakkan penekanan kepada mengaut keuntungan melalui perdagangan secara aman damai. Dengan cara ini, Syarikat India Timur berpendapat kemakmuran dapat dikecapi bersama oleh syarikat dan negeri-negeri Melayu. Campur tangan syarikat dalam hal ehwal politik dan pentadbiran negeri-negeri Melayu boleh membawa kepada penglibatan dalam operasi ketenteraan ataupun peperangan, dan akan melibatkan perbelanjaan besar kepada Syarikat. Syarikat melihat India dan China sebagai kawasan perdagangan yang jauh lebih lumayan, dengan jumlah penduduk yang lebih besar dan tahap nilai perdagangan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri Melayu.

Pembaharuan  Piagam Syarikat (Charter) oleh Parlimen  Britain dalam tahun 1834 menamatkan monopoli Syarikat India Timur ke atas perdagangan candu dan lain-lain barangan dengan ChinaSyarikat India Timur kini terpaksa bersaing dengan lain-lain lain-lain pedagang British dan juga pedagang-pedagang dari negara-negara lain untuk membawa barang dagang dari Timur Jauh ke pasaran Eropah. Persaingan ini mengurangkan untung Syarikat India Timur. Dalam tahun 1867Negeri-Negeri Selat dipindahkan daripada penguasaan Syarikat India Timur kepada penguasaan Pejabat Kolonial di London. Dengan ini, Gabenor dan pegawai-pegawai British di Negeri-Negeri Selat bukan lagi menjaga kepentingan Syarikat India Timur di Calcutta tetapi menjaga kepentingan kerajaan British, khususnya Pejabat Kolonial di London.

Sir Andrew Clarke dihantar ke Singapura dalam bulan November 1873 oleh Setiausaha di Pejabat KolonialLord Kimberley (John Wodehouse) untuk menjadi Gabenor Negeri-Negeri SelatSir Andrew diarahkan oleh Lord Kimberley untuk mengkaji kemungkinan melantik penasihat-penasihat British di negeri-negeri Melayu dan mengikhtiarkan supaya keamanan dan kemakmuran dapat dikembalikan ke negeri-negeri Melayu.



(“see whether any steps can be taken to promote the restoration of peace and order to secure protection to trade and commerce” dan “whether it would be advisable to appoint a British officer to reside in any of the states”).


Arahan Sir Andrew  dikukuhkan lagi apabila Benjamin Disraeli menjadi Perdana MenteriDisraeli melihat Britain mestilah menunjukkan prestijnya sebagai kuasa terkuat di dunia dan perlu menguatkan penjajahannya di seluruh pelosok dunia. Disraeli berpegang kepada prinsip beban orang putih (white man’s burden) bahawa Britain wajib membantu membawa tamadun dan peradaban British kepada bahagian-bahagian dunia yang lebih mundur. Disraeli juga risaukan kuasa-kuasa asing yang lain bertapak di Tanah Melayu. Peluang Sir Andrew  terbentang luas apabila  Raja Abdullah  menulis surat meminta bantuan British untuk menabalkan dirinya sebagai Sultan Perak.

Syarikat India Timur dibubarkan secara rasminya pada 1 Januari 1874. Dengan itu, semua perihal penjagaan hal ehwal dan kepentingan British berpindah kepada tanggungjawab oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Jikalau Syarikat India Timur sebelumnya enggan bertindak mencampuri hal ehwal Negeri-Negeri Melayu, kerajaan Negeri-Negeri Selat lebih mementingkan penjagaan kepentingan British di Tanah Melayu, khususnya untuk menyekat pengaruh kuasa barat lain seperti Perancis (bertapak dan berkembang di Indo-China) dan Empayar Jerman (merintis mewujudkan kehadiran di Pahang dan Langkawi).



2.0 FAKTOR-FAKTOR PENJAJAHAN BRITISH KE ATAS NEGARA INI

Pada akhir abad ke-19, British telah berusaha untuk campur tangan secara langsung di negeri-negeri Melayu. British menggunakan pelbagai alasan untuk campur tangan dalam pentadbiran di Tanah Melayu. Antaranya ialah pertelingkahan takhta dalam kerajaan Melayu serta menjaga keselamatan akibat pergaduhan kongsi gelap Cina. Setelah berjaya menguasai kerajaan-kerajaan negeri Melayu, British telah memperkenalkan pelbagai dasar yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Pengenalan Sistem Residen merupakan langkah yang telah digunakan oleh British untuk menstabilkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Keadaan huru-hara yang disebabkan oleh perang saudara telah berlaku di negeri-negeri Melayu seperti di Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Perkembangan tersebut menyebabkan para pemodal Eropah mendesak Kerajaan British supaya campur tangan untuk memulihkan keamanan supaya kegiatan perdagangan tidak terjejas. Contohnya, Perak mengalami masalah perebutan kuasa apabila Raja Ali telah dilantik menjadi sultan setelah kemangkatan Sultan Jaffar pada tahun 1865. Perebutan kuasa semakin rumit selepas kemangkatan Raja Ali apabila tiga orang putera menuntut takhta, iaitu Raja Abdullah, Raja Ismail dan Raja Yussof. Malahan masalah di negeri-negeri Melayu yang lain telah menyebabkan Kerajaan British di London mengarahkan Andrew Clarke supaya terlibat secara langsung untuk menyelesaikan pertikaian raja-raja Melayu.

Di samping itu, masalah kongsi gelap Cina antara puak Hai San dengan Gee Hin turut menyumbang ke arah perubahan dasar campur tangan British di Tanah Melayu. Kedua-dua puak sering terlibat dalam pergaduhan yang mengakibatkan kegiatan perlombongan bijih timah dan keselamatan terjejas teruk. Malahan pergaduhan kongsi gelap menyebabkan kemusnahan peralatan perlombongan. Peperangan penting yang berlaku antara kedua-dua puak adalah pada tahun 1861, 1865 dan 1872. Perang yang meletus pada tahun 1861 disebabkan tindakan Hai San menyekat aliran anak Sungai Perak yang digunakan oleh Gee Hin untuk mengangkut bijih timah. Peperangan tersebut mengganggu kedudukan perdagangan British. British melalui Kapten Speedy telah mendamaikan kedua-dua puak dengan mengiktiraf Hai San sebagai pengusaha lombong bijih timah di Larut pada tahun 1873. British ingin menguasai sumber mineral yang bernilai yang terdapat di Tanah Melayu untuk pasaran antarabangsa.

Selepas meletusnya Revolusi Perindustrian di Eropah, keperluan terhadap bahan mentah begitu tinggi untuk menampung pengeluaran yang semakin meningkat. Britain amat memerlukan bahan mentah, terutama bijih timah dan getah. Oleh yang demikian, British di Tanah Melayu telah menguasai sumber-sumber bahan mentah tersebut. Tanah Melayu yang kaya dengan bahan mineral tersebut dieksploitasi oleh British. British menyedari sekiranya Tanah Melayu tidak dikuasai dan jatuh ke tangan pihak Barat lain, mereka akan rugi. Selain itu, terdapat desakan daripada para pedagang British yang menginginkan supaya monopoli terhadap perdagangan bijih timah di Tanah Melayu dikuasai oleh British. British telah berjaya meningkatkan pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu untuk memenuhi keperluan perindustrian mengetin makanan.

Campur tangan British secara langsung di Tanah Melayu didorong oleh perubahan terhadap politik antarabangsa, iaitu persaingan antara negara Barat untuk meluaskan wilayah. Oleh yang demikian, British bimbang dengan usaha-usaha pihak Eropah yang lain untuk menguasai Tanah Melayu. Pada ketika itu, kuasa-kuasa Eropah yang lain sedang giat mencari kedudukan di Asia Tenggara, contohnya Belanda di Indonesia, Perancis di Indo-China dan Sepanyol di Filipina. Tambahan pula, Jerman sedang berusaha untuk mencari pengaruhnya di Tanah Melayu sekitar tahun 1871. Keadaan ini telah menguatkan desakan para saudagar British supaya mendesak Kerajaan Britain campur tangan di Tanah Melayu.

Perubahan politik di Britain telah mempengaruhi dasar mereka berkaitan dengan tanah jajahan. Pada tahun 1874, Parti Konservatif telah berjaya menguasai parlimen England menyebabkan berlaku perubahan terhadap dasar luarnya. Dasar pentadbiran di Tanah Melayu turut  mengalami perubahan. Andrew Clarke telah didesak supaya menjalankan dasar agresif terhadap penguasaan Tanah Melayu. Oleh yang demikian, British telah memperkenalkan pelbagai cara untuk mengukuhkan kedudukan di Tanah Melayu seperti Sistem Residen.

Di samping itu, pihak British telah membangunkan pelbagai infrastruktur pengangkutan untuk memudahkan perhubungan mereka. Perdagangan antara timur dengan barat semakin cepat dan singkat, contohnya pembukaan Terusan Suez mampu memendekkan jarak perjalanan. Selain itu, penciptaan kapal  wap turut  menyumbang kepada penguasaan British terhadap Tanah Melayu. Barang dagangan dari Tanah Melayu akan mudah diangkut ke negara asal. Dengan ini, mereka seharusnya menguasai Tanah Melayu sepenuhnya melalui dasar campur tangan secara langsung. Pihak British yang berada di Tanah Melayu mengubah dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan secara langsung yang turut didorong oleh pelbagai sekatan oleh negeri-negeri Melayu. Misalnya, para saudagar British tidak dibenarkan memonopoli perdagangan bijih timah. Cukai yang dikenakan terhadap saudagar British terlalu tinggi.

Kesimpulannya, pihak Inggeris datang ke Tanah Melayu untuk menjalankan urusan perdagangan. Oleh sebab Tanah Melayu adalah laluan perdagangan yang baik dan strategik serta mempunyai potensi ekonomi untuk berkembang, maka pihak Inggeris telah memutuskan untuk menduduki dan menguasainya. Apa yang jelas proses imperialisme British telah mendorong penglibatan Inggeris secara langsung di Negeri-negeri Melayu. Campur tangan British secara langsung di negeri-negeri Melayu telah mengakibatkan sistem politik dan ekonomi tempatan mengalami perubahan yang ketara. Malahan pihak British telah berjaya menguasai ekonomi tempatan. Apabila British mula campur tangan di Tanah Melayu maka bermulalah era penjajahan British ke atas Tanah Melayu.



3.0 KESAN-KESAN PENJAJAHAN BRITISH KEPADA NEGARA INI.

Kuasa Inggeris mempunyai tanah jajahan yang terbesar di dunia. Tanah Melayu merupakan salah sebuah negara bekas jajahan Inggeris. Demi kepentingan ekonomi, pihak Inggeris akhirnya campur tangan di Tanah Melayu. Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu didorong oleh banyak faktor sama ada faktor dalaman atau faktor luaran. Walau apapun faktor yang mendorong penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, penjajahan ini sememangnya memberi kesan yang sangat mendalam ke atas Tanah Melayu sama ada dari aspek politik, ekonomi, mahupun sosial masyarakat di Tanah Melayu sehinggalah sekarang.

3.1 POLITIK

Kesan yang paling ketara akibat penguasaan Inggeris di Tanah Melayu ialah dari segi politik. Sebelum campur tangan Inggeris di Tanah Melayu, sultan berkuasa mutlak untuk memerintah dan menguruskan hal-hal pentadbiran negara dan para pembesar berkuasa untuk memungut cukai daripada rakyat. Tetapi setelah kedatangan Inggeris di Tanah Melayu, kuasa-kuasa raja dan sultan telah terjejas. Kuasa raja menjadi terhad dan raja hanya boleh menyentuh hal-hal mengenai adat istiadat Melayu dan hal-hal keagamaan sahaja. Hal ini adalah ekoran daripada sistem corak pentadbiran baru yang telah diperkenalkan oleh pihak Inggeris iaitu Sistem Residen. Sistem Residen ini telah diperkenalkan oleh Inggeris di Perak pada tahun 1874 berikutan dengan  Perjanjian  Pangkor.  Sistem ini kemudiannya diperkenalkan pula di Selangor pada tahun 1875, di Pahang 1888 dan Negeri Sembilan 1889. Sistem Residen ini adalah satu bentuk pentadbiran Inggeris yang dinamakan sebagai sistem pemerintahan tidak langsung di negeri-negeri Melayu.

Oleh yang demikian, Sultan terpaksa menerima seorang residen Inggeris yang dilantik bagi setiap negeri untuk menasihatinya dalam semua urusan pentabiran kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan adat istiadat dan hukum hakam agama Islam. Kuasa pentadbiran negeri sebenarnya terletak di tangan residen Inggeris tetapi mereka bertindak di atas nama sultan-sultan Melayu. Hal ini kerana, nasihat-nasihat yang diberikan oleh residen Inggeris hendaklah diterima oleh sultan-sultan Melayu contohnya sistem residen yang diperkenalkan di Selangor iaitu ia adalah disebabkan oleh kegiatan lanun dan rompakan yang sering berlaku disepanjang pantai negeri Selangor.  Pada masa tersebut Sir Andrew Clarke iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat telah mengambil kesempatan untuk campur tangan dalam hal pentadbiran di Selangor berikutan satu rompakan di Kuala Labu iaitu kira-kira 30 batu dari Langat.

 Akibat peristiwa yang berlaku itu, Clarke telah pergi ke Selangor pada bulan Ogos 1874 dan mengadakan rundingan bersama Sultan Abdul Samad. Menerusi rundingan itu, Clarke telah meninggalkan seorang pegawainya iaitu Frank Swettenham bersama 20 orang sepoi untuk menjaga Sultan. Kebolehan yang dimiliki oleh Swettenham telah menarik perhatian Sultan dan menyuruh Clarke melantiknya menjadi penasihat Sultan serta Sultan turut menawarkan supaya negeri Selangor diletakkan dibawah naungan British. Pada Disember 1874, Clarke telah memberi cadangan untuk melantik Swettenham sebagai Residen Selangor tetapi cadangan itu tidak dipersetujui dan kemudiannya Gabenor telah melantik J.G Dawidson sebagai Residen British pertama di Selangor.


3.2 EKONOMI         

Kesan yang kedua ialah kesan terhadap ekonomi. Perluasan kuasa Inggeris telah menyebabkan berlakunya perubahan sistem ekonomi di Tanah Melayu. Sebelum campur tangan Inggeris, masyarakat Melayu mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan apabila berlakunya perluasan kuasa Inggeris, sistem ekonomi komersil pula diperkenalkan. Sistem ekonomi komersial merujuk kepada lebihan hasil secara besar-besaran dan melibatkan banyak pihak yang memerlukan barang ekonomi yang berbeza antara satu sama lain. Sistem ekonomi ini bermula pada abad ke-19 dan 20 terutamanya selepas kemasukan Inggeris. Hal ini kerana Inggeris lebih menumpukan kegiatan ekonomi yang berorientasikan eksport seterusnya mendorong pelabur-pelabur asing ke Tanah Melayu dan membawa teknologi serta sistem pengurusan ekonomi. Penggunaan kapal korek dan pam kelikir telah digunakan bagi menggantikan teknik lama iaitu mendulang yang agak merugikan. Melalui teknologi baru yang dibawa oleh Inggeris menjadikan hasil pengeluaran bijih timah yang diperolehi lebih banyak dan cepat serta tidak perlu menggunakan tenaga buruh yang ramai. Pembinaan jalan raya yang merentasi daerah pedalaman telah mewujudkan kawasan baru serta mewujudkan pembukaan bandar-bandar baru. Perusahaan getah diperkenalkan bagi menggantikan kopi. Teknik penorehan getah yang menggunakan teknologi yang lebih moden dan canggih telah membawa kepesatan kepada pengeluaran hasil getah. Perkembangan ekonomi diseimbangkan oleh kewujudan system pengangkutan darat.

Perubahan sistem ekonomi di Tanah Melayu berlaku daripada 3 aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial. Dari aspek politik, Sultan dan pembesar tidak mempunyai kuasa ke atas tanah jajahan dan juga adat Melayu. Hal ini kerana Inggeris telah menghapuskan beberapa amalan dalam adat Melayu. Contohnya seperti menghapuskan sistem kerah dan serah oleh para pembesar. Sistem hamba abdi juga dihapuskan dan rakyat boleh memiliki tanah bagi menjalankan serta meningkatkan hasil pertanian tanpa menyerahkan sebahagian hasil mereka kepada Sultan atau pembesar.

Dalam sistem ekonomi komersil juga , Inggeris telah menghapuskan amalan pungutan cukai yang dilakukan oleh Sultan dan pembesar. Ianya terbukti apabila penyusunan sistem kutipan cukai dilakukan oleh J.W.W Birch di mana pembesar dilarang untuk memungut cukai dan segala sistem pungutan cukai perlu dipusatkan di bawah kelolaannya. Tindakan J.W.W Birch telah menyebabkan pembesar kehilangan kuasa dan pendapatan yang mereka perolehi daripada hasil cukai yang dipungut terjejas dan ini telah bercanggah dengan nilai-nilai tradisi dan adat istiadat Melayu. Pada pertengahan April 1874, Birch telah membuat lawatan ke Bidor dan Birch telah membakar rumah Raja Ngah dan Tengku Panglima Besar yang merupakan sepupu Sultan Ismail kerana didapati telah mengutip cukai daripada pelombong di situ.


3.3 SOSIAL  

Selain itu, kesan sosial campur tangan British di Tanah Melayu ialah kemasukan orang Cina dan orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu. Kemasukan orang Cina dan orang India telah menimbulkan pelbagai masalah di Tanah Melayu. Antara masalah yang timbul ialah masalah jenayah yang berleluasa, khasnya di negeri-negeri kawasan lombong bijih timah seperti di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Kumpulan orang Cina yang berbeza telah mewujudkan kongsi gelap untuk menjaga kepentingan masing-masing. Kumpulan kongsi gelap Cina sering bermusuhan untuk mengukuhkan kedudukan dan mempertahankan kawasan lombong bijih timah mereka. Antara kumpulan kongsi gelap ialah Hai San dan Ghee Hin.

Selain itu, kesan sosial kemasukan orang Cina dan orang India ialah aktiviti pelacuran yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Terdapat aktiviti membawa wanita-wanita Cina dari negara China untuk dijadikan pelacur. Walaupun aktiviti tersebut hanya melibatkan orang Cina, tetapi sering menimbulkan keadaan tidak tenteram kerana berlaku pergaduhan. Hal ini telah menyebabkan kemantapan politik terganggu. British telah mengambil tindakan untuk mengatasi masalah pelacuran dan pergaduhan tersebut. Kesan ekonomi kemasukan orang Cina dan India ialah perekonomian semakin meningkat, khususnya dalam bidang perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Orang Cina dibawa ke Tanah Melayu sebagai buruh di lombong bijih timah kerana kemahiran dalam aktiviti tersebut. Manakala orang India merupakan buruh yang mahir dalam perladangan getah. Selain itu, aktiviti perniagaan turut berkembang dengan pesat. Contohnya, orang Teochew dan Hakka merupakan peniaga yang telah membuka banyak kedai di kawasan bandar dan lombong bijih timah. Hal ini telah meningkatkan ekonomi di Tanah Melayu.

Kesan sosial seterusnya ialah pembentukan bandar-bandar baru. Orang Cina dan orang India membuat petempatan berkelompok di kawasan lombong dan ladang getah seperti di Ipoh, Kinta, Taiping, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bahru. Seiring dengan kewujudan bandar-bandar baru tersebut, kerajaan British telah membina jaringan jalan perhubungan dan pengangkutan seperti jalan kereta api dan jalan raya. Sistem jalan pengangkutan tersebut menghubungkan antara ladang getah dan lombong bijih timah dengan kilang mahupun pelabuhan.

Di samping itu, kesan ekonomi kemasukan orang Cina dan India ialah meningkatkan kemajuan Tanah Melayu secara keseluruhannya. Orang Cina dan orang India banyak menetap di kawasan pantai barat Tanah Melayu. Malahan orang Cina dan India lebih banyak menetap di Pulau Pinang dan Singapura. Hal ini telah menyebabkan kedua-dua buah negeri tersebut berkembang dengan pesat. Contohnya, Singapura telah berkembang sebagai sebuah pelabuhan entrepot.


3.4 KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK
  
Selain itu, perluasan Inggeris juga telah menyebabkan berlakunya kewujudan masyarakat majmuk atau masyarakat berbilang kaum . Terdapat 3 kaum utama di Tanah Melayu iaitu Bumiputera atau Melayu, Cina dan India. Kewujudan masyarakat majmuk dapat dibahagikan kepada aspek politik, ekonomi dan sosial. Dari aspek politik masyarakat majmuk dikuasai oleh suatu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan tersendiri. Kewujudan masyarakat majmuk ini adalah disebabkan oleh dasar terbuka Inggeris terhadap kemasukan buruh asing bagi memenuhi kepentingan mereka. Dari aspek ekonomi, kewujudan masyarakat majmuk adalah bagi memenuhi tenaga buruh yang diperlukan oleh pihak British dalam ekonomi perlombongan dan perladangan iaitu buruh Cina ditempatkan di kawasan perlombongan manakala buruh-buruh India pula bekerja di estet-estet atau di ladang-ladang. Dalai aspek sosial pula, kewujudan masyarakat majmuk adalah bagi meraih keuntungan ekonomi pihak Inggeris iaitu apabila semakin ramai buruh-buruh asing datang ke Tanah Melayu, pengeluaran ekonomi Tanah Melayu akan bertambah dan ini meningkatkan keuntungan para penjajah yang sememangnya ingin meraih keuntungan di Tanah  Melayu.

Masyarakat majmuk ini wujud akibat daripada kemasukan imigran pada pertengahan abad ke-19 dan telah melahirkan satu masyarakat majmuk, organisasi sosial dan budaya yang berbeza. Kewujudan masyarakat majmuk juga berlaku ketika perusahaan bijih timah di Tanah Melayu berkembang pesat dan telah menyebabkan Inggeris membawa masuk buruh-buruh Cina dan India bagi menambah tenaga buruh di lombong. Buruh India juga digunakan dalam perusahaan getah serta projek-projek pembangunan seperti jalan raya dan keretapi.

 Kewujudan masyarakat majmuk telah menyebabkan kehidupan masyarakat menjadi pelbagai. Hal ini berlaku kerana mereka hidup secara individualistik serta hidup dengan cara kehidupan yang berbeza-beza samada dari segi agama, kepercayaan, kebudayaan, adat, bahasa, kegiatan ekonomi dan petempatan. Ia juga berlaku akibat daripada dasar yang diperkenalkan oleh Inggeris iaitu dasar ‘Pecah’ dan ‘Perintah’ yang bermaksud pengasingan masyarakat yang terdapat di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat daripada orang Melayu yang hidup di kawasan luar bandar seperti kampung dan desa. Mereka juga masih mengamalkan sistem ekonomi sara diri seperti nelayan, kegiatan pertanian secara kecil-kecilan dan pegawai-pegawai rendah. Manakala orang Cina tertumpu di kawasan bandar dan menjalankan kegiatan perdagangan dan perlombongan. Orang India pula tinggal di kawasan-kawasan estet dan ladang getah bagi menjalankan kegiatan perladangan.

Sebelum tahun 1800, penduduk di negara kita hanya terdiri daripada penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, pada akhir abad ke-19 berlaku kemasukan orang Cina dan India secara beramai-ramai ke negara kita. Kemasukan orang Cina dan India disebabkan oleh banyaknya peluang ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu. Mereka mencari kehidupan yang lebih selesa di Tanah Melayu kerana keperitan hidup di negara asal mereka. Malahan British telah membawa masuk orang Cina dan India ke Tanah Melayu sebagai tenaga kerja di sektor perlombongan dan perladangan. Kehidupan yang selesa di Tanah Melayu menyebabkan golongan ini telah menetap secara terus. Situasi ini memberikan kesan terhadap kehidupan sosio-ekonomi di Tanah Melayu.

Kesan sosial kemasukan orang Cina dan orang India pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 ialah pertambahan bilangan penduduk Tanah Melayu yang begitu pesat. Pada tahun 1870, bilangan penduduk Tanah Melayu kira-kira 500 000 orang. Setelah kedatangan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu, jumlah penduduk bertambah menjadi 3 300 000 orang pada tahun 1921. Pada tahun 1931, jumlah penduduk bukan Melayu lebih ramai berbanding dengan masyarakat tempatan di Tanah Melayu. Situasi tersebut telah melahirkan situasi masyarakat majmuk di negara kita. Kehidupan mereka bercorak berasingan dan mengamalkan kebudayaan masing-masing. Orang Cina yang datang ke Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kelompok. Mereka berbeza dari segi dialek, adat dan pengkhususan ekonomi. Malahan terdapat permusuhan antara mereka. Orang India pula tinggal di kawasan ladang-ladang getah. Sedangkan penduduk tempatan, iaitu orang Melayu tinggal di kawasan kampung luar bandar dan pesisir pantai.


3.5 PENDIDIKAN

Perubahan sosial yang dibuat oleh Inggeris ialah perubahan dalam sistem pendidikan. Sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu, pendidikan di Tanah Melayu bersifat tidak formal iaitu hanya terhad kepada pengajian Al-Quran dan keagamaan. Namun selepas kedatangan Inggeris, terutamanya pada pertengahan abad ke-19 , sistem pendidikan di Tanah Melayu telah banyak berlaku perubahan dan ianya lebih bersifat perkauman atau vernakular kerana Inggeris tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dengan pendidikan guru dan ini membawa kepada perbezaan sukatan pelajaran antara kaum. Masyarakat Melayu tidak mendapat pendidikan akademik yang sempurna seperti mana kaum-kaum lain dan mereka hanya mendapat ilmu kemahiran sahaja.

 Terdapat 4 jenis sekolah di Tanah Melayu iaitu sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Inggeris. Di sekolah Melayu , terdapat 2 bentuk persekolahan iaitu sekolah berbentuk keagamaan dan sekular. Sekolah berbentuk keagamaan telah lama wujud sebelum kedatangan Inggeris. Sekolah ini mengajar tentang hal keagamaan dan mengaji. Sekolah ini juga kurang mendapat tumpuan daripada pihak Inggeris kerana pihak Inggeris mahu mengekalkan kestabilan dan memastikan kaum Melayu terus tinggal di kampung sebagai petani. Manakala sekolah Melayu yang bersifat sekular pula diperkenalkan oleh Inggeris melalui mubaligh Kristian. Sekolah ini kurang mendapat sambutan daripada orang Melayu kerana mereka takut terpengaruh dengan agama Kristian oleh mubaligh.

Di samping itu, kesan kemasukan orang Cina dan orang India ialah kewujudan sistem persekolahan yang tidak seragam dan menyulitkan pemerintahan British menguruskan persekolahan di Tanah Melayu. Sistem pendidikan vernakular telah berkembang dengan pesat. Orang Cina dan orang India membuka sekolah masing-masing. Mereka menggunakan sistem pendidikan yang dibawa dari negara asal mereka. Situasi ini mewujudkan jurang antara kaum kerana semangat perpaduan melalui pendidikan tidak wujud sama sekali.

Sistem pendidikan pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua berkembang mengikut haluan masing-masing. Sekolah-sekolah dibina mengikut kepentingan setiap kaum. Hal ini turut mempengaruhi keseimbangan peluang dalam kalangan kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan. Sekolah vernakular India,  Cina, Melayu dan Inggeris berkembang tanpa adanya keseragaman. Keadaan ini telah menyebabkan wujud perbezaan ras yang amat ketara sehingga menghalang perpaduan kaum di Tanah Melayu. Justeru, selepas Tanah Melayu merdeka, sistem pendidikan untuk membentuk perpaduan kaum telah diwujudkan. Sistem pendidikan tersebut memberikan peluang kepada kanak-kanak daripada semua kaum untuk menikmati pendidikan.

Kerajaan colonial British juga membuka sekolah-sekolah untuk melatih anak-anak tempatan bagi pengisian jawatan-jawatan perkeranian di dalam sektor awam dan swasta. Sekolah-sekolah seperti Sekolah King Edward VII Taiping dibuka untuk memberikan pendidikan untuk membolehkan rakyat tempatan memegang jawatan-jawatan rendah di dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta, tetapi tidak mementingkan pelajaran di peringkat tertinggi. Maktab Melayu Kuala Kangsar dibuka untuk membolehkan anak-anak bangsawan Melayu mendapat latihan untuk memegang jawatan-jawatan peringkat pertengahan dalam perkhidmatan kerajaan kolonial British.

Kesimpulannya ialah sistem pendidikan yang diperkenalkan sebaik-baik sahaja Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehingga 1961 bertujuan untuk mewujudkan perpaduan kaum. Dalam usaha membentuk sistem pendidikan kebangsaan, pandangan daripada semua kaum diambil kira melalui rundingan antara kaum. Melalui sistem pendidikan telah memberikan peluang kepada semua kaum untuk mendapatkan pendidikan yang seimbang. Malahan kerajaan telah memberikan bantuan kewangan kepada semua sekolah. Penyelarasan sistem pendidikan Tanah Melayu telah membantu mewujudkan perpaduan kaum. Hal ini jelas terbukti dengan pengajaran Bahasa Melayu di semua sekolah, selain penyeragaman kurikulum dan peperiksaan. Laporan Razak dan Akta Rahman Talib telah menjadi asas pembentukan sistem pendidikan kebangsaan selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.


3.6 PENGENALAN DASAR INGGERIS

Dasar yang telah dijalankan oleh pihak Inggeris terhadap Tanah Melayu dapat dibahagikan kepada 3 iaitu dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dasar politik di tanah melayu adalah mengenai dasar imigrasi,  Jabatan Perlindungan Orang Asing dan Undang-undang buruh. Dasar imigrasi ialah berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti indenture, kangany, kontrak dan bebas. Pada tahun 1930, Inggeris telah memperketatkan dasar imigrasi dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran ke negara asal mereka. Undang-undang imigrasi pada tahun 1930 juga telah menghalang kemasukan orang asing ke Tanah Melayu. Sebelum tahun 1930 orang Inggeris telah mendapatkan tenaga buruh tanpa sekatan kerana pada masa tersebut tenaga buruh penting bagi pembangunan ekonomi perlombongan dan perladangan selain melaksanakan pembinaan prasarana baru seperti pembinaan jalan keretapi dan jalan raya. Jabatan perlindungan Orang Asing telah ditubuhkan bagi melindungi para buruh imigran daripada ditindas oleh para kongsi gelap atau majikan. Kewujudan jabatan perlindungan orang asing ini bermakna buruh-buruh dilindungi pemerintah Inggeris dan menunjukkan bahawa kerajaan Inggeris menggalakan kemasukan buruh asing di Tanah Melayu.

Pihak inggeris juga telah melaksanakan dasar ekonomi di Tanah Melayu iaitu dasar ekonomi komersial, kapitalisme dan bebas. Dasar ekonomi komersial telah membawa perubahan kepada sistem sara diri yang telah dijalankan secara tradisi oleh masyarakat Melayu. Ia juga telah membawa kesan terhadap pembukaan tanah dan ladang serta meningkatkan pengeluaran perlombongan bijih timah. Dasar ekonomi yang dijalankan oleh pihak Inggeris juga telah mewujudkan sistem ekonomi moden yang berasaskan tenaga buruh.
Dasar sosial yang telah dijalankan oleh Inggeris lebih tertumpu kepada dasar pendidikan pemerintahan Inggeris. Dasar ini merupakan tunggak utama yang menyebabkan wujudnya masyarakat Melayu. Dasar ini tidak membawa kepada perpaduan kaum bahkan dasar tersebut telah mewujudkan jurang antara kaum kerana Inggeris tidak menyeragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru. Hal ini bermaksud sukatan pendidikan antara sekolah-sekolah Melayu, Cina dan India adalah berbeza dan bagi masyarakat Cina dan India , guru diambil dari negara asal. Pada masa tersebut orang-orang Melayu tidak mendapat kemahiran dan pendidikan yang tinggi tetapi orang-orang Melayu hanya mendapat kemahiran bagi membuat kerja-kerja sara diri sahaja. Dasar yang telah dijalankan oleh orang inggeris ini sebenarnya telah menggalakkan kemasukan orang asing di Tanah Melayu. Tujuan Inggeris menggalakkan kemasukan orang asing di Tanah Melayu adalah bagi menjaga kebajikan mereka dan bagi meraih keuntungan ekonomi di Tanah Melayu.

Dasar Inggeris terhadap Tanah  Melayu dapat dilihat daripada beberapa tindakan pemerintah Inggeris terhadap kedatangan orang-orang asing ke Tanah Melayu. Dalam hal ini ia dapat menentukan persoalan bagaimana Inggeris membantu mewujudkan masyarakat Malaysia yang majmuk. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan terhadap kemajmukan ras, tetapi merangkumi pelbagai aspek dalam politik dan sosial. Perbincangan mengenai tajuk ini dapat difahami jika kita melihat beberapa dasar Inggeris seperti huraian berikut:

DASAR POLITIK
·            Perbincangan ini berkisar pada aspek  dasar imigrasi ¸ Jabatan Perlindungan Orang Asing,dan undang-undang buruh.
·            Sejak tahun 1874 dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai sekatan terhadap kemasukan orang asing. Dalam hal ini Inggeris seolah-olah menggalakkan kemasukan orang asing melalui sistem-sistem kemasukan seperti indenture, kangany, kontrak, dan bebas. Hal ini berbeza dengan tindakan Inggeris pada 1930an, dengan Inggeris memperketatkan dan menguatkuasa dasar imigrasi dengan bertindak menghantar pulang orang-orang imigran balik ke negara asal mereka. Selain itu, undang-undang imigrasi pada tahun 1930an juga menghalang kemasukan baru orang asing ke Tanah Melayu. Seperkara yang menarik tiadanya sekatan terhadap kemasukan orang asing ke negara ini sebelum undang-undang imigrasi 1930an  disebabkan oleh keperluan Inggeris untuk mendapatkan tenaga buruh bagi menrancakkan ekonomi perlombongan dan peladangan selain buruh bagi melaksanakan pembinaan prasarana baru seperti pembinaan jalan keretapi dan jalan raya.
·            Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan jabatan Perlindungan Orang Asing bagi melindungi para buruh imigran daripada tindasan dan penganiayaan para kongsi gelap mahupun majikan. Dengan wujudnya jabatan ini, ini bermakna buruh-buruh ini dilindungi oleh pemerintah Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan Inggeris menggalakkan kemasukan buruh asing. Ini juga menjelaskan bahawa terdapat tindakan dan dasar kerajaan Inggeris mempastikan mereka tidak kehilangan buruh bagi menjana ekonomi Tanah Melayu . Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan undang-undang buruh yang memerlukan para  majikan  untuk memberikan kemudahan yang sepatutnya kepada buruh imigran ini. Dengan keadaan ini ia bukan sahaja menggalakkan kemasukan buruh asing, tetapi menggalakkan mereka untuk tidak pulang ke negara asal mereka. Hal ini terbukti semasa kemelesetan ekonomi 1927-1932 orang-orang asing ini keberatan untuk pulang ke negara asal mereka dan ini menjadi masalah kepada pemerintah Ingeris.
·            Oleh itu, merujuk dasar-dasar pemerintahan Inggeris ini membuktikan bahawa kewujudan masyarakat majmuk di negara ini adalah hasil pelaksanaan dasar yang berkehendakkan buruh imigran bagi menjana ekonomi dan membolehkan penjajah mendapat keuntungan ekonomi dengan tidak mengambil kira permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat pribumi.
DASAR EKONOMI
·            Dasar ekonomi komersial – kapitalisme dan bebas. Perubahan sistem daripada sara diri kepada sistem komersial. Pembukaan tanah dan ladang serta peningkatan pelombongan bijih timah.
·            Wujudnya sistem ekonomi moden berteraskan industri berasaskan buruh.
·            Keperluan pemodenan prasara baru yang memerlukan tenaga buruh.

DASAR SOSIAL.
·            Penekanan aspek ini lebih dijuruskan kepada Dasar pendidikan pemerintahan Inggeris. Melalui dasar ini dapat dijelaskan lagi bagaimana wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia. Melalui dasar pendidikan yang berteraskan negara ibunda, Inggeris menggalakkan lagi perbezaan kaum dan ia juga melebarkan lagi jurang perpaduan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui tindakan Inggeris yang tidak menseragamkan sukatan pendidikan dan pendidikan guru. Sebagai kesan daripada keadaan ini wujud sukatan pendidikan yang berbeza serta keperluan guru berasaskan tindakan komuniti setiap kaum di Malaysia. Sebagai contohnya setiap kaum mengambil inisiaif dengan mengikut sukatan pendidikan serta mengambil para guru dari  negara asal mereka. Keadaan ini menjelaskan bahawa Inggeris tidak mempunyai agenda bagi menghalang ketidakseragaman dalam dasar pendidikan mereka. Bagi orang-orang melayu ia hanya mendapat pendidikan kemahiran bagi mengerjakan kerja-kerja sara diri sahaja dan tidak memberi peluang untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu akedemik. Walaupun wujud keadaan ini ia dikhaskan kepada anak-anak para bangsawan Melayu sahaja.
·            Dalam hal ini, keadaan dasar ini sebenarnya menggalakkan lagi kemasukan orang asing kerana mereka tahu bahawa mereka masih lagi memperoleh pendidikan walaupun di negara asing. Ini juga menjelaskan lagi bahawa Inggeris sebenarnya menggalakkan kemasukan mereka dan menjaga kebajikan mereka bagi keuntungan ekonomi penjajah.



3.7 PENENTANGAN MASYARAKAT MELAYU

Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu telah menyebabkan berlakunya campur tangan dalam hal–ehwal dan pentadbiran di negeri-negeri tersebut. Dengan berlakunya campur tangan Inggeris, telah banyak menimbulkan ketidakpuasan hati orang-orang Melayu terhadap struktur pentadbiran dan pelaksanaan hal-ehwal di Tanah Melayu. Oleh yang demikian, berlaku penentangan di Tanah Melayu untuk menentang Inggeris daripada terus berleluasa dan mengukuhkan kuasanya. Terdapat pelbagai penentangan yang telah dilakukan oleh masyarakat Melayu yang melibatkan perbuatan dan pemikiran masyarakat Melayu setempat.

Penentangan pertama yang dilakukan ialah dengan melakukan pembunuhan pegawai Inggeris iaitu J.W.W Birch dalam peristiwa Pasir Salak di Perak hasil muafakat daripada beberapa pihak. Tindakan melampaui batas Birch yang berlawanan dengan sistem pemerintahan tradisional dan melanggar adat-istiadat orang Melayu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan pembesar dan pengikut mereka. Sultan Abdullah mengarahkan Dato’ Maharaja Lela membunuh Birch dan cadangan tersebut disokong oleh Raja Ismail. Sultan Abdullah dan Raja Ismail telah menghantar senjata-senjata dan keris rasmi pembunuhan kepada Dato’ Maharaja Lela dan memerintah orang-orang kampung bersatu dalam perjuangan mereka sebagai menunjukkan penentangan orang Melayu terhadap Inggeris. Pembunuhan itu dipertanggungjawabkan kepada Dato’ Maharaja Lela yang telah mengambil keputusan nekad untuk membunuh Birch walaupun pembunuhan tersebut dilakukan oleh pembunuh upahan iaitu Pandak Indut dan Seputum. Peristiwa pembunuhan ini menjelaskan kepada kita betapa marah dan kecewanya orang melayu di Perak kepada pihak Inggeris sehingga sanggup melakukan pembunuhan.

 Pembunuhan Birch telah menyebabkan semangat nasionalisme kepada masyarakat Melayu. Orang-orang Melayu juga telah bertindak balas terhadap campur tangan Inggeris dengan mengangkat senjata. Perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di kawasan Perak tetapi di negeri lain apabilanya adanya kebangkitan penentang-penentang Inggeris yang lain seperti Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang ,Tok Janggut di Kelantan dan Hj Abdul Rahman Limbong di Terengganu.

Penentangan kedua ialah dengan menjalankan kempen menggesa orang ramai supaya tidak membayar cukai dan mematuhi peraturan baru yang diperkenalkan oleh pihak Inggeris. Hal ini terjadi di negeri Kelantan. Pengenalan sistem cukai baru yang di perkenalkan oleh pihak Inggeris bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat tempatan,  tetapi turut membebankan mereka. Sistem cukai baru yang di perkenalkan oleh Inggeris merupakan suatu yang asing kepada penduduk tempatan kerana mereka diwajibkan membayar cukai tanah tanpa mengambil kira sama ada tanah itu di usahakan atau sebaliknya. Mereka juga menghadapi masalah untuk membayar cukai kerana pejabat bayaran cukai terletak jauh dan berada di daerah-daerah tertentu. Selain itu, ketegasan dan sikap kasar pegawai yang bertugas menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka yang tidak membayar cukai ditangkap atau didenda dan ada antara mereka yang dimaki hamun oleh para pegawai berkenaan dengan kata-kata kesat. Keadaan iniakhirnya mendorong Tok Janggut dan para pengikutnya menjalankan kempen dan usaha ini mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Penentangan lain ialah penentangan terhadap pengenalan berbagai-bagai peraturan baru yang bercanggah dengan amalan tradisi yang diperkenalkan oleh Inggeris. Hal ini berlaku di Terengganu. Pengenalan peraturan baru yang diperkenalkan termasuklah penguatkuasaan beberapa jenis cukai seperti cukai hasil, cukai tanah dan cukai binatang ternakan. Kebangkitan pertama bermula pada tahun 1922 apabila sekumpulan masyarakat pedalaman di Telemong yang di ketuai oleh Hj Abdul Rahman Limbong dengan dibantu oleh Mat Zin bin Mat Min, Hj Kia dan Lebai Deraman menentang pengenalan berbagai-bagai peraturan baru ini. Mereka bertindak membersihkan tanah dan mengambil hasil hutan tanpa mendapatkan surat kebenaran terlebih dahulu.Kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mereka dan seramai 43 orang telah ditangkap. Mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan membuka tanah dan menebas hutan tanpa kebenaran. Hal ini menyebabkan orang-orang melayu bertindak balas dengan memprotes pihak Inggeris secara intelektual. Hj Abdul Rahman Limbong telah membela orang-orang melayu dan mereka telah dibebaskan kerana Inggeris gagal membuktikan kesalahan dan memberi keputusan yang muktamad.

Penentangan yang berlaku di Pahang adalah berpunca daripada perasaan tidak puas hati para pembesar seperti Dato, Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau terhadap pelbagai perubahan baru yang diperkenalkan oleh Inggeris yang ternyata bercanggah dengan nilai-nilai tempatan dan menggugat kekuasaan para pembesar. Undang-undang yang melarang pembesar mengutip cukai , mengawal hamba abdi dan membataskan kerja-kerja kerahan dan mengadili kes-kes jenayah dan sivil di kawasan-kawasan masing-masing dilihat sebagai mengugat kekuasaan tradisi para pembesar. Dato’ Bahaman memulakan dan beberapa pembesar yang lain memulakan penentangan secara kekerasan dengan melancarkan serangan ke atas Lubuk Terua dan berjaya menawan Temerloh. Penentangan semakin hebat apabila mendapat sokongan daripada seorang tokoh agama yang menyifatkan perjuangan mereka sebagai perang jihad. Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah menyerang Kuala Tembeling setelah berjaya menawan kubu Jeram Ampai pada bulan Jun 1894. Kebangkitan rakyat Pahang menentang penguasaan Inggeris mengambil masa yang panjang dan berlarutan selama 4 tahun.

Penentangan yang berlaku di Sarawak pula melibatkan tentangan daripada para pembesar tempatan seperti  Rentap, Syarif Masahor dan Datu Pattinggi Abdul Gapur. Kebangkitan Rentap didorong oleh kemaraan Brooke ke kawasan orang Iban dan sebagai persediaan awal, Rentap telah membina kubu pertahanan di Sungai Skrang, Kanowit , Lingga Sarikeidan Bintulu. Pembinaan kubu-kubu ini menggangu kebebasan dan menceroboh kawasan orang Iban. Rentap dan pengikutnya meneruskan penentangan menentang pentadbiran Brooke.  Pada tahun 1853, Rentap menyerang kubu Brooke di Kuala Skrang dan berjaya membunuh seorang pegawai pasukan  Brooke bernama Alan Lee. Kebangkitan Syarif Masahor dan Datu Patinggi Ali Abdul Gapur pula didorong oleh tindakan Brooke yang meluaskan kawasan pentadbirannya dengan mengambil alih beberapa daerah di bawah kuasa kesultanan Brunei.Sebagai penentangan, beliau telah membuat pakatan sulit dengan Datu Patinggi Abdul Gapur untuk menyerang kubu Brooke dan mengusirnya keluar dari Sarawak. Mereka kemudiannya membuat pakatan sulit untuk menyerang Kuching dan menggulinkan pentadbiran Brooke.

Penentangan terakhir berlaku di Sabah yang melibatkan tentangan para pemimpin  tempatan sepeti Mat Salleh. Ianya bermula apabila pentadbiran kompeni telah campur tangan dan memasuki wilayah di bawah kekuasaan beliau. Antara tindakan pihak kompeni yang membangkitkan kemarahan Mat Salleh ialah menyerang dan membakar kampung beliau. Pada tahun 1894, para pengikut Mat Salleh membunuh 2 orang peniaga kaum Dayak dan beliau enggan menyerahkan 4 orang pengikutnya yang terlibat dan memberi perlindungan kepada mereka. Mat Salleh dan pengikutnya juga melancarkan serangan ke atas Pulau Gaya dan memusnahkan bangunan kerajaan sebagai menunjukkan penentangan mereka terhadap penguasaan kuasa Inggeris. Perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran kompeni yang terus memperkenalkan beberapa perubahan yang bercanggah dengan nilai-nilai tradisi mendorong seorang pemimpin bernama Antanum tampil menentang pentadbiran kompeni. Antanum menyerang Persiangan dan pejabat pegawai Daerah Rundum sebagai menunjukkan penentangan terhadap penguasaan pihak Inggeris di negeri itu. 



4.0  KESIMPULAN

Kesimpulannya, kemasukan orang Cina dan orang India telah memberikan kesan terhadap kehidupan sosioekonomi di Tanah Melayu. Orang Cina dan India yang datang untuk memperbaik kehidupan mereka telah tinggal secara tetap di Tanah Melayu. Tidak dapat dinafi kan bahawa orang Cina dan orang India telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan masyarakat majmuk. Mereka terlibat secara langsung dalam kehidupan sosial dan ekonomi di Tanah Melayu. Kehidupan secara bersama antara kaum di Tanah Melayu telah mewujudkan keharmonian kaum.

Kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu telah menyebabkan berlakunya campur tangan dalam hal–ehwal dan pentadbiran di negeri-negeri tersebut. Dengan berlakunya campur tangan Inggeris, telah banyak menimbulkan ketidakpuasan hati orang-orang Melayu terhadap struktur pentadbiran dan pelaksanaan hal-ehwal di Tanah Melayu. Oleh yang demikian, berlaku penentangan di Tanah Melayu untuk menentang Inggeris daripada terus berleluasa dan mengukuhkan kuasanya. Terdapat pelbagai penentangan yang telah dilakukan oleh masyarakat Melayu yang melibatkan perbuatan dan pemikiran masyarakat Melayu setempat.

Walaupun British tidak menguasai seluruh negeri di Malaysia, namun pengaruh terhadap corak pentadbiran British di negeri-negeri selat, telah menyerap masuk ke negeri-negeri lain yang tidak dijajah, sama ada secara paksaan ataupun ianya ditiru oleh sultan bagi memantapkan sistem pentadbiran di negeri mereka. Walau bagaimanapun tindakan tersebut telah membuka jalan kepada British untuk campur tangan secara langsung di negeri-negeri tersebut. Malah pada masa yang sama hubungan baik antara British dengan Siam juga telah memudahkan British untuk campur tangan di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu. Hal ini telah menyababkan negeri tersebut telah dikuasai oleh British secara rasmi menjelang abad ke-20



BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Abdullah. 1981. Pemikiran Islam Masa Kini : Sejarah dan Aliran. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Abdul Rahman Haji Abdullah. 1988. Sejarah dan Tamadun Islam. Teks Publishing, Kuala Lumpur.
Buyong Adil. 1973. Sejarah Melaka dalam Zaman Kerajaan Melayu. Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Hamzah Ismail dan Shahbari Salamon. 1982. Ke Arah Perlaksanaan Sistem Ekonomi Islam di Malaysia. Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah. Bangi.
Mahayudin Hj. Yahaya. 2001. Tamadun Islam Edisi Kedua. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Selangor Darul Ehsan.
Othman Mohd. Yatim. 1989. Warisan Kesenian dalam Tamadun Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.



17 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. sangat bagus untuk pencarian maklumat bagi budak-budak yang masih lagi belajar di sekolah rendah

    BalasPadam
  3. terim a kasih saudara sangat bermanfaat

    BalasPadam
  4. THANKS SANGAT2... USEFUL SANGAT.

    BalasPadam
  5. Terima kasihhhhh ! Saya gunakan untuk kerja khusus sejarah pt3 2019 terima kasih sangat ! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah. Semoga beroleh kejayaan dalam pelajaran.

      Padam
  6. Terima kasih banyak banyak..akhirnya saya dpt buat kerja khusus sejarah pt3 2019

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semoga membantu memudahkan tugasan anda. Semoga terus suksess dalam pelajaran.

      Padam
  7. Terima kasih 😊 dapat juga menyiapkan kerja khursus sejarah pt3 2019

    BalasPadam
  8. Terima kasih! Useful sgt dlm kerja khusus

    BalasPadam
  9. Kesan terhadap kuasa pentadbiran setelah campur tangan british

    BalasPadam