KESAN INTERAKSI PERADABAN ISLAM DAN PERADABAN MELAYU
1.0 Pengenalan
Kedatangan Islam telah mengubah kehidupan keagamaan
yang sebelum itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh kepercayaan
Hindu-Buddha. Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan. Sungguh pun
disebut hubungan Tanah Melayu dengan dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9
Masihi mungkin kerana dagang, tetapi kesan terbesar terjadi hanya sesudah
terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka dengan kekuatan sistem pemerintahan dalam
bidang siasah, ekonomi, sosial dan kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam
penyebaran Islam ke seluruh Alam Melayu. Dalam tempoh hampir 15 abad dari awal
Masihi sehingga permulaan abad ke-15, turun naiknya Kerajaan-kerajaan Melayu
boleh ditelusuri dari Zaman Funan, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan
kerajaan-kerajaan wilayah seperti di Kediri, Singosari, Kutai Kartanegara.
Sejarah Islam telah menunjukkan bahawa keistimewaan yang
terkandung dalam Islam telah mampu membentuk satu tamadun yang mengangkat
tinggi martabat manusia, menuju kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat. Tamadun
Islam telah muncul dan menempa kegemilangan yang tiada tolok bandingnya
lantaran kesyumulan dan kesepaduan Islam itu sendiri yang menjadi intipati
kepada Tamadun Islam. Akhirnya Tamadun Islam telah berjaya mendepani zaman dan
menjadi rujukan kepada pembinaan tamadun manusia sehinggalah ke hari ini.
Perkataan tamadun merangkumi kebudayaan, peradaban,
kemajuan (kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Menurut Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka, tamadun atau civilization bermaksud kemajuan atau dalam
tingkat penghidupan atau peradaban. Dari bahasa Arab, perkataan tamadun atau
peradaban sering dikaitkan dengan beberapa istilah seperti madaniah dan
hadarah. Perkataan tamadun lahir daripada perkataan maddana yang mempunyai dua
pengertian, iaitu merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota, serta
perbuatan memperhalus budi pekerti. Ibnu Khaldun, bapa ilmu ketamadunan dalam
bukunya Muqaddimah menggunakan istilah umran untuk menerangkan konsep tamadun.
Umran pada asalnya bermakna suatu tanah atau tempat yang didiami manusia yang
mempunyai persediaan yang cukup bagi manusia dan keperluannya. Saiyid Qutb
mendefinisikan tamadun Islam sebagai segala bentuk kemajuan yang dihasilkan
oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politk,
ekonomi, dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai
moral Islam. Manusia tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jika tidak
mempunyai masyarakat yang bermoral.
Tamadun Melayu ialah sebuah
tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas
sebagai kumpulan orang Melayu dan bertempat di suatu wilayah di AsiaTenggara
yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu – Indonesia
(Malay – Indonesia Achipelago), Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawa dan sebagainya.
Menurut Mohd Ghouse Nasuddin 1993, tamadun Melayu merujuk kepada satu rumpun
bangsa yang berasal daripada satu punca, mempunyai asas kehidupan yang sama dan
hanya berbeza darisegi pengaruh alam persekitaran. Dari segi kesenian ia adalah
lebih luas, merangkumi kawasan dunia Melayu lama iaitu yang terletak di kawasan
kepulauan dan benua Asia Tenggara dan berpusat di kerajaan-kerajaan Srivijaya,
Majapahit, Melaka dan Kedaram. Manakala, dalam keadaan geopolitik, sekarang
dunia Melayu lama merangkumi Malaysia, Brunei, Indonesia, ThaiSelatan,
sebahagian Kemboja dan Selatan Filipina.
Tamadun Islam merupakan
penghayatan Islam sebagai sebuah cara hidup (way of thelife) yang menyeluruh.
Berbeza daipada tamadun-tamadun dunia yang lain, kelahirannya tidak disebabkan
faktor-faktor material. Perkembangannya bermula dengan turunnya ayat al-Quran kepada
Nabi Muhammad S.A.W pada abad ke 7 Masihi. Baginda menjadi role model kepada
seluruh umat Islam dalam pengembangan tamadun Islam sehingga kini agar
pembinaan tamadun yang gemilang hendaklah berasaskan kepada penghayatan Islam
itu sendiri. Kemajuan tamadun Islam tidak terbatas hanya pada kemajuan
kebudayaan semata-mata, malahan ia merupakan kemajuan yang serentak dengan
kerohanian. Tamadun Islam berbeza dengan tamadun dunia yang lain kerana ia
meletakkan al-Din sebagai asas yang membentuk tamadun berbanding dengan tamadun
lain yang diasaskan oleh manusia.
2.0 KESAN INTERAKSI PERADABAN
ISLAM DAN PERADABAN MELAYU
Interaksi secara mudahnya memberi maksud hubungan,
pertemuan, komunikasi dan lain-lain yang berlaku dalam kelompok, masyarakat dan
seterusnya negara. Hal ini bermaksud interaksi antara peradaban, bukanlah
merujuk kepada interaksi antara tamadun itu sendiri, tetapi secara realitinya
merujuk kepada interaksi antara individu atau masyarakat yang mana individu
atau masyarakat tersebut mewakili sesuatu peradaban (tamadun). Tiada peradaban yang tulen secara mutlak iaitu
tiada tamadun yang wujud dan berkembang secara ekslusif iaitu bergantung kepada
faktor dalaman semata-mata.
Peradaban mempunyai jenis-jenis interaksi yang
tersendiri. Jenis-jenis interaksi antara peradaban ialah interaksi fizikal,
interaksi teologi dan agama, interaksi sains dan teknologi dan interaksi
budaya. Interaksi fizikal ialah merujuk kepada hubungan yang berlaku dalam
aspekbiologi antara kaum. Interaksi berlaku di sepanjang sejarah manusia.
Kemudian, menerusi interaksi toelogi dan agama, ramai berpendapat bahawa agama
adalah satu sistem yang tertutup. Dari satu segi, ia memang benar kerana
terdapat agama yang unik yang hanya dapat dipraktikkan oleh bangsa tertentu
sahaja misalnya agama Shinto (Peradaban Jepun). Di samping itu, interaksi sains
dan teknologi merupakan unsur yang paling ketara dalam mana-mana peradaban.
Contohnya Peradaban Hindu yang kaya dalam bidang sains dan falsafah, sebahagian
ideanya dalam aspek ini adalah hasil interaksinya dengan tamadun China. Selain
itu, interaksi budaya merupakan interaksi yang paling jelas terlihat pada mana-mana
tamadun. Interaksi budaya meliputi pelbagai aspek kehidupan seperti makanan,
pakaian, senibina, seni ukir, muzik dan sebagainya. Antara kesan interaksi
peradaban Islam dengan peradaban Melayu adalah seperti berikut :
2.1 AKIDAH DAN KEPERCAYAAN
Sebelum kedatangan
Islam, masyarakat Nusantara telah dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha.
Kepercayaan mereka banyak diselaputi oleh unsur-unsur Hindu-Buddha. Oleh yang
demikian banyak pengaruh berkanaan masih tidak dapat ditinggalkan oleh masyarakat
Islam Nusantara. Pada peringkat awal kedatangan Islam terdapat beberapa buah
kerajaan Islam yang muncul di Nusantara seperti Sumatera, Melaka, Filipina,
Pattani, dan Jawa. Kesan utama yang dibawa oleh Islam ialah terhadap akidah dan
kepercayaan di mana bangsa Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu-Buddha.
Mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa, hormat-menghormati antara manusia
dan menitikberatkan soal persamaan taraf. Kedatangan dan penerimaan agama Islam
telah menghasilkan beberapa ciri utama dalam tamadun Melayu, misalnya mengenai
sistem politik dan pentadbiran, sistem pemerintahan empayar Uthmaniyah telah
diperkenalkan dan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua agama Islam.
Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh mengubah
keadaan ini. Kelihatan benar bahawa tiada risalah lain lagi kecuali Islam.
Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah yang membawa kepada
kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala
kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan (hablunminallah)
dan hubungan yang saling membantu sesama manusia (hablunminannas).
Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab
yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah Taurat, Zabur dan Injil itu
terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya
ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan
mencorengkan arang fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu
diberikan penjelasan secara ilmu dan hakikat kebenaran. Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat Islam dan umat
manusia sejagat. Umat Islam pula sebagai suatu umat pilihan tidak harus
terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh arah pandu musuh dan
semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan tanpa mengambil
kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fiqh mengikut keutamaan
(fiqh al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran
dan al-Hadith.
Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu
sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati. Kekuatan rohani dan risalah Islamiah
yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang teristimewa berbanding dengan
mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya berada sama di barisan
hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung kehidupan
berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang
menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai
dengan tuntutan Islam.
Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan
meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama, tetapi bertindak membawa
kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya menuntut perseimbangan antara
keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara iman, ilmu dan amal,
mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu dengan
kepentingan umum. Sesungguhnya kita ingin
melihat suatu kesegaran baru kebangkitan semula umat Islam di Dunia Melayu
melalui dorongan keikhlasan para ulama di serata wilayah dan kota-kota penting
dalam gerakan intelektualisme bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan
tinggi dan mengisi segala sumber kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar
dan insaf serta kembali kepada kesedaran aqidah yang lebih mendasari
berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Krisis umat Islam hari ini adalah
krisis aqidah sehingga tidak tahu lagi membezakan halal haram atau buruk baik.
2.2 SISTEM
PENDIDIKAN
Kesan Interaksi
peradaban Islam dan peradaban Melayu dapat dilihat dalam sistem pendidikan di
negara ini. Perkembangan ilmu pengetahuan dan pandangan semesta ternyata agama
Islam telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada tamadun Melayu dan istana
dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan, terutamanya agama
Islam. Semua golongan tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang untuk mendapat
dan mempelajari ilmu pengetahuan. Kesannya, muncullah golongan intelektual,
terutama alim ulama’ yang telah menghasilkan tulisan mereka, terutama karya-karya
berbentuk keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakan
sastera kitab.
Kedatangan Islam
memberi jiwa yang baharu dan besar kepada kebudayaan Melayu khususnya bahasa
Melayu. Kedatangan pengaruh Islam menjadikan bahasa Melayu kaya dan mampu digunakan
untuk membahas perkara-perkara yang ilmiah seperti falsafah (yang tidak pernah
berlaku pada masa sebelum kedatangan Islam sekalipun pengaruh Hindu cukup kuat
bertapak pada kebudayaan Melayu pada ketika itu). Kehadiran ilmu Tasawuf, hukum
dan undang-undang, penterjemahan al-Quran (misalnya, Abdul Rauf al-Fansuri
menterjemahkan al-Quran buat pertama dalam bahasa Melayu pada abad ke-17 M),
perbahasan ilmu Hadis, ilmu Hadis, ilmu fekah dan berbagai-bagai ilmu lagi.
Ringkasnya, kedatangan Islam menjadikan bahasa Melayu mampu untuk digunakan
bagi membahas perkara-perkara yang bersifat intelektual.
Pendidikan formal
adalah hal berkaitan keagamaan di rumah, istana, masjid, surau, madrasah dan
pondok. Di rumah guru, pendidikan al-Quran diajar melibatkan anak -anak berusia
7 hingga 15 tahun. Manakala di istana, menurut Sejarah Melayu, pusat pengajian agama
terdapat di istana Melaka. Sultan Mansur Syah telah menerima pengajaran Islam
daripada Maulana Abu Bakar. Ramai ulama menetap di Melaka antaranya orang Arab,
Parsi, Gujerat, kerana pengaruh pemerintah Melaka. Kitab al-Dur al Manzum
(kitab Tasawuf) merupakan kitab sangat terkenal di istana Melaka hingga ke
istana kerajaan Johor. Pengajaran buku hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah
turut disimpan di istana Melaka. Ilmu politik dan pentadbiran negara jugadiajar
di istana. Manakala di masjid dan surau, kanak-kanak diajar ilmu tajwid, fikah
dan bacaan sembahyang, orang dewasa pula belajar ilmu fikah, usuludin, hadis,
tasawuf pada tahap lebih tinggi. Pengajian pondok pula menyediakan pelajar yang
bakal menjadi guru agama dan berkhidmat kepada masyarakat. Pondok terkenal
terdapat di Kelantan (Pondok Pulau Condong), Terengganu (Pondok Pulau Manis)
dan Kedah (Pondok Titi Gajah). Pelajar akan belajar sehingga 10 tahun
sebelumtamat pengajiannya. Wujud juga sistem madrasah yang diperkenalkan oleh
Bani Saljuk di Iraq. Sistem ini berdasarkan sukatan pelajaran dan dilaksanakan
secara kelas. Pendidikan madrasah ini mengikut tahap iaitu tahap permulaan,
pertengahan, pengkhususan. Ia diawasi oleh Mudir (Guru Besar) dan diselia oleh
sebuah lembaga. Perkembangan-perkembangan
mutakhir dalam bidang pendidikan di rantau ini telah membuka
kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan ISTAC
(Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa) di Malaysia umpamanya telah
menjadikan rantau ini sebagai salah satu pusat tumpuan para ilmuwan dunia.
Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan semakin ramainya para pelajar dari
pelbagai rantau dunia termasuk Dunia Arab yang datang untuk belajar di
kampus-kampus kita.
Pendidikan dan
pengembangan ilmu adalah warisan Nabawi yang sangat utama. Firman Allah yang
pertama disampaikan melalui Jibril kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
adalah kewajipan terhadap pencarian ilmu dengan perintah:
"Bacalah
dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia
dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar
(manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang
tidak diketahuinya". Al ‘Alaq (Segumpal Darah) 96:1-5.
Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukup
besar terhadap perubahan sosio-budaya umat Melayu sesudah kedatangan Islam.
Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada mulanya dengan menadah kitab di
surau, langgar dan masjid atau di kalangan istana, sehingga kemudiannya terdirinya
pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu. Ilmu adalah
alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan pembentukan
akhlak. Proses pembudayaan rantau Melayu
banyak sekali dimainkan peranannya oleh para ulama yang bermula dari
pusat-pusat pemerintahan Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa,
Pasai, Acheh, Palembang dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan–Patani, Banten dan
Minangkabau.
Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya
pengaruh kebudayaan Islam di Alam Melayu dari Semenanjung sehingga ke kepulauan
Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau kegiatan dakwah seperti
yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan wilayah
geopolitik baharu seperti Aceh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama
abad ke-20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak
pernah surut. Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan pusat-pusat
kebudayaan Islam di al-Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki, juga India
dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri khusus terhadap sebuah tamadun Islam
di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban Melayu-Islam sebagaimana kita
kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam dan Turki-Islam.
Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam Melayu.
2.3 KESENIAN DAN
KEBUDAYAAN
Seni merupakan
sebahagian daripada kebudayaan; ia membawa erti indah, halus, lembut, senang
didengar atau ditutur, senang dilihat dan menerangkan sesuatu. Dalam bahasa
Inggeris disebut art yang berasal
dari bahawa Yunani, yang membawa makna kecekapan dan kebolehan. Kesenian adalah
ungkapan rasa halus yang dimanifestasikan melewati ciptaan buah fikiran manusia
yang hasilnya mengandungi unsur keindahan. Antara bentuk-bentuk seni Melayu
yang banya dipengaruhi oleh peradaban Islam seperti seni bina, seni ukir, seni
lukis, seni sastera, dan seni persembahan.
Interaksi antara
Tamadun Islam dan Tamadun Melayu telah turut mempengaruhi bidang seni bina
terutamanya seni bina masjid. Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk
mendirikan bangunan, reka bentuk dan reka letak yang dibina oleh manusia. Seni
bina terawal di Nusantara dapat dilihat pada zaman animisme dan zaman pengaruh
Hindu-Buddha. Seni bina Islam Nusantara mula bertapak sejak kedatangan agama
Islam. Perkembangan Islam di dunia Melayu Nusantara pada abad-abad ke-15M dan
ke-16M telah disertai dengan pembinaan masjid. Oleh kerana Islam di Asia
Tenggara dikatakan datang daripada beberapa daerah yang berbeza, maka Tamadun
Islam tidak hanya membawa unsur seni bina Arab, tetapi juga bentuk seni bina
China dan India. Malah bangunan masjid yang dibina juga mempertahankan
ciri-ciri seni bina tempatan. Contohnya, di Tanah Melayu, terdapat masjid yang
mempunyai bumbung berbentuk limas potong perak. Selain itu, pengaruh peradaban
Islam terhadap peradaban Melayu dalam
seni bina seperti seni bina masjid yang terdapat ciri khas seperti
mihrab, mimbar, telaga, bumbung, Masjid terkenal contohnya Masjid Kg. Laut
Kelantan dan Masjid Tengkera Melaka. Bentuk kubah potong bawah adalah pengaruh
seni bina Arab dan Parsi. Manakala istana raja pula dilengkapi dengan
balairung, tempat bersemayam, balai istiadat contohnya istana Melaka.
Seni bina rumah di
Nusantara banyak dipengaruhi oleh faktor agama, sosial, dan iklim. Terdapat
lapan jenis seni bina rumah di Nusantara. Rumah-rumah pula mempunyai seni
ukiran tumbuhan, geometri. Setiap rumah mempunyai keistimewaannya yang
tersendiri. Berikut merupakan beberapa jenis seni bina rumah-rumah di nusantara
:
1.
Rumah Melayu Melaka
Rumah ini mempunyai bumbung yang tinggi. Rumah
jenis ini mempunyai beberapa bahagian iaitu ibu rumah, dapur, anjung, dan
serambi. Serambi rumah Melaka ini bertutup dan berdinding. Ciri unik yang
terdapat pada rumah ini ialah terdapat banyak ukiran-ukiran pada kisi-kisi
papan, tangga, dan lain-lain.
|
2.
Rumah Panjang
Rumah panjang atau perabung panjang ini adalah
reka bentuk rumah terawal. Rumah jenis ini mempunyai bumbung yang tinggi dan
curam ke atas. Kebiasaannya ia hanya mempunyai satu perabung sahaja dan
beratapkan nipah atau genting. Rumah-rumah ini dapat dilihat di Rumah Bumbung
Panjang Melaka.
|
3.
Rumah Tiang Dua Belas
Rumah ini dinamakan begitu kerana ia mempunyai
dua belas tiang. Bumbungnya adalah bergenting dan ada sepasang tirai layar di
atasnya. Rumah ini merupakan rumah warisan tradisional orang Melayu. Rumah ini
mempunyai ukiran pada dinding, tingkap, pintu dan dinding-dindingnya adalah
berbentuk lidah buaya. Di sebelah atas tingkap atau pintu terdapat banyak
kerawang yang diukir dan ukiran tebuk sebagai perhiasan dan ruang udara.
|
4.
Rumah Perabung Lima
Rumah jenis ini mempunyai perabung yang menjadi
bumbung utama kepada serambi. Terdapat pengaruh moden dalam pembinaan rumah
ini iaitu pengaruh Belanda. Seni binanya mula dikenalkan oleh Belanda di
Melaka dan Johor. Pembinaan rumah seperti ini amat pesat semasa pemerintahan
Inggeris dan Belanda. Rumah ini juga begitu popular di Jawa dan Pattani.
|
5.
Rumah Limas
Rumah ini juga adalah hampir sama dengan masjid
yang berbentuk limas. Rumah ini adalah kecil dan rendah. Ia tidak mempunyai
pangkal serambi. Rumah ini adalah rumah yang popular. Di Indo-Jawa rumah
seperti ini dapat dilihat di Rumah Limas Ceblokan iaitu rumah tradisional
Jawa. Rumah berbentuk Limas ini kebiasannya dipunyai oleh golongan berada. Di
Malaysia, contohnya dapat dikihat di Kampung Raja.
|
6.
Minangkabau
Rumah Minangkabau merupakan rumah yang popular di
Malaysia. Rumah Minangkabau ialah rumah yang mempunyai brntuk bumbung seperti
tanduk kerbau yang terdapat di Negeri Sembilan.
|
7.
Rumah Bumbung Perak
Rumah bentuk ini juga dikenali sebagai Rumah
Potong Perak. Reka bentuk rumah ini mula dikenalkan di Nusantara agak lewat sedikit.
Rumah ini adalah rumah limas yang telah diubah suai. Perbezaannya dengan
rumah limas ialah dari segi bentuk bumbungnya yang mempunyau dua bumbung
selari memanjang. Di hujung beumbungnya terdapat bukaan atap kecil.
|
Seni epigrafi pula
ada pada batu bersurat, batu nisan,makam dan kubur-kubur. Batu nisan merupakan
karya seni Islam terawal yang masuk ke alam Melayu. Antara batu nisan yang
menampakkan pengaruh Islam ialah batu nisan Syeikh Abd al-Qakir bertarikh 903
(Kedah). Kesenian batu nisan dan makam dapat dilihat juga pada bentuk dan
hiasannya. Misalnya batu nisan Maulana Malik Ibrahim berbentuk badan kapal terbalik
yang menggambarkan pengaruh Parsi. Seni khat atau kaligrafi juga digunakan
sebagai hiasan di Masjid dan madrasah, batu nisan, tembikar atau mata wang. Hiasan
tulisan ayat-ayat al-Quran membuktikan kemahiran pengukirnya dalam seni khat
Arab. Tulisan syair-syair Parsi atau pola hiasan dedaun juga menyamai gaya
Parsi.
Seni persembahan
yang merangkumi tarian, muzik, nyanyian dipersembahkan dalam majlis
perkahwinan, berkhatan dan upacara bersifat keagamaan dalam peradaban Melayu
juga turut dipengaruhi oleh peradaban Islam. Antara contoh kesenian yang banyak
dipengaruhi oleh peradaban Islam seperti tarian pengaruh Arab seperti tarian
dabus di Perak, tarian inang di istana Melaka serta tarian zapin. Seni muzik
yang dapat dilihat pula seperti seni dikir diiringi rebana dan kompang.
Sebagai contoh, tarian zapin yang diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan
berasal dari Yaman. Zapin merupakan tarian Melayu yang berasaskan kesenian
Arab-Parsi yang telah disesuaikan dengan kesenian Melayu. Tarian Zapin bercorak
persembahan atau pertunjukkan. Gerak tarinya berasaskan langkah kaki penarinya.
Zapin menumpukan pada langkahan kaki dengan posisi kaki selalu tertutup dan
tidak merendah. Kebanyakan posisi badanselalu bergerak seperti ombak mengalun.
Posisi tangan tidak diperlihatkan secara jelas misalnya motif memetik bunga,
tangan kanan mahupun kiri beradadi bawah bahu. Kebiasaannya, senikata yang
dinyanyikan dalam lagu untuk tarian ini diselitkan dengan kalimat berunsur
keagamaan seperti ‘salam´ dan ‘assalamualaikum´, kata-kata nasihat dan pujian
kepada kebesaran agama dan kesempurnaan budi pekerti.
Banyak tarian
Melayu ciptaan baru mengambil rentak zapin sebagai irama tarian. Tarian zapin
telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di nusantara iaitu di
Semanjung Tanah Melayu, kepulauan Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang
mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura
dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan
ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Tarian Zapin mementingkan
pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang
mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas.
Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat
anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan
rebab mempunyai persamaan dengan gesekan biola
Selain Zapin, kehadiran
nazam atau naban yang merupakan sejenis puisi yang dilagukan juga merupakan
salah satu kesan interksi peradaban Islam dengan Peradaban Melayu. . Nazam ini
berbentuk syair yang dikarang dalam bahasa Melayu dan mengisahkan riwayat Nabi
Muhammad s .a w, para nabi Allah yang lain dan juga para sahabat Rasulullah
s.a.w. dalam syair ini,diperkatakan juga tentang ajaran ilmu tasawuf, fekah dan
ibadat. Persembahannya tidak disertai sebarang alat muzik, tetapi memerlukan
kemerduan suara. Persembahan seni lagu tersebut biasanya diadakan dalam
majlis-majlis perkahwinan, berkhatan, berkhatam al-Quran dan upacara-upacara
lain yang bercorak keislaman.
2.4 SISTEM EKONOMI
Faktor perdagangan secara jelas berkaitan dengan
kepentingan ekonomi. Tamadun yang terlibat dengan perdagangan, sikap mereka
lebih terbuka kerana memperoleh pengalaman berinteraksi dengan tamadun lain. Di
Asia Tenggara, misalnya salah satu perkara yang membawa keagungandan
kemasyhuran sesebuah tamadun ialah kepesatan perdagangan. Pada zaman Melaka
(1400 –1511), perdagangan merupakan perkara penting yang membawa kegemilangan
tamadun MelayuMelaka. Pedagang dari pelbagai pusat perdagangan seperti India,
Arab, Siam, Kepulauan Melayu, Cina, Burma dan tempatan telah berkunjung ke
Melaka untuk menjalankan aktiviti perdagangan mereka. Kemakmuran perdagangan
ini membawa Melaka ke mercu kegemilangan dan dihormati oleh kerajaan
sekitarnya.
Aplikasi Prinsip Islam Dalam Aspek Ekonomi Sebagai sebuah
negara Islam, Malaysia telah mengambil langkah yang wajar untuk memastikan
sistem kewangan Islam berfungsi selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang
telah digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dari segi matlamat dan operasinya.
Tujuan utama ialah untuk memenuhi keperluan umat Islam terhadap satu sistem
yang benar-benar menepati lunas syariah sebagai satu sistem kewangan yang
komprehensif serta mampu bersaing dengan sistem konvensional yang telah wujud
sekian lama.
Seterusnya, kesan
interaksi lain ialah aktiviti ekonomi bercorak agrarian seperti pertanian,
perikanan, penternakan dan sebagainya yang bergantung kepada alam, masih lagi
berlangsung selepas kedatangan Islam. Kedatangan Islam turut meningkatkan aktiviti
perdagangan di kalangan masyarakat Melayu. Seiring dengan itu, lahirlah pasar
serta kotabersifat antarabangsa di mana terdapat aktiviti perdagangan oleh
pedagang Asing dari Arab, Parsi, Cina, India dan sebagainya. Perdagangan yang
dulu dilakukan sebagai barter dan mata wang semakin berkembang. Sistem mata
wang diguna pakai secara meluas sesuai dengan perkembangan aktiviti perdagangan
bersifat antarabangsa pada masa tersebut.
2.5 POLITIK,
PERUNDANGAN DAN PENTADBIRAN
Pengaruh Islam
yang lain di Asia Tenggara adalah dalam bidang politik, perundangan
(pelaksanaan hukum syarak) dan pentadbiran. Melaka merupakan salah sebuag
kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara pada abad ke-15M dan pada awal abad
ke-16M. Melaka bukan sahaja terkenal sebagai pusat perdagangan tetapi juga
sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara. Hal ini dapat disaksikan pada
sistem pemerintahan Kesultanan Melaka (1403 – 1511M). Dalam perkara ini,
peranan ulama-ulama Islam sangat penting khasnya dalam membentuk masyarakat di
Asia Tenggara, selain menjadi para pemimpin untuk menentang pencerobohan kuasa-kuasa
asing, terutama daripada penjajah Barat. Ulama-ulama inilah juga yang telah
mengajar dan mendidik masyarakat serta umat Islam untuk menegakkan maruah
bangsa, mempertahankan tanah air, agama dan bangsa, di samping menghayati ajaran-ajaran agama Islam.
Peradaban Islam
turut membawa perubahan dari segi politik dan pentadbiran. Konsep ‘devaraja’
yang menjadi pegangan polotik dan lambang daulat raja-raja tempatan telah
digantikan dengan konsep ‘khalifatullah fil-ardhi’. Raja tidak lagi dianggap
sebagai penjelmaan dewa-dewa Hindu tetapi merupakan khalifah Allah yang
bertanggungjawab memakmurkan bumi. Raja merupakan pemerintah yang tertinggi dalam
hierarki pentadbiran. Setelah kedatangan Islam, raja lebih dikenali sebagai
Sultan atau Yang Di-pertuan. Ganti nama diri raja ialah baginda atau Duli
Tuanku. Namun demikian, unsur kesakralan Sultan yang meliputi kesucian diri
Sultan serta keturunan baginda masih lagi mempunyai pengaruh yang penting dalam
masyarakat. Raja menurut kepercayaan Melayu mempunyai Daulat. Kedaulatan
bergantung kepada kekuatan rohaniyah dan jasmaniyah seseorang raja itu.
Peradaban Islam
turut mempengaruhi undang-undang dalam peradaban Melayu. Contohnya, dalam Hukum
Kanun Melaka dan Undang-undang laut Melaka. Walaupun semua tidak semua artikel-artikel
dalam HukumKanun Melaka yang selari dengan Islam, tetapi terdapat beberapa
fasal yang mempunyai keselarian dengan hukum Islam. Berikut disenaraikan Hukum
Kanun Melaka yang selari dengan prinsip-prinsip Islam:
1. Hukuman bunuh dibalas bunuh (Fasal B:2, Fasal 8:3,
Fasal 5:1 dan Fasal 5:3) contohnya dalam Fasal 5:1 menyebutkan bahawa:
........Fasal yang kelima menyatakan orang yang
membunuh dengan tiada setahu raja-raja atau orang besar-besar. Jikalau
dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia pada hukum Allah,
maka adil namanya.
|
2. Hukuman potongan tangan jika seseorang didapati
bersalah kerana mencuri (Fasal 7:2) :
Adapun jikalau ia mencuri, maka tertangkap lalu
dibunuhnya maka kenalah denda akan dia setengah harganya.....adapun pada
hukum Allah orang yang mencuri itu tiada harus dibunuh, melainkan dipotong
tangannya.
|
3. Fasal 36:2 menyentuh tentang hukum ibadat
sembahyang.
Bermula orang yang bersembahyang itu atas dua
perkara; meninggalkan dan tiada iktikadnya pada fardhu sembahnyang. Dalam
iktikadnya bahawa sembahyang fardhu
itu disuruh ia sembahyang. Jika tiada ia sembahyang oleh kesakitan, tiada ia
mengkar, disuruh taubat murtad tiga kali. Jikalau sembahnyang, baik jalan
itu.
|
Kesimpulannya,
walaupun terdapat pertentangan antara hukum Islam dengan hukum adat dan
undang-undang Kesultanan Melaka. Namun begitu terdapat juga kesepakatan dan
kesesuaian dengan hukum-hukum Islam.
Selain sistem
politik yang tersusun, kesultanan Melayu Melaka turut mempunyai sistem
pentadbiran yang sistematik. Dalam sistem pentadbiran juga meletakkan Sultan
sebagai pemerintah tertinggi negara. Sultan bukan sahaja bertindak sebagai
pemerintah negara malah bertindak juga sebagai hakim dan penggubal
undang-undang. Apabila seseorang Sultan itu mangkat biasanya tahta diambil alih
oleh anaknya. Dalam menjalankan urusan pentadbiran Sultan dibantu oleh
Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana dan Syahbandar.
Masing-masing berperanan dalam memastikan kelancaran pentadbiran Melaka. Bendahara
merupakan jawatan yang paling tinggi dan orang yang paling rapat dengan sultan.
Bendahara berperanan sebagai penasihat sultan sama ada yang melibatkan urusan
luar atau negeri.
2.6 SOSIAL
Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan
melampaui batas agama dan fitrah kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun
Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya
Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu, terutama televisyen memaparkan
segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu tindakan mesti
dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan
mendalam. Kemajuan ekonomi dan
kesejahteraan sosial bangsa, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, Brunei,
Thailand dan Filipina tidak boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan
keagamaan dan nilai budaya. Dari
segi sosial, kesan interaksi antara dua-dua tamadun adalah lahirnya konsep
keadilan tanpa mengenal kedudukan atau pangkat. Islam telah memperkenalkan
sistem khalifah Islam yang adil dan sistematik.
Antara
kesannya, gelaran Sultan, sistem mesyuarat di kalangan ahli-ahli yang pakar
disebut sistem syura, sistem hisbah iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran dan termasuklah kriteria perlantikan menteri. Aspek terakhir
yang dapat dilihat adalah dari aspek gaya hidup. Perubahan adat istiadat
pemerintah dalam pertabalan raja kandungan bacaan ciri di mansuhkan, bacaan
ikrar diteruskan kerana ia menyerupai baiah, perlantikan pengganti sultan
sebelum istiadat pemakaman ditiru daripada kerajaan Bani Umaiyah.
Perubahan akhlak rakyat, contohnya, ibu bapa amat
dihormati, jiran dianggap seperti keluarga, panggilan pangkat diberi seperti
Pak Long dan Mak Long, apabila orang muda bercakap dengan orang tua suara perlu
rendah. Adab berziarah juga terbentuk seperti seseorang perlu memberi salam dan
tuan rumah wajib menjawab salam, kemudian bersalaman. Kanak-kanak mencium
tangan orang yang lebih tua, tetamu dilayan dan dihormati dengan hidangan makan
minum, bacaan bismillah dimulakan untuk menjamu makan minum. Majlis perkahwinan
dan berkhatan diadakan mengikut Islam. Majlis seperti ini juga menekankan nilai
gotong-royong, bekerjasama dan perpaduan.
3.0 KESIMPULAN
Tamadun sesebuah
masyarakat bukanlah bersifat tertutup, sebaliknya bersifat terbuka. Sifat
inilah yang memberi peluang kepada berlakunya interaksi antara tamadun.
Interaksi antara tamadun menghasilkan dua kesan yang penting, iaitu kesan
positif atau kesan negatif. Kesan positif memberi pengukuhan kepada sesuatu
tamadun. Elemen-elemen atau ciri-ciri tamadun luar yang diterima oleh sesuatu
tamadun akan mengalami proses asimilasi dan penyesuaian. Sementara kesan
negatif pula, seringkali mewujudkan konflik antara masyarakat yang memiliki
tamadun yang berbeza. Konflik ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti
teologi, ekonomi, sosial dan politik. Faktor yang lebih sering menjadi penyebab
kepada konflik ini ialah faktor teologi. Dalam interaksi antara tamadun kita
juga dapati kesan yang yang terhasil daripada interaksi itu juga tidak sama
bagi kedua-dua tamadun. Bagi tamadun yang tinggi dan lebih lama, ia lebih
banyak mempengaruhi ataupun meninggalkan unsur-unsur penting kepada tamadun
yang lebih rendah. Sebaliknya, tamadun yang lebih rendah pencapaiannya akan
lebih bersifat receptive, walaupun ia turut mempengaruhi tamadun yang lebih
tinggi. Kesan positif daripada interaksi antara tamadun ini akan dapat memperkayakan
tamadun tersebut serta mengelakkannya menjadi jumud, beku dan statik. Hasilnya,
sesuatu tamadun yang terbuka dan dapat mengasimilasikan pengaruh luar itu akan
semakin berkembang dan melahirkan perubahan-perubahan yang penting.
Dengan penerimaan negara
ini sebagai sebuah negara Islam menimbulkan beberapa implikasi dalam kehidupan
Muslim. Kita berhak menuntut pemerintah melaksanakan Islam sepenuhnya
kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai pemerintah Islam. Kita dapat
hidup dengan harmoni dan dapat berusaha meningkatan produktiviti untuk
kepentingan Islam, kerana terdapat sikap baik sangka antara satudengan yang
lain. Menimbulkan tanggungjawab yang lebih kepada Muslim untuk
melaksanakan Islam di mana saja dia berada, kerana tidak dirasakan ada sesuatu
yang bercanggah yang patut dielakkan dalam kehidupannya. Membina sikap
positif dan membuat kritikan yang membina untuk kepentingan Islam, serta
berpatisipasi dalam memenuhi tuntutan Islam di mana saja ada
kekurangan. Setiap individu Muslim merasa berkewajipan untuk membangun
negara dan umatnya dalam keupayaan masing-masing.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Abdullah. 1981. Pemikiran Islam Masa Kini : Sejarah dan Aliran. Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kuala Lumpur.
Abdul Rahman Haji Abdullah. 1988. Sejarah dan Tamadun Islam. Teks Publishing, Kuala Lumpur.
Buyong Adil. 1973. Sejarah
Melaka dalam Zaman Kerajaan Melayu. Dewan bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur.
Hamzah Ismail dan Shahbari Salamon. 1982. Ke Arah Perlaksanaan Sistem Ekonomi Islam di
Malaysia. Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah. Bangi.
Mahayudin Hj. Yahaya. 2001. Tamadun Islam Edisi Kedua. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Selangor
Darul Ehsan.
Othman Mohd. Yatim. 1989. Warisan Kesenian dalam Tamadun Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan