Mata Pelajaran : Bahasa Malaysia
Kelas : 1 Standard
Masa : 8.00 - 9.30 Pagi
Tema 3 : Hidup Selamat
Tajuk : UNIT 11 : Simpan dengan Selamat
Standard Kandungan : 1.2, 2.3, dan 3.3
Standard Pembelajaran : 1.2.1, 2.3.1. dan 3.3.1
Objektif Pembelajaran :
Pada akhir proses p&p murid dapat :
- mendengar, memahami, dan memberikan respon terhadap sesuatu arahan secara lisan atau gerak laku dengan betul.
- membaca kuat ayat tunggal dengan lancar, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul.
- membina dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup dengan betul dan kemas.
Langkah Pengajaran :
- Set Induksi : Guru meminta murid meneka benda yang tersembunyi di dalam kotak. benda tersebut ialah pisau.
- Guru mengaitkan set induksi dengan tajuk pembelajaran pada hari ini.
- Guru menunjukkan beberapa benda-benda berbahaya yang biasanya terdapat di rumah. Kemudian meminta murid memberikan pendapat mereka tempat yang selamat untuk menyimpan benda berbahaya tersebut.
- Guru menyalin beberapa ayat yang terdapat dalam buku teks di papan tulis. Murid dibimbing secara berkumpulan dan individu membaca petikan ayat tersebut.
- Murid dibahagi kepada 6 kumpulan untuk menjalankan aktiviti berkumpulan. Setiap kumpulan diminta untuk menyenaraikan 6 benda yang berbahaya dan tempat benda berbahaya tersebut harus di simpan.
- Setiap kumpulan diminta membentangkan hasil kerja mereka di hadapan murid-murid yang lain.
- Murid diminta melengkapkan lembaran kerja yang terdapat dalam buku aktiviti.
- Guru membuat kesimpulan daripada aktiviti p&p pada hari ini.
Nilai : Berwaspada dan kerjasama
BBB : Buku Teks, Buku Aktiviti, Pisau, Kotak, Kertas Mahjong. Pen Marker, dan Warna
Refleksi :
Sebagai kesinambungan aktiviti pembentangan semalam, saya sekali lagi merancang untuk menjalankan aktiviti pembentangan dalam p&p saya. Hal ini kerana saya semakin yakin dengan kebolehan murid saya. Mereka menunjukkan sikap positif untuk membentangkan hasil kerja mereka.
Seperti yang saya jangkakan, murid saya yang pada awalnya malu-malu untuk membentangkan hasil kerja kumpulan mereka kini semakin berani. Sehingga terdapat kumpulan yang berebut-rebut ahli kumpulannya yang ingin membentangkan hasil kerja mereka. Mereka tidak lagi segan dan semakin berani untuk bercakap di hadapan rakan yang lain. Saya juga tidak perlu lagi menunjukkan cara pembentangan. Mereka membentang mengikut kaedah pembentangan yang saya ajarkan kepada mereka. Saya sangat bersyukur kaedah ini berjaya menarik minat murid saya untuk belajar. Walaupun terdapat beberapa orang murid saya yang masih tidak dapat membaca namun itu bukan penghalang kepada mereka untuk membentang dengan baik.
Objektif pembelajaran saya pada hari ini tidak dapat dicapai sepenuhnya. Masih terdapat 6 orang murid saya yang masih tidak dapat membaca dengan lancar. Murid-murid ini akan diberi bimbingan secara berterusan sehingga mereka dapat menguasai kemahiran membaca. Teruskan berusaha murid-murid cikgu. Semoga kalian berjaya di dunia dan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan