KEAJAIBAN SABAR
Rujukan :
HADIS QUDSI
Terjemahan : K.H.M Ali Usman, Dr. H.M.D Dahlan, dan H.A.A Dahlan
100 SENJATA MUKMIN TERBONGKAR
Terjemahan : Laila Hasanah dan Mohd Ridzuan bin Ab. Rahman.
Bismillahirrahmanirahim......
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
SABAR ialah tetap tegaknya dorongan agama berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayat Allah kepada manusia untuk mengenaliNya dan RasulNya serta mengetahui dan mengamalkan ajaranNya dan kemaslahatan-kemaslahatan yang berkaitan dengan akibat-akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membezakan manusia dengan haiwan dalam menundukkan hawa nafsu. Sedang dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta agar ia dilaksanakan (Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali).
Allah berfirman dalam hadis qudsi :
"Apabila Aku hadapkan musibah (bencana) kepada salah seorang hambaKu pada badanya, hartanya atau anaknya, kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang sempurna, Aku merasa malu membuat timbangan baginya pada hari kiamat atau membukakan buku catatan amalannya."
Sabar yang sempurna (sabrun jamilun) iaitu sabar yang tidak memperlihatkan keluhan dan rintihan. Orang bertanya kepada Nabi s.a.w: "Apa dan bagaimana yang dinamakan "Sabrun jamilun?" Baginda menjelaskan dan mengatakan sabar yang tidak ada keluh kesah dan pengaduan. (Hadis Mursal riwayat Ibnu Abu Hibalah)
Ujian Allah bertujuan menilai sejauhmanakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya. Sabar adalah menahan diri dan membawanya kepada apa yang dituntut oleh syarak dan akal serta menghindarkannya dari apa yang dibenci oleh keduanya. Jadi sabar ialah suatu kekuatan daya positif yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan. Di samping itu sabar adalah satu kekuatan (daya) berhati-hati yang menghalangi seseorang untuk melakukan kejahatan.
Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah. Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan saja tidak mudah berputus asa. Hal ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.
Allah berfirman :
"Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahu orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu."
(Muhammad : 31)
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan."
(Al-Ankabut : 2)
Ikhtibar dari kisah pada zaman Rasulullah :
'Ata' bin Abu Rabah melaporkan, " Abdullah bin Abbas berkata kepada saya, 'Sukakah saudara, sekiranya saya tunjukkan seorang wanita yang bakal menjadi penghuni syurga?' Saya berkata, "Ya." Beliau menyambung. 'Wanita yang hitam itu menemui Nabi Muhammad dan berkata, 'Saya ini diserang penyakit sawan babi, disebabkan itu aurat saya terdedah. Saya berharap semoga tuan dapat mendoakan kesihatan saya'. Rasulullah menjawab, 'Sekiranya saudari mahu, saudari bersabar. Nanti saudari dibalas dengan syurga. Namun sekiranya saudari mahu, saya akan doakan supaya Allah menyembuhkan penyakit saudari'. Wanita itu berkata, 'Saya bersabar. Sebenarnya, kerana penyakit ini, kadang-kadang aurat saya terbuka tanpa saya sedari. Saya harap tuan berdoa sahaja supaya penyakit ini tidak menjadikan saya seorang yang membuka aurat'. Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w berdoa seperti kemahuan wanita tadi.
(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
Allah s.w.t kadangkala melaksanakan hukuman di dunia ini dengan memberikan ujian dan cubaan dalam berbagai bentuk, seperti :
- Cubaan jasmani dan rohani berupa penyakit, luka, cacat pada salah satu anggota, gigitan nyamuk, tusukan jarum, rasa susah, gelisah, resah, dukacita, rasa tidak aman (takut) dan lain-lain.
- Cubaan melalui harta kekayaannya seperti kehilangan, kebakaran, kekurangan, ketiadaan, kerosakan, dan sebagainya.
- Cubaan melalui keluarga dan keturunannya seperti kematian, penculikan, cacat pada saraf dan otak, lumpuh dan lain-lainnya.
Kesemua bala ujian dan cubaan tersebut mungkin terjadi kerana :
- Hasil dari kederhakaan manusia sendiri, hasil usaha perbuatan dan kelakuannya sendiri dan dihukum di dunia ini oleh Allah sebagai pembalasan serta merta dan spontan. Kemungkinan ini terjadi sebagai tanda kasih sayangNya untuk menghapuskan dosa kederhakaan di dunia ini, dan ia akan keluar dari dunia ini dalam keadaan suci bersih. Kemungkinan lain ialah untuk meninggikan martabatnya, baik di dunia mahupun di akhirat, apabila ia tidak mempunyai dosa (kederhakaan lain yang patut dihukum).
- Takdir Allah sendiri untuk menguji hambaNya terus-menerus dirundung malang, dan kelak akan diganti di akhirat dengan rahmat dan keredhaanNya.
Menurut falsafah Islam sikap sabar ada lima, iaitu :
- Sabar dalam beribadat (as-sabru fil ibadat), iaitu tekun mengendalikan diri melaksanakan syarat-syarat dan tata tertib ibadat.
- Sabar ditimpa malapetaka atau musibah (as-sabru 'inda musibah), iaitu teguh hati ketika mendapat musibah (cubaan atau ujian) baik yang berbentuk kemiskinan, kematian, kecelakaan, kejatuhan, diserang penyakit, dan sebagainya.
- Sabar terhadap kehidupan dunia (as-sabru 'anid dunya) iaitu sabat terhadap tipu daya dunia, tidak terpaut pada kenikmatan hidup di dunia, dan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai tujuan, tetapi hanya sebagai alat untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang kekal.
- Sabar terhadap maksiat (as-sabru 'anil ma'siah), iaitu mengendalikan diri supaya tidak melakukan maksiat.
- Sabar dalam perjuangan (as-sabru fil jihad), iaitu menyedari sepenuhnya bahawa setiap perjuangan mengalami masa naik dan turun, masa menang dan kalah.
Dilihat dari bentuk kegiatannya, sabar itu ada dua, iaitu :
- Sabar dalam menghadapi cubaan yang bersifat jasmani (fizikal) iaitu tabah memikul beban yang berat, tabah apabila ditimpa kemiskinan ataupun menderita sakit.
- Sabar dalam menghadapi cubaan yang bersifat rohani yang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu :
- "Iffah" iaitu sabar menahan hawa nafsu seksual.
- Teguh hati menahan musibah atau bencana yang menimpa, tidak gelisah, tidak mengeluh, tidak menyesal, tidak mengumpat, dan sebagainya. Dalam perkara ini, penggunaan perkataan sabar sesuai dengan istilah umum.
- Menahan diri dari kehidupan mewah di waktu kaya.
- Syaja'ah yakni sabar dalam perjuangan atau perperangan. Lawannya ialah jubun (pengecut).
- "Hilm" iaitu menahan diri dari kemarahan.
- "Tasamuh" (toleran) iaitu menahan diri dan lapang dada dalam menghadapi lawan.
- "Kitman" iaitu menahan diri dan memelihara rahsia, baik rahsia sendiri, rahsia orang lain ataupun rahsia negara dan lain-lain.
- Zuhud iaitu menahan diri dari daya tarik keduniaan dalam usaha memperolehi kebahagiaan di akhirat.
- "Qana'ah" iaitu menahan diri dari hidup berlebih-lebihan dan merasa puas dengan kehidupan yang sesuai dengan hasil usahanya.
Kesabaran Nabi kita Muhammad s.a.w berserta para sahabatnya, tabi'in, dalam menyampaikan, mengembangkan dan membela serta mempertahankan agama islam, agama yang hak atau yang suci, dapat dijadikan teladan oleh semua. Sabar untuk memetik hasil, sabar menunggu waktu yang tepat, sabar dalam membuat keputusan termasuk dalam sifat kepimpinan.
Bagaimanapun, pengalaman dan kenyataan menggambarkan ramai antara kita tidak sabar menempuh ujian dan cabaran. Malah, ada segelintir umat islam tidak dapt menerima perubahan dan peralihan struktur sosial, ekonomi dan teknologi, yang akhirnya menyebabkan mereka terpinggir dalam penguasaan teknologi. Hal ini berkait rapat dengan sikap ketidaksabaran dalam penerokaan ilmu di mana cabaran dan masalah dianggap menyusah atau membebankan.
Dalam pada itu, kita sering mudah tunduk kepada tekanan emosi dan nafsu dalam menghadapi persaingan mengejar kemajuan kerana sikap tidak sabar untuk berkuasa. Kita tidak sabar dengan nafsu materialisme hingga memilih jalan mudah untuk mencapai kedudukan. Malah, ada yang terbatas daripada tuntutan Islam sehingga mengamalkan perbuatan yang terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti penyelewengan, penipuan, dan salah guna kuasa.
Kita juga tidak sabar apabila ditegur atau dikritik walaupun teguran itu untuk kebaikan bersama sehingga mencetuskan krisis berpanjangan. Kita juga tidak sabar apabila diuji dengan sedikit masalah seperti kesusahan, kerugian, karenah keluarga, pekerjaan, perniagaan, dan pendidikan.
Umat Islam tidak seharusnya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekal kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaratkan serta disusuli dengan menunaikan kewajipan kepada Allah dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara mungkar. Justeru, umat Islam yang mempunyai akidah yang teguh akan mudah menerima bencana, kesukaran, cabaran, dan masalah yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, perlu sabar menghadapi ujian Allah itu.
Begitulah kelebihan sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan didunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru itu, kita perlu menanam sifat sabar pada diri dan ahli keluarga, di samping tidak meremehkan hal fardhu kifayah seperti mendalami ilmu pengetahuan, terutama teknologi maklumat agar dapat meningkatkan kehidupan umat Islam dan menjadi umat yang tidak mudah menyerah kalah. Umat Islam akan memperoleh hidayah dan syafaat berpandukan al-Quran dan al-Hadis serta mencontohi ciri kehidupan kalangan ambia, ulama dan orang yang soleh. Kesabaran sebarusnya menjadi teras yang melatari serta menunjangi hidup kita agar kejayaan dunia dan akhirat akan menjadi milik umat Islam seluruhnya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca.
Segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk datangnya dari kelemahan saya sendiri.
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharahlah kami daripada seksaan api neraka."