Sabtu, 28 September 2013

Surah-surah Amalan


10 Surah
dapat Menghalang daripada 10 ujian Besar Allah

1.    Surah Al-Fatihah dapat memadam kemurkaan Allah SWT.
2.    Surah Yasin dapat menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada hari Kiamat.
3.    Surah Dukhan dapat membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari kiamat.
4.    Surah Al-Waqiah dapat melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.
5.    Surah Al-Mulk dapat meringankan azab di dalam kubur.
6.    Surah Al-Kauthar dapat merelaikan segala perbalahan.
7.    Surah Al-Kafirun dapat menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian.
8.    Surah Al-Ikhlas dapat melindungi kita daripada menjadi golongan munafiq.
9.    Surah Al-Falq dapat menghapuskan perasaan hasad dengki.
10. Surah An-Nas dapat melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was.


Semoga dapat menjadi amalan kita semua....
INSYAALLAH

Jumaat, 27 September 2013

Sifat ALLAH S.W.T

Sifat 20 Bagi ALLAH

Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.


BIL : 1
SIFAT WAJIB : WUJUD
MAKNA : Ada
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu ada. Mustahil Allah itu tiada.


BIL : 2
SIFAT WAJIB :QIDAM
MAKNA : Sedia
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu sedia ada. Mustahil didahului oleh Adam (tiada)


BIL : 3
SIFAT WAJIB : BAQA
MAKNA : Kekal
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu bersifat kekal. Mustahil ia dikatakan fana (binasa)


BIL : 4
SIFAT WAJIB : MUKHALAFATUHU LILHAWADIS
MAKNA : Tidak sama dengan yang baharu
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu tidak mempunyai sifat-sifat yang baharu yakni dijadikan dan dihancurkan. Mustahil bersamaan dengan yang baharu.


BIL : 5
SIFAT WAJIB : QIYAMUHUU BINAFSIH
MAKNA : Berdiri dengan dirinya sendiri
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu bersendiri. Mustahil tidak berdiri dengan dirinya sendiri atau berdiri pada lainnya.


BIL : 6
SIFAT WAJIB : WAHADAANIYAT
MAKNA : Esa
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Maha Esa Dzat-Nya, Esa sifat-Nya dan esa juga perangai-Nya. Mustahil ia mempunyai Dzat, sifat dan perangai yang berbilang-bilang.


BIL : 7
SIFAT WAJIB : QUDRAT
MAKNA : Kuasa
SIFAT MUSTAHIL : Alah Taala itu Maha Berkuasa. Mustahil Allah itu lemah atau tidak berkuasa.


BIL : 8
SIFAT WAJIB : IRADAT
MAKNA : Menentukan
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Menentukan segala-galanya. Mustahil Allah Taala itu terpaksa dan dipaksa.


BIL : 9
SIFAT WAJIB : ILMU
MAKNA : Mengetahui
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat mengetahui segala-galanya. Mustahil Allah tidak mengetahui.


BIL : 10
SIFAT WAJIB : HAYAT
MAKNA : Hidup
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa hidup yakni sentiasa ada. Mustahil Allah Taala itu tiada atau mati.



BIL : 11
SIFAT WAJIB : SAMA
MAKNA : Mendengar
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu tidak tuli (pekak). Mustahil Allah tuli atau tidak mendengar.


BIL : 12
SIFAT WAJIB : BASAR
MAKNA : Melihat
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa melihat. Mustahil Allah Taala itu buta.


BIL : 13
SIFAT WAJIB : KALAM
MAKNA : Berkata-kata
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil Allah Taala itu tidak bercakap atau bisu.


BIL : 14
SIFAT WAJIB : QOODIRUN
MAKNA : Maha Kuasa
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat berkuasa sifatnya. Mustahil bagi Allah memiliki sifat lemah atau tidak berkuasa.


BIL : 15
SIFAT WAJIB : MURIIDUN
MAKNA : Menentukan
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkuasa menentukan apa yang dikehendakinya. Mustahil sifatnya terpaksa atau dipaksa.


BIL : 16
SIFAT WAJIB : AALIMUN
MAKNA : Maha Mengetahui
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mengetahui. Mustahil Allah Taala itu jahil atau tidak mengetahui.


BIL : 17
SIFAT WAJIB : HAYUUN
MAKNA : Hidup
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu Maha Hidup dan menghidupkan alam ini. Mustahil pula Allah itu mati.


BIL : 18
SIFAT WAJIB : SAMI'UN
MAKNA : Mendengar
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mendengar. Mustahil jika Allah Taala tidak mendengar atau tuli.


BIL : 19
SIFAT WAJIB : BASIIRUN
MAKNA : Melihat
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu melihat semua kejadian di muka bumi. Mustahil jika sifat Allah itu tidak melihat atau buta.


BIL : 20
SIFAT WAJIB : MUTAKALLIMUN
MAKNA : Maha Berkata-kata
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil jika Allah Taala bisu atau tidak boleh berkata-kata.


Rabu, 25 September 2013

Wasiat Rasulullah s.a.w


WASIAT RASULULLAH S.A.W
Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, "Rasulullah saw berwasiat kepadaku dengan sabda Baginda":
"Ya Ali! Tidak ada kefakiran yang lebih hebat daripada kebodohan. Tidak ada harta yang lebih berharga daripada aqal. Tidak ada kesepian yang lebih sunyi daripada ujub (rasa kagum pada diri sendiri). Tidak ada kekuatan yang lebih hebat daripada musyawarah. Tidak ada wara' yang lebih baik daripada menahan diri. Tidak ada keindahan selain akhlak dan tidak ada ibadah yang melebihi tafakur."
"Ya Ali! Segala sesuatu itu ada penyakitnya. Penyakit berkata-kata adalah bohong. Penyakit ilmu adalah lupa. Penyakit ibadah adalah riak. Penyakit akhlak adalah memuji diri sendiri. Penyakit pemurah adalah menyebut-nyebut pemberian. Penyakit bangsawan adalah merasa bangga. Penyakit malu adalah lemah. Penyakit mulia adalah menonjolkan diri. Penyakit kaya adalah kikir dan berlebih-lebihan, dan penyakit agama adalah hawa nafsu."
"Ya Ali! Perbanyakkanlah membaca Surah Yassin, kerana dalam membacanya itu terdapat sepuluh macam keberkatan. Tidak ada orang yang membacanya waktu lapar atau puasa melainkan kenyang. Haus kecuali hilang hausnya. Tidak memiliki pakaian melainkan ia akan memperolehi pakaian. Merasa takut kecuali datang rasa aman. Di penjarakan melainkan ia akan keluar dari penjara. Bujang melainkan ia akan berkahwin. Sewaktu musafir matanya menjadi terang dalam perjalanan. Tidak membacanya orang yang kehilangan sesuatu benda melainkan mendapatkannya kembali. Tidak dibacakan ia ke atas orang yang akan hampir ajalnya melainkan diringankan baginya. Barangsiapa yang membacanya di waktu subuh nescaya ia akan aman sehingga petang, dan barangsiapa yang membacanya di waktu petang nescaya ia akan berada di dalam keadaan aman sehinggalah waktu pagi."
"Ya Ali! Bacalah Surah Hammim Ad-Dukhaan pada malam Jumaat, nescaya Tuhan memberikan keampunan kepadamu."
"Ya Ali! Bacalah Surah Hasyar nescaya engkau berkumpul pada hari kiamat dalam keadaan aman dari segala sesuatu."
"Ya Ali! Bacalah Surah Tabaraka dan As-Sajadah nescaya berkat keduanya engkau diselamatkan Tuhan daripada bahaya hari kiamat."
"Ya Ali! Bacalah Qulhuwallahu Ahad dalam keadaan engkau berwudhuk, nescaya engkau akan di seru pada hari kiamat; Hai pemuji Tuhan! Bangkitlah, maka kemudian masuklah ke dalam syurga!"
"Ya Ali! Bacalah Surah Al-Baqarah, kerana sesungguhnya dalam membacanya itu ada membawa keberkatan, dan tidak mahu membacanya membawa penyesalan.
"Ya Ali! Janganlah engkau bersetubuh dengan isterimu pada malam bulan sabit baru muncul, dan jangan pula pada pertengahan bulan, kerana di khuatirkan anakmu akan cacat."
Aku (Ali) bertanya: Kenapa demikian ya Rasulullah? Jawap Baginda: "Kerana Jin banyak mendatangi wanita-wanita pada malam tengah bulan dan pada malam Hilal (bulan sabit). Apakah engkau tidak perhatikan bahawa orang-orang gila itu boleh muncul penyakitnya kembali pada malam tengah bulan dan malam Hilal itu?
"Ya Ali! Jauhilah sengketa, kerana ia akan menghapuskan amalan-amalan engkau."
"Ya Ali! Segeralah bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkah mendahului sedekah."
"Ya Ali! Jauhilah kemarahan, kerana syaitan menguasai anak cucu Adam dalam keadaan ia marah."
"Ya Ali! Jauhilah olok-olok, kerana hal itu akan menghilangkan kehebatan anak cucu Adam dan kesungguhannya."
" Ya Ali! Jauhilah riba, kerana padanya terdapat enam perkara, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga di dunia;
1. Ia akan cepat memusnahkan harta.
2. Ia akan melenyapkan kekayaan
3. Ia akan menghapuskan rezeki.
Adapun yang tiga di akhirat ;
1. Ia akan membawa buruk perhitungan (hisab).
2. Ia akan membawa kemurkaan Allah swt.
3. Kekal di dalam neraka."
"Ya Ali! Cintailah fakir miskin, nescaya Allah akan cinta pula kepadamu."
"Ya Ali! Janganlah engkau bentak fakir miskin, nescaya engkau akan di bentak pula oleh Malaikat pada hari kiamat."
"Ya Ali! Janganlah engkau abaikan sedekah, kerana ia akan menolak kejahatan dari dirimu."
"Ya Ali! Keluarkan infak hartamu dan berikan kelapangan kepada keluargamu, dan janganlah khuatir terhadap Tuhan yang memiliki Arasy bahawa Ia akan menyediakan kurnia-Nya terhadapmu."
"Ya Ali! Janganlah berdusta, kerana dusta itu menghitamkan muka. Bila seseorang sentiasa berdusta, dia akan dinamakan disisi Tuhan "si pendusta", dan bila dia benar maka akan dinamakan disisi Tuhan sebagai orang yang "benar" (siddiq). Sesungguhnya berdusta itu akan menjauhkan Iman.
"Ya Ali! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah bicara yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat melebihi ketajaman lisannya."
"Ya Ali! Jauhilah sifat dengki, kerana dengki itu memakan segala kebajikan sebagaimana api memakan kayu bakar".
“Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan An-Nasa'i”

Khamis, 15 Ogos 2013

KEAJAIBAN SABAR


KEAJAIBAN SABAR

Rujukan :
HADIS QUDSI
Terjemahan : K.H.M Ali Usman, Dr. H.M.D Dahlan, dan H.A.A Dahlan

100 SENJATA MUKMIN TERBONGKAR
Terjemahan : Laila Hasanah dan Mohd Ridzuan bin Ab. Rahman.


Bismillahirrahmanirahim...... 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

SABAR ialah tetap tegaknya dorongan agama berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayat Allah kepada manusia untuk mengenaliNya dan RasulNya serta mengetahui dan mengamalkan ajaranNya dan kemaslahatan-kemaslahatan yang berkaitan dengan akibat-akibatnya. Sabar iaitu sifat yang membezakan manusia dengan haiwan dalam menundukkan hawa nafsu. Sedang dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta agar ia dilaksanakan (Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali).

Allah berfirman dalam hadis qudsi :
"Apabila Aku hadapkan musibah (bencana) kepada salah seorang hambaKu pada badanya, hartanya atau anaknya, kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang sempurna, Aku merasa malu membuat timbangan baginya pada hari kiamat atau membukakan buku catatan amalannya."

Sabar yang sempurna (sabrun jamilun) iaitu sabar yang tidak memperlihatkan keluhan dan rintihan. Orang bertanya kepada Nabi s.a.w: "Apa dan bagaimana yang dinamakan "Sabrun jamilun?" Baginda menjelaskan dan mengatakan sabar yang tidak ada keluh kesah dan pengaduan. (Hadis Mursal riwayat Ibnu Abu Hibalah)

Ujian Allah bertujuan menilai sejauhmanakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya. Sabar adalah menahan diri dan membawanya kepada apa yang dituntut oleh syarak dan akal serta menghindarkannya dari apa yang dibenci oleh keduanya. Jadi sabar ialah suatu kekuatan daya positif yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan. Di samping itu sabar adalah satu kekuatan (daya) berhati-hati yang menghalangi seseorang untuk melakukan kejahatan.

Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah. Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan saja tidak mudah berputus asa. Hal ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya. 

Allah berfirman :
"Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahu orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu."
(Muhammad : 31)

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan."
(Al-Ankabut : 2)

Ikhtibar dari kisah pada zaman Rasulullah :
'Ata' bin Abu Rabah melaporkan, " Abdullah bin Abbas berkata kepada saya, 'Sukakah saudara, sekiranya saya tunjukkan seorang wanita yang bakal menjadi penghuni syurga?' Saya berkata, "Ya." Beliau menyambung. 'Wanita yang hitam itu menemui Nabi Muhammad dan berkata, 'Saya ini diserang penyakit sawan babi, disebabkan itu aurat saya terdedah. Saya berharap semoga tuan dapat mendoakan kesihatan saya'. Rasulullah menjawab, 'Sekiranya saudari mahu, saudari bersabar. Nanti saudari dibalas dengan syurga. Namun sekiranya saudari mahu, saya akan doakan supaya Allah menyembuhkan penyakit saudari'. Wanita itu berkata, 'Saya bersabar. Sebenarnya,  kerana penyakit ini, kadang-kadang aurat saya terbuka tanpa saya sedari. Saya harap tuan berdoa sahaja supaya penyakit ini tidak menjadikan saya seorang yang membuka aurat'. Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w berdoa seperti kemahuan wanita tadi.
(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Allah s.w.t kadangkala melaksanakan hukuman di dunia ini dengan memberikan ujian dan cubaan dalam berbagai bentuk, seperti :

  1. Cubaan jasmani dan rohani berupa penyakit, luka, cacat pada salah satu anggota, gigitan nyamuk, tusukan jarum, rasa susah, gelisah, resah, dukacita, rasa tidak aman (takut) dan lain-lain.
  2. Cubaan melalui harta kekayaannya seperti kehilangan, kebakaran, kekurangan, ketiadaan, kerosakan, dan sebagainya.
  3. Cubaan melalui keluarga dan keturunannya seperti kematian, penculikan, cacat pada saraf dan otak, lumpuh dan lain-lainnya.

Kesemua bala ujian dan cubaan tersebut mungkin terjadi kerana :

  1. Hasil dari kederhakaan manusia sendiri, hasil usaha perbuatan dan kelakuannya sendiri dan dihukum di dunia ini oleh Allah sebagai pembalasan serta merta dan spontan. Kemungkinan ini terjadi sebagai tanda kasih sayangNya untuk menghapuskan dosa kederhakaan di dunia ini, dan ia akan keluar dari dunia ini dalam keadaan suci bersih. Kemungkinan lain ialah untuk meninggikan martabatnya, baik di dunia mahupun di akhirat, apabila ia tidak mempunyai dosa (kederhakaan lain yang patut dihukum).
  2. Takdir Allah sendiri untuk menguji hambaNya terus-menerus dirundung malang, dan kelak akan diganti di akhirat dengan rahmat dan keredhaanNya.

Menurut falsafah Islam sikap sabar ada lima, iaitu :

  1. Sabar dalam beribadat (as-sabru fil ibadat), iaitu tekun mengendalikan diri melaksanakan syarat-syarat dan tata tertib ibadat.
  2. Sabar ditimpa malapetaka atau musibah (as-sabru 'inda musibah), iaitu teguh hati ketika mendapat musibah (cubaan atau ujian) baik yang berbentuk kemiskinan, kematian, kecelakaan, kejatuhan, diserang penyakit, dan sebagainya.
  3. Sabar terhadap kehidupan dunia (as-sabru 'anid dunya) iaitu sabat terhadap tipu daya dunia, tidak terpaut pada kenikmatan hidup di dunia, dan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai tujuan, tetapi hanya sebagai alat untuk mempersiapkan diri menghadapi kehidupan yang kekal.
  4. Sabar terhadap maksiat (as-sabru 'anil ma'siah), iaitu mengendalikan diri supaya tidak melakukan maksiat.
  5. Sabar dalam perjuangan (as-sabru fil jihad), iaitu menyedari sepenuhnya bahawa setiap perjuangan mengalami masa naik dan turun, masa menang dan kalah.

Dilihat dari bentuk kegiatannya, sabar itu ada dua, iaitu :

  1. Sabar dalam menghadapi cubaan yang bersifat jasmani (fizikal) iaitu tabah memikul beban yang berat, tabah apabila ditimpa kemiskinan ataupun menderita sakit.
  2. Sabar dalam menghadapi cubaan yang bersifat rohani yang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu :
  • "Iffah" iaitu sabar menahan hawa nafsu seksual.
  • Teguh hati menahan musibah atau bencana yang menimpa, tidak gelisah, tidak mengeluh, tidak menyesal, tidak mengumpat, dan sebagainya. Dalam perkara ini, penggunaan perkataan sabar sesuai dengan istilah umum.
  • Menahan diri dari kehidupan mewah di waktu kaya.
  • Syaja'ah yakni sabar dalam perjuangan atau perperangan. Lawannya ialah jubun (pengecut). 
  • "Hilm" iaitu menahan diri dari kemarahan.
  • "Tasamuh" (toleran) iaitu menahan diri dan lapang dada dalam menghadapi lawan.
  • "Kitman" iaitu menahan diri dan memelihara rahsia, baik rahsia sendiri, rahsia orang lain ataupun rahsia negara dan lain-lain.
  • Zuhud iaitu menahan diri dari daya tarik keduniaan dalam usaha memperolehi kebahagiaan di akhirat.
  • "Qana'ah" iaitu menahan diri dari hidup berlebih-lebihan dan merasa puas dengan kehidupan yang sesuai dengan hasil usahanya.
Kesabaran Nabi kita Muhammad s.a.w berserta para sahabatnya, tabi'in, dalam menyampaikan, mengembangkan dan membela serta mempertahankan agama islam, agama yang hak atau yang suci, dapat dijadikan teladan oleh semua. Sabar untuk memetik hasil, sabar menunggu waktu yang tepat, sabar dalam membuat keputusan termasuk dalam sifat kepimpinan.

Bagaimanapun, pengalaman dan kenyataan menggambarkan ramai antara kita tidak sabar menempuh ujian dan cabaran. Malah, ada segelintir umat islam tidak dapt menerima perubahan dan peralihan struktur sosial, ekonomi dan teknologi, yang akhirnya menyebabkan mereka terpinggir dalam penguasaan teknologi. Hal ini berkait rapat dengan sikap ketidaksabaran dalam penerokaan ilmu di mana cabaran dan masalah dianggap menyusah atau membebankan.

Dalam pada itu, kita sering mudah tunduk kepada tekanan emosi dan nafsu dalam menghadapi persaingan mengejar kemajuan kerana sikap tidak sabar untuk berkuasa. Kita tidak sabar dengan nafsu materialisme hingga memilih jalan mudah untuk mencapai kedudukan. Malah, ada yang terbatas daripada tuntutan Islam sehingga mengamalkan perbuatan yang terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti penyelewengan, penipuan, dan salah guna kuasa.

Kita juga tidak sabar apabila ditegur atau dikritik walaupun teguran itu untuk kebaikan bersama sehingga mencetuskan krisis berpanjangan. Kita juga tidak sabar apabila diuji dengan sedikit masalah seperti kesusahan, kerugian, karenah keluarga, pekerjaan, perniagaan, dan pendidikan.

Umat Islam tidak seharusnya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekal kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaratkan serta disusuli dengan menunaikan kewajipan kepada Allah dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara mungkar. Justeru, umat Islam yang mempunyai akidah yang teguh akan mudah menerima bencana, kesukaran, cabaran, dan masalah yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, perlu sabar menghadapi ujian Allah itu.

Begitulah kelebihan sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan didunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru itu, kita perlu menanam sifat sabar pada diri dan ahli keluarga, di samping tidak meremehkan hal fardhu kifayah seperti mendalami ilmu pengetahuan, terutama teknologi maklumat agar dapat meningkatkan kehidupan umat Islam dan menjadi umat yang tidak mudah menyerah kalah. Umat Islam akan memperoleh hidayah dan syafaat berpandukan al-Quran dan al-Hadis serta mencontohi ciri kehidupan kalangan ambia, ulama dan orang yang soleh. Kesabaran sebarusnya menjadi teras yang melatari serta menunjangi hidup kita agar kejayaan dunia dan akhirat akan menjadi milik umat Islam seluruhnya.





Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca.
Segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk datangnya dari kelemahan saya sendiri.


"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharahlah kami daripada seksaan api neraka."

Selasa, 13 Ogos 2013

KHUTBAH TERAKHIR KEKASIH ALLAH


KHUTBAH TERAKHIR KEKASIH ALLAH
Rujukan :
100 SENJATA MUKMIN TERBONGKAR
Terjemahan : Laila Hasanah & Mohd Ridzuan Rizal Bin Ab. Rahman

Bismillahirrahmanirahim...... 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah :

"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Ku wariskan dua perkara kepada kalian, al-Quran dan Sunnahku. Sesiapa mencintai Sunnahku, beerti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

           Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisannya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.

          Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," Keluh hati semua sahabat kala itu.Manusia tercinta itu, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.

          Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

          Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

          Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?." " Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali aku melihatnya," Tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang mengetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. "Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah Malakul Maut," kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

          Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. " Jibril, jelaskan apa hakku nanti dihadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

          "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
          "Jangan khuatir, wahai kekasih Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku : "Kuharamkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,"Kata Jibril.

          Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

          "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.
"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

          Sebantar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.

          "Uushiikum bis shalati, wa ma malakat aimanuka" ("Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu").

          Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatii" (Umatku, umatku, umatku").

           Dan, berakhirlah hidup manusia yang memberi sinaran itu. Kita umat yang ditinggalkannya, hanya ada satu cara untuk membuktikan cinta kita kepada Rasulullah, iaitu dengan mengikuti semua sunnahnya sesuai dengan kemampuan dan kesanggupan kita.






Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca.
Segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk datangnya dari kelemahan saya sendiri.


"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharahlah kami daripada seksaan api neraka."