DIDIK & KUASAI DIRIMU
Rujukan :
JANGAN BERPUTUS ASA
Hamdan Lutfi
Bismillahirrahmanirahim......
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Tidak ada sesuatu yang lebih sukar bagi seseorang selain menguasai nafsu, mengubahnya dari sifat-sifat yang tercela dan menggantinya dengan akhlak yang mulai, kebiasaan yang baik dan perilaku yang utama.
Allah s.w.t berfirman :
"Dan siapa yang dipelihara dari kepelitan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung."
(Surah al-Hasyr : Ayat 9)
Nafsulah yang menghalang antara hamba dan Tuhannya. Barangsiapa yang mengetahui tentang dirinya sendiri, maka ia akan merasa rendah diri kepada Allah s.w.t. Apabila umat manusia mengatahu tentang nafsu itu, maka mereka akan menjahuinya.
Barangsiapa yang benar-benar telah mengenal Allah s.w.t maka lisanya menjadi bisu, demikian juga perangai, hawa nafsu, adat kebiasaan dan wujudnya. Tetapi lisan hati, batin, tingkah laku, pangkat dan anugerah yang diberikan kepadanya, akan berkata untuk menampakkkan apa yang ada pada mereka. Oleh kerana itulah, sebahagian ulama berkata :
"Barangsiapa yang mengenal dirinya sendiri, maka dia akan mengenal tentang tuhannya."
Amar makruf dan nahi mungkar adalah lebih utama daripada seribu orang yang beribadah di dalam rumah ibadah. Pejamkanlah nafsumu dan persempitkanlah keinginannya, sehingga ia tidak menjadi penyebab kehancuran bagi dirimu, kecuali apabila nafsumu itu menjadi pengikut hati dan batin. Nafsu tidak membantah hati dan batin, malahan bersekongkol dengan kedua-duanya dalam pendapat dan tujuan. Apabila kedua-duanya (hati dan batin) memerintah, maka nafsupun demikian juga. Demikian jugalah halnya dalam masalah larangan dan pemilihan.
Walau bagaimanapun, perkara ini bukanlan satu kerja yang mudah. Hal ini merupakan satu kerja yang amat sukar dan ada kalanya memerlukan perjuangan yang besar, kerana mengancam dan mengubah keadaan jiwa, perilaku dan akhlak, dan sifat jiwa adalah menentang segala perubahan dan sesuatu yang mengancam kewujudannya sekarang walaupun sebenarnya kewujudannya tidak baik untuk jiwa, juga kerana perkara ini berkaitan dengan penerimaan keyakinan, fikiran, kenikmatan dan kesenangan hati atau tubuh, atau kebiasaan yang telah diterima. Oleh sebab itu, untuk melakukan perubahan yang basar ini, ia mesti melibatkan dasar-dasar yang menjadi landasan akhlak dan perilaku yang dituntut dalam agama islam.
Perkara yang dapat menyebabkan jiwa lepas kawalan dan seseorang tidak dapat menguasainya seperti berikut :
Semua musibah dan kesengsaraan itu adalah lepasnya jiwa dan tidak dapat dikuasai dengan hawa nafsu menutup akal. Lepasnya jiwa tersebut dalam berbagai-bagai bentuk, tetapi di sini saya hanya memberi contohnya sahaja agar kita sentiasa berhati-hati.
- Menangguh-nangguh kerja, padahal ia juga perlu segera diselesaikan. ia lebih senang meninggalkannya, dia, rehat, dan bersikap tenang-tenang sahaja.
- Bingung dan gelisah ketika dituntut melakukan sesuatu kerja, kerana dibayangi oleh perasaan takut gagal. atau ia tidak mahu melakukan kerja tersebut kerana tidak ada keyakinan ia boleh memberi hasil yang berharga.
- Tidak boleh menahan diri dari mengkritik dan tidak marah kerana perkara-perkara remeh. Apabila marah ia akan merosak segala sesuatu, tidak memerhatikan akibat-akibatnya atau tidak memperhitungkan kerugian-kerugiannya.
- Kalut dan tidak dapat memusatkan fikiran ketika bekerja.
- Membebani diri dengan sesuatu yang tidak mampu ia lakukan. Hal ini akan menyebabkan kegelisahan, kekacauan, tidak boleh memusatkan seluruh kemampuan dan keseimbangannya hilang.
- Tidak percaya diri sendiri dan kemampuannya untuk melakukan sebarang kerja.
- Bosan, jemu, dan tidak sabar dalam melakukan sesuatu kerja secara berterusan.
Cara-cara mengatasi pelbagai masalah di atas :
- Tidurlah sekadar cukup dan jangan berlebihan. Baik sekali jika anda tidur pada waktu malam dalam keadaan berwuduk.
- Bangunlah segera dan janganlah terlalu lama bermalas-malas di tempat tidur.
- Jangan sampai terlambat mengerjakan solat subuh pada waktunya dan berjemaah.
- Jangan lupa membaca zikir-zikir pada waktu pagi, kerana ia adalah kunci kebahagiaan anda pada hari itu.
- Susunlah agenda harian anda dengan tenang, dan selepas siap dibuat, alangkah baiknya anda melihat agenda tersebut sekali lagi, renungkan sebentar semua butiran-butirannya.
- Berusahalah untuk memilih-milih agenda tersebut, pililah sesuatu yang anda senangi dan lebih mungkin menjadi kenyataan daripada yang lainnya, lalu kerjakanlah agenda tersebut lebih dahulu.
- Jika sudah tiba masanya melaksanakan agenda, mulailah dengan membaca doa.
- Sentiasalah tersenyum kepada setiap kawan yang anda temui pada hari itu, setelah anda mengucapkan salam kepadanya.
- Senanglah untuk melakukan kerja sedikit demi sedikit dari awal, seboleh-bolehnya anda menyelesaikan agenda tersebut pada hari itu juga hingga tidak ada kerja yang tinggal untuk hari esoknya.
- Luangkanlah masa bersama-sama keluarga dan sentiasa memberi ganjaran kepada sesiapa sahaja yang mencapai kejayaan pada hari itu, walaupun hanya derngan kata-kata. Berikan juga dorongan kepada yang tidak beruntung untuk terus berusaha dan bantulah dia melalui kegagalannya.
- Sisihkanlah dalam agenda anda waktu untuk berehat, waktu untuk berkelah walaupun hanya sedikit.
- Bergabunglah dengan jiran, kawan-kawan, dan ahli keluarga ketika ada acara dengan sikap yang ramah dan mesra.
Ya Allah......! Ampunilah kami, tutupilah kesalahan kami, jagalah rahsia kami dan terimalah taubat kami. Janganlah Engkau membocorkan rahsia kami dan janganlah Engkau menyeksa kami kerana dosa-dosa yang kami lakukan.
Barangsiapa yang ilmunya mengalahkan hawa nafsunya, maka itulah ilmu yang bermanfaat. Carilah ilmu dengan mendengar langsung daripada mulut mereka iaitu ilmu yang diambil daripada mulut para ulama. Sebahagian daripada ulama tersebut ada yang mengenal Allah, mengetahui hukum-hukum dan ilmuNya. Apabila kita benar-benar seperti itu, maka kita akan sendirian, tanpa nafsu yang jahat, syaitan, kesenangan, perangai, kebiasaan, dan penglihatan makhluk.
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta perihalah kami daripada seksaan api neraka."
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk pembaca. Sama-samalah kita berubah ke arah yang lebih baik agar menjadi mukmin sejati.
BalasPadam