Ahad, 11 Ogos 2013

Redha dengan Penuh Rasa Kehambaan

REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH S.W.T SEPERTI YANG TELAH TERCATAT DALAM KITAB LAUH MAHFUZNYA
Rujukan :
HADIS QUDSI 
K.H.M Ali Usman, Dr. H.M.D Dahlan, H.A.A Dahlan
MENJADI KEKASIH ALLAH
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
RIYADUS SOLOHIN
Imam Nawani

Bismillahirrahmanirahim...... 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ma'idah, ayat 119 :

                       "Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepadaNya."

Dalam hadis qudsi dinyatakan bahawa yang mula dituliskan Allah s.w.t dalam Lauh Mahfuz ialah :

"Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang yang tunduk patuh berserah diri kepada qada'Ku, redha dengan hukumanKu dan bersabar atas ujian dan cubaanKu, akan Aku bangkitkan dirinya pada hari kiamat kelak bersama-sama dengan orang-orang yang mempunyai martabat siddiqin."
(Hadis qudsi riwayat Dailami Ibnu Abbas r.a)

Lauh Mahfuz merupakan sebuah kitab di sisi Allah s.w.t yang tidak diberitahu kepada kita apa dan bagaimana keadaan kitab itu, hanya diterangkan dalam al-Quran adanya Lauh Mahfuz.

          Apabila engkau menjauhkan hatimu daripada semua makhluk dan mendekatlah engkau kepada Allah s.w.t., maka engkau akan melihat apa yang engkau belum pernah lihat oleh matamu, engkau akan mendengar apa yang belum pernah didengarkan oleh telinga dan akan terlintas kenikmatan di dalam hatimu, akan suatu hal yang belum pernah terlintas dalam hati seorang anak manusia.

          Dengarlah apa yang diperintahkan oleh hati dan batinmu, kerana kedua-duanya hanya memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Berasa puas dengan kemelaratan merupakan hakikat kekayaan yang sebenar. Janganlah menjadi orang yang selalu tergesa-gesa. Tergesa-gesa merupakan perbuatan yang berasal daripada syaitan,sedangkan ketenangan adalah perbuatan yang berasal daripada Allah s.w.t. Apabila seseorang itu tergesa-gesa, maka orang itu akan bersama-sama dengan syaitan, bahkan akan termasuk dalam kalangan prajurit syaitan. manakala, apabila seseorang itu berbuat sesuatu dengan tenang, teguh, sopan santun dan sabar, makan orang tersebut akan bersama-sama Allah s.w.t dan termasuk ke dalam golongan bala tenteraNya.

"Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh."
(Surah Luqman, Ayat 22)

          Keredhaan memiliki buah yang melimpah berupa keimanan. orang yang redha hatinya akan terangkat hingga ke tempat yang paling tinggi, yang kemudian mempengaruhi keyakinannya yang semakin mendalam dan kuat mengakar. Pengaruhnya kemudian adalah kejujuran dalam berucap, berbuat dan berperilaku. Kesempurnaan   penghambaan diri seseorang terletak pada pengamalannya terhadap hal-hal yang terasa berat menyangkuti hukum-hukum yang telah ditetapkan ke atas dirinya. Kesempurnaan penghambaan diri yang diterapkan ke dalam sikap sabar, tawakkal, redha, rendah diri, berhajat, hina, patuh dan sebagainya.

          Keredhaan terhadap qadha' bukan beerti redha terhadap qadha' yang tidak memberatkan, tetapi terhadap yang menyakitkan dan memberatkan. Sebagai seorang hamba, ia tidak berhak mengatur qadha' dan qadar Allah, dengan menerima yang ia mahu dan tidak menerima yang ia tidak mahu. Hal ini kerana, pada dasarnya manusia tidak diberi hak untuk memilih, hak itu hanyalah milik Allah s.w.t kerana Dia lebih mengetahui, lebih bijaksana, lebih agung dan lebih tinggi. Hanya Allah s.w.t yang pengetahui alam ghaib, menetahui segala rahsia, dan mengetahui akibat dari segala hal.

 Ada tiga perkara barangsiapa yang di dalam dirinya terkandung ketiga-tiganya, maka dia akan merasakan manisnya iman, iaitu menjadikan Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada selain keduanya; mencintai atau membenci seseorang hanya kerana Allah; dan benci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah darinya sebagaimana benci jika dimasukkan ke dalam api neraka.

          Ketidakredhaan terhadap ketentuaan hanya akan membuka pintu keraguan kepada Allah kepada qadha, kepada qadar, kepada hikmah dan kepada ilmuNya. amatlah sukar untuk menemui manusia yang tidak redha akan terhindar dari ancaman keraguan yang menyusupi hatinya. Kalaupun ia merasa yakin dapat menghindar dari ancaman itu, itu hanya mainan perasaannya sahaja. Antara keredhaan dan keyakinan itu ada hubungan saudara yang dekat. Sedangkan keraguan dan tidak menerima keredhaan adalah dua sahabat yang akrab.

Seperti hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi :

"Jika engkau mampu beramal dengan redha dan yakin, kerjakanlah. Akan tetapi, jika engkau tidak mampu, maka sesungguhnya dalam kesabaranmu terhadap hal-hal yang tidak disukai hawa nafsumu mengandungi kebaikan yang banyak."

           Apabila seseorang hamba merenungkan ketetapan Allah yang menurutnya tidak menyenangkan dengan tiga pertimbangan berikut, nescaya musibah yang menimpa dirinya akan terasa ringan lagi mudah disanggahnya, iaitu :


  1. Menyedari adanya hikmah yang dirahsiakan oleh Pembuat qadar dan menyedari bahawa si Pembuat qadar itu lebih mengetahui kemashlahatan hamba dan apa saja yang bermanfaat baginya.
  2. Berpasrah diri untuk menunggu pahala yang besar dan ganjaran yang banyak, sebagaimana janji Allah yang diberikan kepada hambaNya yang sedang ditimpa musibah dan bersabar.
  3. Menyedari bahawa keputusan dan semua permasalahan itu adalah hak mutlak Tuhan, sedangkan hak hamba adalah berserah diri dan tunduk.
          Apabila engkau merasa keletihan, maka dia akan menanggung bebanmu atau akan memberi boncengan kepadamu. Apabila engkau dicintai Allah, maka dia akan memberikan kenderaannya kepadamu dan dia membonceng dibelakangmu. Barangsiapa yang merasakan hal ini, maka bererti dia telah mengenal Allah.Tetaplah engkau selalu merasa diawasi oleh Allah dan menuntut kepada dirimu terhadap hak-hak yang wajib dilakukannya kepada Allah dan hak-hak hambaNya. Apabila engkau menginginkan kebaikan dunia dan akhirat, maka ingatlah bahawa Allah selalu mengawasimu dan tuntutlah dirimu untuk beramal. Engkau menuntut dirimu agar melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjahui larangan-laranganNya. Engkau mewajibkan kepada dirimu untuk selalu bersabar tatkala ditimpa musibah, redha menerima takdir dan bersyukur ketika mendapat nikmat.

"Ya Allah....! Perlakukanlah diri kami dengan kedermawananMu, kebaikanMu, pengampunanMu dan rahmatMu kepada kami di dunia dan akhirat."

"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta perihalah kami daripada seksaan api neraka."




1 ulasan:

  1. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk pembaca. Sama-samalah kita berubah ke arah yang lebih baik agar menjadi mukmin sejati.

    BalasPadam