Isnin, 18 Ogos 2014

FALSAFAH DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

FALSAFAH DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU


1.0       Pengenalan
Bahasa adalah milik manusia yang paling penting dan bahasalah yang membezakan antara manusia dan makhluk-makhluk lain. Dengan menggunakan bahasa, manusia dapat berhubung, melahirkan pendapat, pandangan dan perasaan. Manusia juga menggunakan bahasa untuk menyampaikan ilmu dan mencipta keindahan melalui kesusasteraan. Semua orang mengakui akan kepentingan bahasa dalam kehidupan sehari-hari. Tanpa bahasa, manusia akan hidup terasing dari masyarakat dan tiada kemajuan.
            Bahasa lahir kerana timbul keperluan dan keinginan manusia untuk berkomunikasi sesama ahli masyarakat lain. Bahasa menjadi keperluan asas terpenting kepada manusia. Setiap manusia yang baharu dilahirkan, secara semula jadinya mempunyai beberapa alat fizikal yang sesuai untuk memperoleh bahasa. Walaupun pada mulanya bayi dilahirkan tanpa kebolehan berbahasa tetapi pemerolehannya akan berlaku sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat mengikut perkembangan otaknya.
            Mengikut teori biologis, sejak anak itu dilahirkan, memang sudah ada satu kebolehan menggunakan bahasa. Kebolehan ini dinamakan jentera pemerolehan bahasa atau Language Acquisition Device ( LAD ). Seorang kanak-kanak yang normal akan memperolehi bahasa pertamanya antara umur dua hingga enam tahun. Ketika itu, mereka akan mengambil perkataan-perkataan penting, memahami dan mempelajarinya dan seterusnya menggunakannya (Chomsky, 1965).
            Namun begitu, satu perkara yang pasti ialah setiap kanak-kanak memerlukan pendedahan terhadap bahasa. Kanak-kanak perlu mendengar cara-cara bahasa dihasilkan dan apakah hubungan bahasa dengan objek. Tanpa pendedahan bahasa, kanak-kanak tidak akan memperoleh sebarang bahasa dan sukar menerima bahasa yang akan diajar. Kanak-kanak memerlukan beberapa pendedahan bahasa sama ada melalui pertuturan, isyarat, tulisan ataupun sentuhan sebelum pembelajaran bahasa berlaku.

1.1       Pemahaman Bahasa
Pemahaman adalah suatu kemampuan seseorang dalam mentafsir, menterjemah, atau mengatakan sesuatu dengan caranya sendiri tentang pengetahuan yang pernah diterima atau dipelajari. Menurut Kamus Dewan (2005), pemahaman didefinisikan sebagai ‘perihal memahami, perkara yang difahami tentang sesuatu atau sejauh mana sesuatu itu difahami, manakala bahasa pula ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi dan suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bahasa digunakan sebagai alat perhubungan antara seorang individu dengan individu lain dan hubungan antara ahli dalam suatu kelompok manusia. Berdasarkan takrif di atas menjelaskan bahawa pemahaman bahasa adalah kemampuan seseorang dalam memahami sistem lambang bunyi dan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam kelompok manusia.
            Usaha bagi memahami dan mentafsir input-input bahasa, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan melibatkan beberapa langkah yang rencam dan kadangkala merumitkan. Data bahasa yang diperoleh bukan sahaja terdiri daripada ayat-ayat yang mudah, benar dan gramatis tetapi juga terdiri daripada ayat-ayat yang kompleks dan terdapat juga ayat-ayat yang tidak lengkap strukturnya. Selain itu, ada juga yang lahir dalam bentuk kiasan dan sebagainya. Oleh yang demikian, proses pemahaman adalah sangat penting untuk pendengar dan pembaca memproses pelbagai input bahasa. Proses pemahaman bukan berlaku secara automatik dan bukanlah semudah dan setangkas yang disangkakan. Ortegay (1959:1 dalam Zulkifley Hamid, 2006) membuat rumusan ‘hanya dengan usaha yang bersungguh-sungguh baharulah kita mampu memahami beberapa bahagian penting mengenai perkara yang cuba disampaikan, atau yang perlu difahami mengenai sesebuah teks. Lazimnya ini melibatkan bahagian-bahagian yang tidak terjangkau oleh daya pemahaman kita.

2.0       Pemahaman Bahasa Menurut Sarjana Psikolinguistik Secara Umum
Persoalan yang sering dihadapi adalah bagaimana manusia dapat memahami perkataan, frasa, klausa, ayat atau wacana yang mereka dengar. Dengan kata lain, bagaimanakah kefahaman dapat terbentuk? Dari sudut pandangan ilmu psikolinguistik menurut Clark & Clark (1977 dalam Soenjono Dardjowidjojo, 2007), terdapat dua jenis kefahaman, iaitu kefahaman yang berkaitan dengan pemahaman terhadap ujaran yang kita dengar dan kedua adalah kefahaman yang berkaitan dengan tindakan yang perlu dilakukan setelah pemahaman itu terjadi. Untuk jenis yang pertama, kefahaman dapat didefinisikan sebagai suatu proses mental apabila pendengar mempersepsi bunyi yang dikeluarkan oleh seorang penutur dan mengunakan bunyi-bunyi itu bagi membentuk suatu interpretasi tentang apa yang dimaksudkan oleh penutur tadi. Secara mudah dapat dikatakan bahawa kefahaman adalah pembentukan makna daripada bunyi. Setelah pemahaman terhadap ujaran itu terjadi, pendengar menentukan apakah ada tindakan yang perlu dilakukan sesuai dengan apa yang difahami. Proses mental ini dinamakan pelaksanaan ayat.
            Menurut Soenjono Dardjowidjojo (2007), sewaktu kita mendengar seseorang bercakap, kita beranggapan bahawa kita boleh memahami sesuatu pengucapan yang disampaikan dengan mudah. Tanpa disedari, ujaran yang diucapkan dalam bentuk bunyi-bunyi itu sebenarnya merupakan suatu hal yang sangat kompleks. Hal ini kita rasakan apabila kita mendengar orang yang bercakap dalam bahasa asing, kecuali apabila bahasa asing seseorang sudah berada pada tahap yang baik. Lazimnya, kita akan mendengar dengan teliti setiap perkataan yang diujarkan untuk memahami ujaran tersebut dengan baik. Tambahan lagi, perkara yang sering terjadi adalah belum sempat kita memahami perkataan-perkataan yang diujarkan, pengucap sudah bercakap perkara yang lebih mendalam. Akibatnya, kita tidak dapat memahami dengan baik atau langsung tidak memahami apa-apa yang diperkatakan.
            Pemahaman percakapan bermaksud pendengar memanfaatkan bunyi-bunyi yang diucapkan oleh penutur untuk membina tafsiran tentang hal yang hendak disampaikan oleh penutur. Pemahaman juga bermaksud pembinaan tafsiran makna akhir yang menyerupai gambaran dalaman sesuatu ayat. Sebagai contoh, penutur menyebut ayat ‘Gadis itu menjahit baju’ . Pendengar akan cuba memahami ayat yang diujarkan oleh penutur tersebut. Susunan kata-kata adalah;

                                                i.Gadis
                                                ii.itu
                                                iii.menjahit
                                                iv.baju

            Pendengar bukan mendengar perkataan-perkataan tersebut secara berasingan, tetapi pendengar memahami perkataan-perkataan tersebut terbina dalam satu ayat, iaitu ‘gadis itu menjahit baju’. Pemahamannya melibatkan suatu entiti, iaitu pertamanya pendengar perlu mengecam dan memastikan golongan kata bagi perkataan-perkataan gadis dan itu. Perkataan-perkataan gadis dan itu bergabung dalam satu entiti, iaitu merupakan satu frasa. Dianalisis dari segi aspek tatabahasa frasa tersebut merupakan frasa nama (FN). Perkataan baju terbina dalam satu entiti yang lain. Manakala perkataan menjahit membentuk satu unit yang lebih besar, iaitu menandakan satu peristiwa. Perkataan menjahit membina entiti yang menyatukan kedua-dua frasa tersebut, iaitu gadis itu (FN) dan baju (FN).

2.1       Proposisi
Sewaktu kita mendengar suatu ujaran, apa yang kita dengar memang serentetan bunyi yang membentuk suku kata, dan daripada suku kata menjadi perkataan, dari perkataan menjadi frasa, dan seterusnya. Namun, bagi memahami ujaran itu kita perlu menggabungkan bunyi dan perkataan-perkataan itu sehingga terbentuklah representasi makna yang mendasarinya. Unit-unit makna pada ayat dinamakan proposisi (Clark dan Clark, 1977 dalam Soenjono Dardjowidjojo, 2007). Proposisi amat penting dalam pemahaman sesuatu percakapan. Untuk memahami suatu ayat, kita perlu memahami proposisi yang dinyatakan oleh ayat tersebut.  Proposisi terdiri daripada dua bahagia, iaitu hujahan atau subjek (perkara yang diperkatakan) dan predikat (pernyataan yang dibuat mengenai hujahan). Contohnya:
                                    a. Mimi menyanyi.
                                    b. Siti sedang menulis tesis.
           
Berdasarkan contoh di atas, menyanyi dan sedang menulis tesis adalah predikat sedangkan Mimi dan Siti adalah hujahan. Proposisi pada  ayat a mempredikati kegiatan menyanyi oleh Mimi, manakala ayat c mempredikati kegiatan menulis tesis oleh Siti.
            Pemahaman bermula dengan mengenal pasti struktur permukaan (surface structure / suferficial surface) sesuatu ayat, iaitu perkataan-perkataan, susunan, dan golongan katanya. Kemudian pendengar perlu membina satu tafsiran makna. Pendengar akan menggunakan tafsiran-tafsiran makna yang telah terbina berdasarkan ayat yang didengar. Apabila mendengar sesuatu ayat atau pernyataan, pendengar akan cuba memahami dan memetik maklumat baharu dan menyimpannya dalam ingatan di otak. Pada masa lainnya, apabila pendengar mendengar sesuatu pernyataan atau persoalan, pendengar akan mencari maklumat yang sepadanan dengan pernyataan atau persoalan itu. Kemudian, pendengar akan cuba mendapatkan jawapan berdasarkan apa yang ada dalam ingatan. Pendengar akan membuat keputusan yang bersesuaian dengan arahan dan permintaan yang didengarnya mengikut kemahuannya. Dalam hampir setiap keadaan, pendengar akan memikirkan tindakan yang sepatutnya diambil apabila mendengar sesuatu ayat. Pemahaman terhadap binaan proposisi ayat dapat membantu pendengar mentafsir ujaran yang diucapkan.

            Selain itu, proposisi membantu pendengar terhadap proses-proses mental yang menjadi penggerak kepada pendengar yang membolehkannya bertindak selaras dengan tafsiran ayat yang didengar. Proses-proses mental itu ialah proses pembinaan (construction process) bermaksud cara pendengar membina sesuatu tafsiran ayat berdasarkan perkataan-perkataan yang terbit dari mulut penutur. Proses ini bermula dengan mengenal pasti struktur permukaan ayat dan berakhir dengan satu tafsiran yang berbentuk gambaran (representation) dalaman ayat. Apabila pendengar mentafsir sesuatu ayat, matlamatnya adalah untuk membina gambaran dalaman ayat. Contohnya, semasa mendengar ayat, ‘Lelaki tua itu membonceng anak lelakinya’. Pendengar tidak dibekalkan gambaran dalaman ayat tersebut. Oleh itu, pendengar dapat membina lima pernyataan, iaitu;
                                    i.lelaki,
                                    ii.lelaki tua itu,
                                    iii. anak,
                                    iv. anak lelakinya
                                    v. membonceng.

Pernyataan-pernyataan yang dibina itu mestilah saling berhubungan dengan perkataaan-perkataan yang didengar. Pendengar menghubungkan struktur permukaan ayat dengan gambaran dalaman ayat.

            Proses mental kedua ialah penggunaan (utilization process) menyatakan bahawa cara pendengar menggunakan tafsiran ini untuk beberapa tujuan seperti menyimpan maklumat baharu dan menjawab soalan mengikut arahan dan janji. Pendengar cuba mencari makna sesuatu ayat yang hendak disampaikan oleh penutur dalam proses pembinaan ayat. Pendengar mengetahui proposisi sesuatu ayat yang didengar, belum tentu dia dapat menggunakannya seperti yang dikehendaki oleh penutur. Matlamat proses penggunaan ayat adalah untuk menepati maksud penutur. Proses penggunaan ayat merupakan proses mental yang berlaku kepada pendengar sewaktu menggunakan sesuatu ayat yang bertepatan dengan maksud penutur.

            Terdapat hipotesis yang mengatakan bahawa sewaktu pendengar memahami sesuatu ayat, dia menceraikan ayat itu kepada konstituen-konstituennya dan bagi setiap konstituen dia akan membina proposisi yang bersesuaian. Dikatakan juga bahawa pendengar membina gambaran dalaman sesuatu ayat dengan menggunakan empat langkah, iaitu:

LANGKAH 1
Pendengar mengambil pertuturan yang mentah dan mengekalkan gambaran fonologi pertuturan itu dalam ingatan yang aktif.
LANGKAH 2
Pendengar menyusun gambaran fonologi pertuturan itu kepada konstituen-konstituen lalu, mengenal pasti isi dan fungsi konstituen.
 
LANGKAH 3
Semasa mengenal pasti isi dan fungsi setiap konstituen, pendengar membina gambaran sesuatu proposisi secara berterusan.
LANGKAH 4
Selepas mengenal pasti proposisi untuk sesuatu konstituen, pendengar mengekalkannya dalam ingatan yang aktif. Dengan itu, berlakulah penghapusan gambaran fonologi daripada ingatan. Pendengar lupa setiap perkataan, yang kekal adalah makna.

Rajah 1: Langkah-langkah Pendegar Membina Gambaran Dalaman Sesuatu Ayat
           
            Keempat-empat langkah ini bertindak serentak pada masa yang sama. Pendengar mungkin akan mengenal pasti konstituen sewaktu sedang mengambil pertuturan yang baru sambil menghapuskan gambaran fonologi daripada ingatan serta aktiviti- aktiviti yang lain. Langkah- langkah ini dapat membantu kita memahami peranan struktur permukaan ayat dalam proses pemahaman.

            Ringkasnya, setiap ujaran penutur yang sampai kepada pendengar merupakan rantai pertuturan yang mengandungi bentuk pemikiran manusia. Bentuk pemikiran manusia mulai dari yang paling dasar adalah pengertian atau konsep, diikuti proposisi atau pernyataan dan akhirnya adalah penalaran. Pada dasarnya tidak ada proposisi tanpa pengertian atau konsep dan tidak ada penalaran tanpa proposisi.

2.2       Peringkat Penguasaan Bahasa
Berdasarkan maklumat yang dipetik daripada Abdullah Hassan (2009), kanak-kanak tidak akan dapat memperoleh sesuatu bahasa melainkan jika mereka mendengarnya dan fungsi kita hanya bercakap, lebih banyak yang dicakap lebih banyak yang diperoleh kanak-kanak. Biologi memainkan peranan yang penting dalam penguasaan bahasa samalah seperti pentingnya organ-organ tubuh menghadam makanan selepas makan. Semuanya berlaku sebagai sesuatu yang sudah sedia terbina. Anak tersebut memerlukan bahasa untuk hidup sama seperti ia memerlukan makanan. Maklumat yang diterimanya dari pertuturan kita dapat dianggap sebagai bahan mentah yang masuk melalui saluran pendengarannya terus ke pusat sistem saraf dan dianalisis kepada unsurnya dan kemudian dibina kembali sebagai suatu kemahiran bahasa yang amat kompleks. Bayi manusia dilahirkan dengan tidak berupaya dan terpaksa membesar. Berat otak bayi manusia semasa dilahirkan hanya lebih kurang 25% daripada otak orang dewasa. Hal ini membolehkan proses tumbesaran kematangan otak berlaku dalam satu jangkamasa yang panjang selepas lahir. Oleh sebab sistem saraf berkembang maka proses perkembangan bahasa boleh berlaku.

            Semasa berumur sepuluh bulan, kanak-kanak mula mengeluarkan berbagai-bagai bunyi dan mula meniru bunyi dan membezakan bunyi yang berlainan yang didengarnya. Semasa berumur dua belas bulan kanak-kanak mulai belajar berjalan-jalan dan bunyi yang serupa dengan bunyi bahasa mula diterbitkan dan perkataan seperti mak, abah, mamam, mula disebut. Pada masa ini juga kanak-kanak tersebut mulai memahami arahan. Semasa berumur lapan belas bulan kanak-kanak sudah mempunyai antara tiga hingga lima puluh perkataan. Kefahamannya bertambah baik dan dia mula menggabungkan dua perkataan untuk menjadi rangkaikata. Semasa umurnya meningkat dua tahun pola-pola ayatnya mula menjadi lengkap dan dia dapat merumuskannya dengan bersendirian. Proses ini berterusan hingga umurnya menjadi baligh apabila bahasanya menjadi sempurna.

            Masa tamat peringkat kesuburan untuk belajar bertutur ini mungkin juga mempunyai sesuatu kepentingan dalam perkembangan bahasa tersebut. Selepas itu sistem itu menjadi mantap. Oleh sebab itu perlulah diberi masa yang agak sesuai untuk bahasa berkembang dan proses itu harus berhenti setelah mencapai peringkat yang sempurna. Selalunya ia berlaku setelah ia menjadi baligh dan mula memainkan peranannya dalam masyarakat secara aktif. Pembakuan itu menjadi perlu supaya bahasa yang dituturkan itu berdasarkan suatu sistem sahaja yang dapat difahami oleh semua anggota masyarakat itu. Kalau ia terus berkembang, maka haruslah ia menjadi sukar untuk difahami oleh kebanyakan anggota masyarakat yang ramai itu.
            Terdapat satu ciri yang selalu berlaku dalam perkembangan bahasa. Selalunya bayi menunjukkan yang mereka faham setengah perkataan dan arahan- arahan semenjak mereka berumur dua belas bulan lagi walaupun mereka tidak dapat mengeluarkan sepatah perkataan pun. Kita dapat memperhatikan bahawa proses memahami dalam sesuatu bahasa itu mendahului proses bertutur. Dalam suatu kajian terhadap seorang kanak-kanak yang sakit otak kerana jangkitan semasa dalam kandungan, menunjukkan bahawa dia tidak dapat bertutur dengan baik. Walau bagaimanapun, dalam ujian-ujian yang dijalankan, dia dapat memahami perintah seperti `Ambil kotak itu!' dan `Masukkan ke dalam botol', dan di samping itu dia boleh menjawab soalan mengenai cerita-cerita yang didengarnya. Hal ini menjelaskan prinsip penting bahawa kemahiran memahami itu mendahului kemahiran bertutur. Bukan itu sahaja, bahkan ia lebih mudah dan lebih dasar. Dengan kata lain, ada sesuatu yang istimewa dalam pertuturan yang dapat kita fahamkan sebagai pengetahuan berkenaan dengan sesuatu bahasa, yang mungkin sudah wujud semasa awal dalam kehidupan kanak-kanak lagi. Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa proses bermula semasa kanak-kanak itu berumur dua tahun dan berakhir lebih kurang semasa ia berumur dua belas tahun. Setelah mencapai peringkat itu maka, bahasa kanak-kanak itu dianggap sudah lengkap dalam serba serbinya. Memang betul bahawa kanak-kanak, bahkan orang dewasa sendiri masih terus belajar. Namun, apa yang mereka pelajari itu hanya merupakan gaya, atau peluasan dari segi pemakaian, atau sesuatu makna yang baharu sahaja. Sebenarnya, dari segi nahunya, bahasa itu sudah cukup lengkap, tetapi pemerolehan lain akan terus berlaku.

3.0       Pemahaman Bahasa Menurut Sarjana Tempatan                    
Selain daripada ahli sarjana luar negara, sarjana tempatan juga mempunyai pandangan yang tersendiri tentang pemahaman bahasa. Pandangan dua orang tokoh akan dibincangkan, iaitu Zulkifley Hamid serta Adenan Ayob dan Abdullah Hassan.

3.1       Pemahaman Bahasa Menurut Zulkifley Hamid
Menurut Zulkifley Hamid (2006), proses pemahaman merupakan proses mental. Hal ini bermaksud untuk memahami sesuatu wacana lisan, pendengar perlu membuat persepsi dan memproses bunyi-bunyi yang dituturkan oleh penutur, kemudian menggunakan hasil pemprosesan itu bagi mentafsir perkara yang cuba disampaikan oleh penutur. Pemprosesan maklumat bahasa melibatkan beberapa tahap yang bermula daripada penanggapan maklumat deria hinggalah kepada pemahaman ayat-ayat berdasarkan keperihalan keadaan.

3.1.1    Tahap-tahap dalam proses pemahaman
Terdapat empat tahap dalam proses pemahaman dari menanggap maklumat deria sehinggalah memperoleh makna. Berikut merupakan tahap-tahap dalam proses pemahaman.

            Menanggap                 Mengecam dan                        Membina                      Memperoleh
            Maklumat                     Mendapatkan                           Struktur                       Makna
            Deria                            Makna Perkataan                     Ayat                           

Rajah 2 : Tahap-tahap dalam proses pemahaman

            3.1.1.1   Tahap Pertama : Menanggapi Maklumat Deria dan Pengecaman Kata
            Pada tahap ini pendengar yang menerima sesuatu rangsangan bunyi akan memproses      rangsangan atau input bahasa tersebut sehingga terbentuknya perkataan yang         bermakna. Hal ini hampir sama berlaku apabila seseorang membaca sesebuah teks.             Input penglihatan dalam bentuk huruf akan disatukan untuk membentuk perkataan yang           bermakna. Dalam memproses huruf ataupun rangsangan bunyi, pembaca perlu             mengulangi proses pengecaman kata berulang–ulang kali jika apa yang dibentuk bukan      perkataan yang bermakna. Misalnya perkataan keluas, sistem pemprosesan maklumat        perlu mengulangi proses pengecaman kata sehingga terbentuk perkataan yang        bermakna seperti keluasan. Selepas perkataan-perkataan dicam dan maknanya        diperoleh daripada ingatan jangka panjang, perkataan-perkataan ini akan dicantumkan       untuk membentuk frasa atau ayat-ayat yang memberi makna yang tertentu.


 
Input penglihatan


 
Menyatukan input penglihatan dalam bentuk huruf atau fonem
kepada beberapa suku kata
 




 
Menyatukan suku-suku kata menjadi perkataan



 
Membandingkan perkataan yang telah dibentuk dengan perkataan
yang ada dalam ingatan
 




 
Input penglihatan telah dipastikan sebagai perkataan


 
Mendapatkan makna perkataan

Rajah 3 : Proses pengecaman kata

            3.1.1.2   Tahap Kedua : Pembentukan frasa dan ayat
            Sesebuah ayat hanya dapat difahami apabila perkataan-perkataan yang membentuk ayat tersebut digabungkan untuk membentuk frasa, dan seterusnya membentuk ayat yang bermakna. Perkataan-perkataan harus disusun secara logik dan gramatis untuk memudahkan proses pemahaman. Seseorang pembaca atau pendengar akan hanya dapat memahami maksud yang cuba disampaikan oleh sesebuah ayat, sekiranya dapat   memahami subjek dan predikat ayat tersebut. Menurut Garnham (1985: 5 dalam Zulkifley Hamid, 2006) “Perkataan-perkataan dalam sesebuah ayat tidak disusun secara sewenang-wenangnya, perkataan-perkataan ini membentuk kelompok yang bermakna, frasa atau klausa. Pembentukan kelompok ini adalah penting dalam pemahaman ayat”.      Struktur ayat seperti di bawah:
                                   
Contoh ayat : Saya ingin makan nasi goreng.
                        X                                        Y                                            Z
                        |------------------------------------|-------------------------------------|
                                      Subjek                                  Predikat
           
                                       Saya                         ingin makan nasi goreng

Rajah 4: Struktur sebuah ayat

            Dalam proses kefahaman, seseorang pembaca atau pendengar perlu memahami   maklumat yang terkandung di antara X dan Y, iaitu subjek dan kemudiannya menggabungkan maklumat ini dengan maklumat yang terkandung di antara Y dan Z,   iaitu predikat. Hal ini  bermakna frasa ‘saya’ perlu difahami dan dikaitkan dengan frasa ‘ingin makan nasi goreng’.

            3.1.1.3   Tahap Ketiga : Melihat makna ayat dalam wacana
            Pemprosesan makna yang hanya merujuk kepada makna perkataan-perkataan dan perhubungan sintaksis yang dibentuk oleh perkataan-perkataan dalam ayat kadangkala boleh memberikan makna yang kurang tepat. Penganalisisan sesebuah ayat di luar daripada konteks atau keperihalan keadaannya boleh menghasilkan bentuk pentafsiran makna yang salah. Atas alasan inilah Garnham (1958: 6 dalam Zulkifley Hamid, 2006) menegaskan, “sebenarnya adalah salah untuk berhenti setakat makna ayat. Unit-unit yang lebih besar daripada ayat, iaitu wacana atau teks mempunyai makna yang        melampaui makna ayat-ayat sekiranya dilihat secara terpisah”.
          Sebagai contoh, dalam sesuatu ceramah agama, seseorang penceramah   mungkin mengatakan, ‘wahai saudara sekalian, ikuti sahajalah apa yang nafsu kamu ingini tetapi kita akan diadili di akhirat nanti’. Ucapan ini tidak bermaksud menyuruh kita menurut hawa nafsu tetapi ingin mengingatkan kita supaya jangan terpedaya dengan nafsu jahat. Makna sebenar ucapan di atas tidak mungkin kita peroleh dengan menganalisis ayat ini dengan tidak merujuk kepada keperihalan keadaan kewujudannya. Makna hanya dapat difahami dengan betul jika dilihat dalam tema atau keperihalan sesuatu keadaan dituturkan.
          Daripada huraian yang telah dibuat memperlihatkan kepada kita bahawa pemahaman melibatkan satu urutan pemprosesan. Proses pemahaman melibatkan penganalisisan makna perkataan-perkataan dan corak hubungan struktur antara perkataan  yang membina sesuatu ayat. Di samping itu, penganalisisan makna juga melibatkan penentuan makna ayat berdasarkan tema atau keperihalan keadaan.

3.1.2    Ingatan dan Proses Pemahaman
          Proses pemahaman melibatkan ingatan. Terdapat tiga jenis ingatan manusia iaitu ingatan deria, ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Dalam proses pemahaman, ingatan deria berfungsi mempersepsi rangsangan-rangsangan yang penting dan terdengar. Hanya rangsangan-rangsangan yang penting dan perlu diproses sahaja yang akan dihantar kepada ingatan jangka pendek. Maklumat yang sudah siap diproses akan dihantar kepada ingatan jangka panjang untuk disimpan.
          Kebolehan seseorang memahami ayat yang didengar atau dibacanya bergantung kepada bagaimana maklumat yang berhubung dengan ayat tersebut disimpan dalam ingatan jangka panjang. Sekiranya maklumat tentang ayat yang hendak diproses itu ada tersimpan dalam ingatan jangka panjang, kita akan dapat memahami ayat yang didengar itu dengan mudah dan sebaliknya. Maklumat yang tersimpan dalam ingatan jangka panjang memainkan peranan yang penting dalam proses pemahaman ayat. Hal ini bermakna maklumat yang cuba disampaikan melalui sesebuah ayat hanya dapat difahami jika maklumat itu ada tersimpan dalam ingatan pendengar.


3.1.3    Teori-Teori Pemahaman Bahasa
Terdapat beberapa teori yang diperkatakan dalam aspek pemahaman bahasa, antaranya Teori Imej, Teori Transformasi Generatif dan Teori Strategi.

            3.1.3.1   Teori Imej
Teori Imej telah digunakan untuk menghuraikan cara maklumat tersimpan. Menurut teori ini, pendengar akan membina perwakilan dalaman dalam bentuk hubungan satu lawan satu dengan objek luaran. Misalnya, ayat yang berbunyi ‘Anjing mengejar seekor kucing’. Pendengar akan membina imej seokor anjing yang sedang mengejar seekor kucing dalam mindanya. Hal ini bermaksud segala yang dituturkan dianggap sebagai gambaran tentang perkara yang ada dalam fikiran. Jika rangsangan itu dapat digambarkan oleh pendengar maka rangsangan itu akan dapat difahami (Foss & Hake, 1978: 137; Clark & Clark, 1977:409). Walau bagaimanapun, teori ini masih terdapat kelemahan, iaitu persoalan timbul sekiranya perkataan yang digunakan bersifat abstrak. Sudah tentu sukar untuk dibayangkan.
            Disebabkan kelemahan ini, idea struktur dalaman digunakan. Menurut pendapat ini, ayat dalam ingatan jangka panjang disimpan dalam bentuk struktur dalam ayat tersebut (Foss & Hakes, 1978: 138). Walau bagaimanapun, Bransford & Franks (dalam Foss & Hakes, 1978: 140) telah mempersoalkan kesahihan pendapat yang mengatakan maklumat tersimpan dalam bentuk struktur dalaman. Mereka lebih mementingkan maklumat yang terkandung dalam sesebuah ayat. Hal ini demikan kerana setiap ayat akan hilang struktur asalnya. Apa yang disimpan dalam ingatan jangka panjang ialah maklumat semantik tentang ayat-ayat tersebut. Seterusnya, pelbagai teori dan model dikemukakan oleh pelbagai sarjana untuk menerangkan proses pemahaman. Antara teori yang dikemukakan ialah Teori Transformasi Generatif dan Teori Strategi.

            3.1.3.2   Teori Transformasi Generatif
Bagi para pendukung Teori Transformasi Generatif, pengetahuan bahasa dan aspek-aspek yang berkaitan dengan penggunaan pengetahuan ini wujud dalam dua bentuk atau dua lapisan (Chomsky, 1985 :118). Bentuk yang pertama ialah bentuk yang bersifat abstrak, iaitu hanya wujud dalam minda atau akal budi seseorang pengguna bahasa. Oleh sebab bentuk bahasa ini bersifat dalaman, hal ini diistilahkan sebagai struktur dalaman. Bentuk yang kedua ialah bentuk yang boleh ditanggapi oleh pancaindera, dan kerana ia boleh ditanggapi secara luaran, bentuk ini dikenali sebagai bentuk permukaan atau struktur permukaan. Struktur dalaman ialah struktur yang mengandungi ayat dasar atau ayat inti. Struktur permukaan pula ialah struktur yang telah pun mengalami perubahan daripada struktur dalamannya dan merupakan bentuk ayat yang dituturkan oleh seseorang penutur. Misalnya perubahan daripada ayat aktif kepada ayat pasif.
            Menurut Teori Transformasi Generatif, semua ayat pada peringkat struktur dalaman adalah bersifat dasar, iaitu ayat tunggal aktif yang bersifat penyata. Ayat-ayat pada peringkat struktur permukaan pula berkemungkinan telah berubah kepada pelbagai bentuk. Contohnya, ayat pada peringkat struktur permukaan boleh wujud dalam bentuk ayat pasif atau ayat majmuk seperti ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan.
          Menurut teori ini lagi apabila seseorang mendengar sesebuah ayat, pendengar tersebut akan membina struktur permukaan ayat tersebut. Seterusnya, ayat yang berada dalam bentuk struktur permukaan ini akan ditransformasikan tahap demi tahap sehinggalah terbentuk struktur dalaman atau struktur dasar bagi ayat tersebut.
Ayat Aktif
Ayat Pasif
Seluruh rakyat Malaysia mengecam pemimpin asing yang angkuh itu.
Pemimpin asing yang angkuh itu dikecam oleh seluruh rakyat Malaysia.
Jadual 1: Ayat Aktif dan Ayat Pasif
            Berdasarkan contoh di atas, ayat aktif merupakan struktur dalaman atau struktur dasar manakala ayat pasif pula merupakan struktur permukaan. Sekiranya pendengar mendengar ayat pasif seperti di atas, mereka akan mentransformasikan ayat tersebut kepada ayat aktif ataupun bentuk struktur dalamannya.
            Menurut teori ini, semasa proses pemahaman, ayat pasif akan ditukarkan atau ditransformasikan kepada bentuk aktifnya. Teori ini mengandaikan bahawa semua struktur dalaman bagi semua ayat wujud dalam bentuk ayat aktif dasar. Oleh hal yang demikian, menurut pandangan teori transformasi, sesebuah ayat yang memerlukan banyak urutan semasa proses transformasi sebelum  sampai kepada bentuk struktur dalamannya, iaitu bentuk aktif dasar akan memerlukan masa yang lebih lama untuk difahami berbanding dengan ayat yang tidak memerlukan banyak tahap atau urutan transformasi.
            Berdasarkan pandangan di atas, ayat yang berada dalam bentuk pasif akan memerlukan masa yang lebih lama untuk difahami berbanding dengan ayat yang berada dalam bentuk aktif. Hal ini demikian kerana pendengar akan mengambil masa yang lama untuk mentransformasikan ayat tersebut kepada struktur dalamannya.  Pandangan ini sama seperti Teori Kompleksiti yang Diterbitkan (Derivational Theory of Complexity). Menurut teori ini, setiap ayat mempunyai struktur dalaman dan ayat-ayat terbitan dihasilkan daripada struktur dalaman ini.
            Seseorang pendengar akan melakukan proses transformasi secara terbalik, iaitu proses yang bertentangan dengan proses semasa penghasilan atau  penerbitan ayat. Setiap urutan transformasi akan memerlukan masa. Dengan demikian, sesuatu ayat yang memerlukan urutan transformasi yang lebih banyak akan memerlukan masa yang lebih lama untuk difahami. Mengikut hokum Transformasi Generatif, struktur dalaman dan struktur luaran diterbitkan oleh dua rumus tatabahasa. Rumus-rumus tersebut ialah Rumus Struktur Frasa (RSF) & Rumus Transformasi. RSF akan membentuk ayat pada struktur dalaman, manakala Rumus Transformasi pula akan menerbitkan ayat pada peringkat permulaan. Ayat-ayat yang terhasil daripada kedua-dua bentuk tersebut biasanya tidak mempunyai persamaan. Ayat yang terhasil daripada struktur dalaman akan menjadi input kepada pembentukan ayat pada peringkat permukaan. Berikut merupakan urutan proses pemahaman ayat menurut teori Transformasi Generatif.
 



Rumus-rumus Fonologi
 



Rumus-rumus Transformasi

Struktur Dalaman
 
 



Rajah 5 : Urutan proses pemahaman ayat menurut Teori Transformasi Generatif
Terdapat juga segolongan sarjana yang menjurus dalam bidang nahu yang mempersoalkan pandangan yang mengatakan ayat pasif diterbitkan daripada ayat aktif. Bagi mereka, ayat pasif sejak daripada awal sememangnya pasif. Penggunaan ayat pasif merupakan strategi pengguna bahasa untuk menyamarkan atau menyembunyikan pelaku. Walaupun terdapat beberapa kelemahan, konsep pemprosesan maklumat yang dikemukakan oleh teori ini merupakan konsep yang mudah untuk difahami dan munasabah.

            3.1.3.3   Teori Strategi
Menurut teori ini, setiap item leksikal dikaitkan dengan maklumat tertentu dalam ingatan jangka panjang yang juga disebut sebagai kamus mental. Maklumat yang tersimpan dalam ingatan jangka panjang akan digunakan untuk membina representasi semantik atau makna bagi sesuatu input ayat. Item-item leksikal yang dianggap paling penting dalam menentukan struktur input ialah kata kerjanya. Teori ini mencadangkan bahawa pendengar mendapatkan maklumat mengenai struktur ayat di mana sesuatu kata kerja itu boleh wujud. Oleh yang demikian, pendengar akan kurang pasti mengenai struktur sesebuah ayat jika sekiranya kata kerja yang terdapat dalam ayat tersebut, kata kerja yang mempunyai makna yang taksa. Ayat yang dari segi semantiknya taksa, akan memerlukan masa yang lebih lama untuk difahami. Kesimpulannya, teori ini lebih menekankan kata kerja inti sebagai unsur terpenting dalam proses pembentukan struktur dan makna sesebuah ayat.

3.1.4      Keterhadan Ingatan dan Masalah Pemahaman
Masalah kefahaman timbul apabila ingatan kita khususnya ingatan jangka pendek menghadapi masalah dalam memproses maklumat. Masalah-masalah ini dapat dikelompokkan kepada empat punca utama. Keempat-empat punca tersebut dijelaskan seperti berikut.

            3.1.4.1    Masalah pemahaman yang berpunca daripada ketaksaan leksikal dan struktur
            Ketaksaan leksikal hanya melibatkan kata-kata tertentu dalam sesebuah ayat. Hal ini berlaku apabila sesuatu kata mempunyai lebih daripada satu makna dan setiap makna menghasilkan pentafsiran yang berlainan untuk sesebuah ayat. Contohnya perkataan ‘bunga’ dalam ayat berikut :
                        Di rumah Pak Abu ada jambangan-jambangan bunga yang sedang mekar.
            Apabila seseorang mendengar ayat di atas, ia terpaksa memilih salah satu daripada dua   makna bagi perkataan ‘bunga’, sama ada bunga dalam maksud yang biasa atau bunga yang dikiaskan untuk anak-anak gadis Pak Abu.

          Ketaksaan struktur pula wujud apabila dua atau lebih struktur yang berlainan dihubungkan dengan satu urutan kata yang serupa. Setiap struktur mempunyai makna    yang berlainan daripada struktur yang lain. Contohnya, apabila kita membaca ayat   berikut, kita dihadapkan dengan beberapa penafsiran yang berbeza.

Kenangan Oswald menembak masih segar dalam ingatan

            Ayat di atas dapat ditafsirkan mempunyai dua maksud yang berlainan. Pertama, Oswald   telah menembak seseorang dan peristiwa itu diingat hingga sekarang. Kedua, Oswald telah memasuki peraduan menembak. Mata yang diperolehinya sungguh mengagumkan      dan peristiwa yang mengagumkan ini diingat hingga sekarang. Daripada contoh di atas dapat kita lihat, perkataan yang sama dan disusun dengan susunan yang sama dapat memberikan maksud yang berlainan.
            Persoalannya, mengapakah kita kadangkala sukar untuk mentafsirkan ayat-ayat yang taksa itu? Mengapakah ingatan manusia tidak dapat memberikan pentafsiran yang sebanyak mungkin pada sesuatu ketika dan pada masa yang sama memilih tafsiran yang paling tepat bagi ayat tersebut? Puncanya ialah ingatan jangka pendek mempunyai daya atau kekuatan pemprosesan yang terhad. Di samping itu, pemprosesan maklumat mesti melalui satu rangkaian urutan gerak laku yang tetap, bermula dengan ingatan deria yang bertindak balas terhadap rangsangan bahasa, sama ada rangsangan penglihatan dan pendengaran. Sesudah ditapis, rangsangan ini dihantar kepada ingatan jangka pendek ditafsir. Selepas selesai diproses, maklumat itu dihantar kepada ingatan jangka panjang untuk disimpan.
         Ingatan jangka pendek tidak dapat membuat pelbagai pentafsiran serentak. Pentafsiran dibuat satu persatu. Selepas itu, baru dipilih pentafsiran yang paling tepat. Inilah puncanya mengapa ayat taksa yang mempunyai pelbagai bentuk pentafsiran memerlukan masa yang lebih lama untuk ditafsir berbanding dengan ayat-ayat yang tidak taksa.

            3.1.4.2   Masalah pemahaman yang berpunca daripada kerencaman struktur dan proposisi ayat  
Daya pemprosesan ingatan jangka pendek manusia terbatas. Apabila dilampaui batasan ini, ingatan jangka pendek tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Clark & Clark (1977:137) mengatakan, “Ingatan jangka pendek adalah seperti sebuah pita rakaman yang mempunyai pita yang terhad panjangnya. Pita ini dapat merekod maklumat dan mengulanginya semula, dengan syarat tidak melebihi kepanjangan pita yang ada”.
            Apabila kita membaca ayat-ayat dasar seperti ‘Majnun cinta akan Laila’, ‘Hang Jebat sangat berani’ dan ‘Ali seorang guru’, ayat-ayat ini dapat difahami dengan mudah kerana strukturnya mudah dan setiap ayat hanya mengandungi satu proposisi Namun, berbeza dengan ayat berikut:
            ‘Dua buah kedai adik kakak ipar abang saya yang dibina oleh datuk adik kakak ipar abang saya telah dirompak sebelum dibakar’.

Ayat tersebut memerlukan masa yang panjang untuk memahami keseluruhan maksud yang hendak disampaikan. Ayat tersebut mempunyai struktur dan proposisi yang terlalu rencam  dan sukar untuk diproses oleh ingatan jangka pendek. Hal ini dikatakan demikian kerana ingatan jangka pendek hanya mampu menyimpan setakat tujuh potong (chunk) maklumat pada satu-satu ketika (Clark & Clark, 1977:137). Satu potong maklumat merupakan satu proposisi, iaitu satu unit terkod yang boleh memberikan makna yang lengkap. Dengan kata lain, satu ‘chunk’ merupakan sebuah ayat mudah atau ayat selapis.

            Ayat terbentuk daripada dua unsur, subjek dan predikat. Hubungan di antara kedua-dua gatra terbina apabila disatukan dalam sebuah ayat. Sesebuah ayat akan sukar difahami jika hubungan di antara kedua-dua ini sukar dibentuk. Atas sebab inilah ayat-ayat yang terlalu panjang atau yang mengandungi proposisi terlalu rencam sukar difahami. Ingatan jangka pendek menghadapi masalah untuk menghubungkan maklumat-maklumat yang terkandung dalam kedua-dua gatra ayat.
           
            Struktur sesebuah ayat aktif bahasa Melayu adalah seperti berikut:
            A___________________________B_______________________C
                        Subjek                                                 Predikat
Jarak antara titik A dan B mengandungi maklumat-maklumat tentang subjek sesebuah ayat. Jarak di antara titik B dan C pula mengandungi maklumat-maklumat predikat sesebuah ayat. Daripada segi nahu, jarak di antara A dan B dan di antara B dan C tidak ada had. Contohnya, frasa nama bahasa Melayu, iaitu unsur yang membina subjek bagi sesebuah ayat bahasa Melayu dapat dirumuskan seperti di bawah:

            FN                  (Bil) + (penj. Bil) + N + (N) + (A) + (A)……..

            Jika sesebuah ayat mengandungi frasa nama subjek yang terlalu rencam, jarak di antara titik A dan B menjadi jauh. Jarak ini tidak seharusnya melampaui batas daya pemprosesan ingatan jangka pendek kerana ingatan jangka pendek perlu menyimpan maklumat-maklumat yang terkandung di antara titik A dan B untuk digabungkan dengan maklumat yang terkandung di antara titik B dan C. Hal ini demikian kerana, semasa melakukan pemprosesan, ingatan jangka pendek menyimpan rangsangan-rangsangan bahasa dalam bentuk mentah. Perkara ini ditegaskan oleh Clark & Clark (1977: 138), “ingatan jangka pendek menyimpan maklumat-maklumat lisan manakala ingatan jangka panjang menyimpan maknanya.

            Sekiranya ingatan jangka pendek tidak dapat menampung maklumat-maklumat yang terdapat dalam gatra subjek, ingatan jangka pendek akan gagal menghubungkan maklumat-maklumat ini dengan maklumat-maklumat yang ada dalam gatra predikat. Apabila keadaan ini berlaku, timbullah masalah dalam pemahaman.
            Walau bagaimanapun, ada juga ayat-ayat yang sama panjang tetapi berlainan darjah kesukaran memahaminya. Perbezaan ini wujud kerana terdapat perbezaan dalam bilangan proposisi yang dikandung oleh ayat-ayat tersebut. Menurut Kintsch dan Keenan (dalam Clark & Clark, 1977: 166):

Lebih banyak proposisi yang perlu disimpan dalam ingatan, lebih sukar untuk membaca dan memahami sesebuah ayat, dan hal ini telah dibuktikan. Untuk perenggan-perenggan yang mengandungi 15 patah perkataan, masa untuk membaca bertambah daripada 10 saat untuk perenggan yang mengandungi empat proposisi kepada 15 saat untuk perenggan yang mempunyai lapan proposisi.

            3.1.4.3 Masalah pemahaman yang berpunca daripada kegagalan mengintegrasikan maklumat dalam sesebuah wacana

Untuk memahami maksud sesebuah perenggan, kita perlu terlebih dahulu memahami maksud ayat-ayat yang terkandung dalam perenggan tersebut. Maklumat yang terkandung dalam setiap ayat kemudiannya perlu disatukan untuk membolehkan kita memahami keseluruhan isi sesuatu perenggan. Kegagalan mengintegrasikan maklumat yang terkandung dalam ayat-ayat yang menjadi komponen sesebuah perenggan menyebabkan kegagalan memahami isi perenggan tersebut. Garnham (1985:134) mengatakan, “matlamat utama bagi sistem kefahaman adalah memahami wacana atau teks. Makna sesuatu wacana bergantung pada erti ayat-ayat yang dikandungnya.”

            Sesuatu wacana merupakan satu organisasi unsur dan proposisi yang saling berhubungan yang membentuk satu struktur. Walau bagaimanapun, ayat-ayat yang terkandung dalam suatu wacana tidaklah bertaraf sama. Sesetengah ayat mempunyai maklumat inti dan yang lainnya hanya bertindak sebagai penerang. Sesuatu proposisi yang berada di hieraki teratas representasi lebih berkemungkinan untuk diambil semula oleh ingatan jangka pendek kerana kedudukannya yang lebih utama dalam struktur sesebuah cerita.

            Semasa pemprosesan sesebuah wacana, ketiga-tiga jenis ingatan berganding erat. Ayat-ayat yang sudah diproses akan disimpan dalam ingatan jangka panjang. Ayat-ayat tersebut akan diambil semula apabila timbul keperluan untuk mengintegrasikan maklumat yang sudah diproses ini dengan maklumat-maklumat yang baru. Apabila ingatan jangka pendek gagal mengintegrasikan maklumat ini, gagallah proses pemahaman sesebuah teks.  Kegagalan boleh berpunca daripada kelonggaran struktur teks. Hal ini menyebabkan ingatan jangka pendek yang terhad kemampuannya tidak dapat mengintegrasikan semua maklumat dengan berkesan.

            Penutur dan penulis perlulah membantu ingatan jangka pendek pendengar dan pembaca dengan mengadakan tanda-tanda saran yang dapat membantu proses pemahaman mereka. Kata-kata dan frasa yang bertindak sebagai penghubung seperti walaupun, bagaimanapun, tetapi, seperti yang telah dinyatakan, dengan kata lain, selain itu dan sebagainya dapat membantu ingatan jangka pendek mengintegrasikan maklumat.

3.1.4.4  Masalah pemahaman yang berpunca daripada ketidakwujudan dan                                   keterasingan kosa kata
Kosa kata yang dimiliki disimpan dalam ingatan jangka panjang. Apabila kita dihadapkan dengan rangsangan-rangsangan bahasa, ingatan deria akan memilih rangsangan-rangsangan yang penting. Kemudian, rangsangan-rangsangan ini dihantar kepada ingatan jangka pendek untuk diproses. Semasa pemprosesan, makna perkataan-perkataan yang terkandung dalam sesuatu rangsangan bahasa perlu didapatkan daripada ingatan jangka panjang. Kadangkala dalam usaha mendapatkan makna ini, ingatan jangka pendek menghadapi masalah seperti ketidakwujudan kata di dalam kamus mental dan keterasingan sesetengah perkataan dalam kamus mental atau ingatan jangka panjang.

            Sesetengah kata lebih penting daripada yang lain semasa pemprosesan maklumat. Kata-kata yang penting ini ialah kata-kata inti yang membina subjek dan predikat sesebuah ayat. Kegagalan untuk mendapatkan makna bagi kata-kata utama ini daripada kamus mental boleh mengakibatkan ketidakfahaman ayat-ayat yang didengar atau dibaca.

            Jumlah dan jenis kosa kata yang dimiliki oleh individu-individu berbeza bergantung pada taraf pendidikan, pengalaman dan persekitaran sosio budaya. Clark & Clark (1977: 552) menyatakan petani, tukang kayu, doktor bedah, pemain bola sepak, tukang masak, setiap kumpulan melalui kepakaran yang mereka miliki, menguasai sejumlah besar istilah khusus. Kita mungkin mengetahui nama-nama untuk beberapa bahagian anggota dalaman tubuh manusia, tetapi doktor bedah mengetahui ratusan.

            Hal di atas menyebabkan seseorang individu menghadapi kerumitan untuk memahami pertuturan dari kumpulan yang berbeza pengalaman dan profesion daripadanya. ketidakwujudan kosa kata khusus yang dimiliki oleh kumpulan-kumpulan pekerjaan dan profesion tertentu boleh menyebabkan komunikasi antara kumpulan menjadi sukar.

            Sesetengah perkataan lebih kerap digunakan daripada yang lain. Perkataan-perkataan yang tidak digunakan untuk jangka masa yang terlalu lama akan mengambil masa yang lebih lama untuk diingat semula. Perkataan-perkataan yang sering digunakan akan dapat diingat semula dengan lebih cepat. Foss & hakes (1978: 107) menamai fenomena ini sebagai kesan keterbaruan penggunaan (recency effect). Mereka mengatakan, “Perkataan yang baru digunakan akan lebih cepat diingat semula daripada perkataan yang telah lama digunakan”.

            Walaupun ingatan jangka dapat menyimpan maklumat untuk jangka masa yang lama tetapi perlu sering dirangsang. Perkataan-perkataan yang sudah wujud di dalam kamus mental tetapi telah tidak digunakan untuk jangka masa yang lama, akan sukar diingat semula kerana sudah menjadi asing. Perkataan-perkataan yang sudah asing ini, kalau wujud dalam pertuturan atau teks, boleh melambatkan proses pemahaman.

3.2       Pemahaman Bahasa Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof
Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof (2010), pemahaman bahasa melibatkan dua jenis kemahiran, iaitu kemahiran mendengar dan membaca.

3.2.1    Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran asas dan berlaku pada peringkat penerimaan. Lazimnya, aktiviti mendengar dilakukan pada peringkat awal sekali bertujuan memungkinkan pembaca memperoleh, memahami dan mentafsir maklumat semasa proses pendengaran.

            Kemahiran mendengar penting kerana merupakan asas yang perlu dimiliki terutama oleh pelajar kerana kebanyakan maklumat yang disampaikan berbentuk lisan. Oleh itu, pelajar perlu mendengar dengan teliti dan memberi sepenuh perhatian memeandangkan maklumat yang diberikan berbentuk abstrak dan konseptual. Input atau maklumat yang diterima oleh pendengar kadang kala sukar, terlalu banyak, dan abstrak yang menyebabkan segala input tersebut gagal diproses untuk difahami. Oleh hal yang demikian, pendengar perlu bersiap sedia lebih awal dengan membuat pembacaan awal tentang perkara yang akan dibincangkan. Hal ini memperlihatkan seseorang tersebut cuba memahami isu-isu atau fakta-fakta penting yang akan dibincangkan. Pendengar perlu memberikan perhatian pada perkataan penting seperti ‘…yang penting ialah…’ atau ‘…sebab-sebabnya ialah…’.

            Sebagai pendengar juga, jika ada input yang diberikan tidak difahami, tidak jelas atau timbul kemusyikilan, perlu bertanya soalan untuk mendapatkan jawapan yang pasti. Proses memperoleh dan mamahami sesuatu maklumat tidak akan berkesan sekiranya pendengar hanya mendengar kerana proses ini perlu berlaku secara dua hala. Selain itu, pendengar juga perlu mengambil nota dengan baik kerana akan membantu pendengar untuk mengingat kembali input yang diberikan. Nota yang baik akan membantu untuk memahami perkara yang dipelajari. Nota yang baik juga menandakan pendengar tersebut memahami input yang disampaikan.

3.2.1.1    Proses Mendengar
Bagi memproses pelbagai jenis maklumat, terdapat empat langkah utama yang perlu           dilalui oleh pendengar. Hal ini dapat dijelaskan melalui rajah berikut:

LANGKAH 1
Pendengar memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa mendengar.
LANGKAH 2
Pendengar menganalisis perkara yang didengar sama ada idea atau fakta secara satu persatu.
 
LANGKAH 3
Pendengar memahami idea dan fakta yang didengar.
LANGKAH 4
Pendengar memberi tindak balas terhadap perkara yang didengari.
Rajah 6: Proses Mendengar
           
            Berdasarkan langkah yang dijelaskan di atas dapat dihuraikan bahawa sebelum     sampai kepada tahap penerimaan atau pemahaman, pendengar perlu melalui beberapa       langkah yang penting. Langkah pertama, iaitu pendengar perlu member tumpuan yang             sepenuhnya semasa mendengar guru atau pengucap sedang bercakap. Pada peringkat       ini, pendengar perlu mengelakkan sebarang gangguan semasa proses mendengar             kerana apa-apa jua gangguan akan menghilangkan konsentrasi. Hal ini akan           menyebabkan perkara yang ingin didengar tidak dapat difahami dengan baik.

            Langkah kedua pula pendengar perlu menganalisis perkara yang didengar sama    ada idea atau fakta yang didengarinya satu persatu. Hal ini bermaksud apabila      pendengar mendengar ayat berikut “Projek untuk memperlebar jalan menelan belanja       sebanyak RM1 juta”, pendengar perlu menganalisis idea atau fakta secara satu persatu. Berdasarkan contoh ayat berikut terdapat beberapa perkara penting, iaitu:
i.                Projek
ii.               memperlebar jalan
iii.              menelan belanja
iv.             RM1 juta

                        Melalui contoh di atas pendengar perlu menganalisis perkara yang didengarinya     satu persatu seperti yang dijelaskan di atas. Hal ini untuk memudahkan pemahaman        pendengar. Namun, ayat itu bukan didengar secara berasingan tetapi secara     keseluruhan.

                        Seterusnya, pada langkah ketiga pendengar perlu memahami perkara yang            didengarinya. Tahap pemahaman ini menentukan tindakan yang akan diambil oleh pendengar. Proses ketiga ini ada kaitan yang rapat dengan proses keempat, iaitu sama      ada pendengar memberi tindak balas terhadap perkara yang didengari ataupun tidak. Pada peringkat ini yang memperlihatkan sama ada pendengar dapat memahami apa            yang didengari ataupun tidak. Sekiranya pendengar memberi tindak balas terhadap         perkara yang didengari, pendengar cenderung untuk memperlihatkan bahawa           pendengar tersebut faham melalui tindakan bertanya soalan, mencatat nota dan      sebagainya.
                       
3.2.1.2 Kemahiran Mendengar di Bilik Darjah
Menurut Adenan Ayob dan Abdullah Yusof (2010), semasa berada di bilik darjah, terdapat lima kemahiran yang perlu diaplikasi oleh pendengar, iaitu:
i.                Pendengar perlu memberi tumpuan pada bidang yang diajar. Dalam hal ini, pendengar perlu memastikan bahawa apa-apa tajuk yang dipelajari perlu dikaji dan dilihat kembali.
ii.               Pendengar perlu menyoal sama ada menyoal diri sendiri mahupun guru. Antara soalan yang ditanya pada diri ialah “Apakah isi penting?”, “Apakah maksudnya?” dan sebagainya. Soalan yang ditanya kepada guru pula ialah perkara-perkara yang tidak difahami dengan baik.
iii.              Pendengar perlu mengelakkan reaksi emosi yang timbul melalui penggunaan perkataan-perkataan tertentu yang akan menyebabkan fokus pendengar akan hilang. Hal ini akan menyebabkan gangguan dalam proses memperoleh dan memahami input.
iv.             Pendengar tidak boleh mengkritik guru disebabkan penampilannya atau fizikalnya kerana input yang diperkatakan tidak berkaitan dengan perkara tersebut. Pendengar perlu menjadikan tajuk yang didengar menarik dan jangan sekali-kali menganggap tajuk yang diperkatakan membosankan.
v.              Perkara utama yang menjadi tumpuan pendengar ialah kebolehan mengambil idea-idea utama dan perincian bahan yang disampaikan serta dikaitkan dengan tajuk.     

                        Secara keseluruhannya menyatakan bahawa pendengar yang baik mampu            mendengar apa-apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain, mampu memahami maksud        dan dapat mentafsir apa-apa yang didengari dengan cepat. Memang tidak           dinafikan bahawa pendengar yang baik mampu mengamalkan cara mendengar aktif          supaya maklumat yang diterima dapat diproses bagi tujuan pemahaman, penemuan dan             sebagainya.

            3.2.1.3   Strategi Mendengar yang Baik
            Memang tidak dinafikan bahawa kemahiran mendengar sangat penting dalam         menentukan pemahaman seseorang. Pendengar perlu mempunyai strategi-strategi     tertentu supaya maklumat yang diterima mudah diproses dan disimpan dalam ingatan             jangka panjang.

                        Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pendengar adalah memerhatikan           gaya penyampaian. Gaya penyampaian seseorang sangat penting dan merupakan         sebahagian daripada sumber untuk mendapat maklumat yang didengar. Pendengar            perlu mendengar dengan teliti dan memastikan guru menggunakan nada suara atau          gerak badan untuk menunjukkan tekanan pada bahagian-bahagian atau isi-isi tertentu.
                        Selain itu, pendengar perlu mendengar secara kritis dengan mengambil kira            perkara-perkara tersembunyi di sebalik penggunaan perkataan-perkataan tertentu.   Pendengar perlu mendengar dengan baik sama ada seseorang bercakap tentang fakta          atau pandangan.

                        Pendengar juga perlu mengetahui beberapa perkara penting yang telah       dihuraikan untuk menjadi pendengar yang baik. Pendengar yang baik mampu mendengar apa-apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan mampu memahami       maksud serta mentafsir perkara yang didengar dengan cepat. Bagi memproses sesuatu             maklumat, pendengar perlu merancang perkara yang didengar supaya dapat menerima     bahan yang diharapkan. Bagi mencapai tujuan tersebut, pendengar perlu menguasai     kemahiran-kemahiran tertentu seperti mendengar sepenuh perhatian, mengemukakan        soalan kepada diri sendiri dan guru, bersedia lebih awal, dan mengelakkan diri daripada       terpengaruh dengan emosi semasa mendengar. Pendengar yang baik juga mampu             mengetahui dan mengamalkan cara mendengar yang aktif supaya maklumat yang diterima dapat diproses bagi tujuan pemahaman, penemuan dan sebagainya.

3.2.2    Kemahiran Membaca
Menurut Mariam Buyung (1981 dalam Adenan Ayob dan Abdullah Yusof, 2010), membaca ialah proses mengenal dan menterjemah simbol bertulis kepada bunyi-bunyi suara dan memahami makna yang terkandung dalam bahan-bahan yang tertulis dan bercetak. Melalui pembacaan, seseorang pembaca akan memperoleh sebahagian besar makluman daripada bahan bertulis. Tidak dinafikan bahawa pembacaan dilakukan untuk memperoleh maklumat dan untuk pemahaman. Oleh hal yang demikian, pembacaan adalah proses yang           memungkinkan akal budi mempertingkatkan kefahamannya dengan perkataan-perkataan yang terdapat dalam bahan bacaan.

            Sebelum kemahiran membaca dapat ditingkatkan dengan berkesan, pembaca perlu memahami  pelbagai peringkat pembacaan dan perbezaan bagi setiap peringkat tersebut agar input yang diperoleh mudah diproses.

Peringkat Permulaan atau Dasar
Pelajar mempelajari pada peringkat persekolahan. Pembaca menghadapi masalah ketika hendak membaca sesuatu yang ditulis dalam bahasa asing yang tidak dikuasai dengan baik. Dalam keadaan ini, usaha pertama adalah mengenal makna kata-kata satu-persatu baharulah dapat difahami sepenuhnya.
Peringkat Hubungan dengan Waktu
Pembaca diberikan jumlah waktu tertentu untuk menyelesaikan pembacaan. Pembacaan pada peringkat ini bertujuan menemukan sebanyak mungkin cirri-ciri sesebuah buku dalam waktu tertentu.
Peringkat Analitis
Peringkat ini jauh lebih sukar daripada dua peringkat di atas. Pembacaan dilakukan secara tuntas dan baik. Pembacaan analitis merupakan pembacaan yang lebih giat dan pembaca perlu memahami sebuah buku sepenuhnya tanpa batas waktu. Pembacaan peringkat ini adalah untuk memperoleh pemahaman bukan memperoleh maklumat.
                                    
Peringkat Bandingan
Pembaca tidak sekadar membaca sebuah buku tetapi beberapa buah buku dan melihat hubungan buku-buku dengan yang lain. Hubungan mungkin tentang sesuatu persoalan sehingga pembaca memperoleh pemahaman yang menyeluruh.

Rajah 7: Peringkat Pembacaan
(Sumber: Diubah suai daripada Adenan Ayob dan Abdullah Hassan)


4.0       Strategi dalam Memahami Ujaran
Menurut Soenjono Dardjowidjojo (2005), dalam memahami sesuatu ujaran, terdapat tiga faktor yang berkaitan, iaitu :

4.1       Faktor yang berkaitan dengan pengetahuan dunia
Sebagai anggota masyarakat, kita telah hidup bersama dengan alam sekitar kita. Alam sekitar ini memberikan kepada kita pengetahuan-pengetahuan tentang kehidupan di dunia. Sebahagian dari pengetahuan ini bersifat universal sedangkan sebahagian yang lain khusus mengenai masyarakat tempat kita tinggal. Pengetahuan umum bahawa ikan paus berbadan besar membuat kita menganggap ikan paus yang mempunyai saiz seekor ikan jerung adalah ikan paus kecil. Sebaliknya, pengetahuan kita bahawa semut berbadan kecil membuat kita berkata bahawa semut yang panjangnya dua sentimeter adalah semut yang besar. Dengan demikian, ungkapan ikan paus kecil dan semut besar harus difahami dalam konteks tentang pengetahuan dunia.

            Pengetahuan tentang dunia yang sifatnya tidak universal adalah pengetahuan yang spesifik terdapat budaya atau masyarakat tertentu. Dalam masyarakat Jawa, misalnya, ada perhitungan hari yang berdasarkan kalendar Jawa. Menurut kalendar Jawa, satu minggu itu terdiri daripada lima hari, iaitu pon, paing, manis, wage, dan kliwon. Dalam kombinasinya dengan kalendar nasional yang terdiri dari tujuh hari akan ada suatu hari Khamis yang bercampur dengan wage. Khamis wage itu adalah Khamis sebelum Jumaat, dan Jumaat sesudah Khamis wage adalah Jumaat kliwon. Dalam budaya Jawa, malam Jumaat kliwon (yakni, Khamis wage malam) adalah malam yang menyeramkan kerana pada malam ini banyak setan, jin, dan orang halus lain menampakkan diri. Hubungannya dengan kefahaman bahasa adalah jelas, iaitu suatu ayat yang berbunyi “Ini malam Jumaat kliwon, kan?” harus difahami sebagai suatu pertanyaan yang mempunyai implikasi spiritual yang menakutkan.


4.2       Faktor Sintaktik
Seperti yang diketahui, ayat terdiri daripada konstituen. Konstituen ini juga memiliki struktur tertentu. Struktur konstituen inilah yang membantu kita memahami ujaran. Dengan perkataan lain, kita menggunakan strategi-strategi sintaktik bagi membantu kita memahami suatu ujaran. Strategi-strategi ini adalah:
i.                     Apabila kita mengenal pasti perkataan pertama daripada suatu konstituen yang kita dengar, proses mental kita mulai mencari perkataan lain yang selaras dengan perkataan pertama dalam konstituen tersebut. Seandainya perkataan pertama yang kita dengar adalah orang, maka kita mencari perkataan lain yang secara sintaktis boleh berkolokasi dengan perkataan ini. Perkataan-perkataan ini boleh jadi tua, besar, bodoh, atau cantik. Proses seperti ini terjadi kerana kita sebagai penutur asli bahasa Melayu secara intuitif tahu bahawa perkataan seperti orang hampir selalu diikuti oleh sesuatu yang lain untuk boleh menjadi suatu konstituen.
ii.                    Setelah mendengar perkataan yang pertama dalam suatu konstituen, perhatikan apakah    perkataan berikutnya mengakhiri konstruksi itu. Seandainya setelah perkataan orang muncullah perkataan yang, maka kita membuat kesimpulan bahawa konstruksi orang yang tidak mungkin   membentuk suatu konstituen. Oleh sebab itu, benak kita masih mengharapkan adanya perkataan atau perkataan-perkataan lain yang mengikutinya lagi. Hal ini disebabkan  secara         intuitif kita juga tahu bahawa perkataan yang pastilah membentuk ayat kecil, maka kita mengharapkan munculnya ayat kecil itu. Apabila ayat kecil tadi muncul, misalnya, Orang yang mencari kamu legalah kita kerana dengan adanya ayat          kecil ini maka terciptalah suatu FN.
iii.         Apabila mendengar suatu kata kerja, carilah jenis serta bilangan argumen yang          selaras dengan kata kerja tersebut. Jikalau kata kerja yang kita dengar adalah,             kata kerja menjahit, maka kita pasti mengharapkan adanya satu argumen, iaitu        benda yang dijahit. Oleh sebab itu, setelah kita mendengar ungkapan “Dia menjahit               … “pastilah kita mengharapkan sebuah kata nama seperti baju atau seluar kerana     tidak mungkin ada suatu ayat yang berakhir dengan kata kerja.
iv.        Kewujudan ayat adalah dalam bentuk linear sehingga   perkataan yang mengikuti       biasanya             menjelaskan perkataan yang mendahuluinya. Sebagai contoh dalam ayat        “ baju kurung tradisional masyarakat Malaysia”. Proses-proses perkembangan   fikiran adaah seperti berikut:
                        (a) Ini apa? – baju,
                        (b) baju apa? – baju kurung;
                        (c) baju kurung apa? – baju kurung tradisional;
                (d) tradisional masyarakat apa? – tradisional masyarakat Malaysia.
v.       Gunakanlah perkataan atau konstituen pertama daripada suatu klausa bagi       mengenal pasti fungsi klausa tersebut. Seandainya kata yang kita dengar adalah        jikalau, meskipun, atau ketika,             maka pastilah akan ada klausa utama dalam ayat        tersebut. Contohnya, “Jikalau kamu setuju, …”
vi.       Dalam bahasa Melayu juga, imbuhan dapat memberikan bantuan dalam pemahaman.Contohnya dalam ayat berikut:
                            Ayat 1 : Ahmad mengahwini Suraya.
                            Ayat 2 : Ahmad mengahwinkan Suraya

                      Dalam bahasa lisan, pemahaman seseorang itu dalam mengerti mengahwini dan    mengahwinkan adalah bergantung pada akhiran yang digunakan.Penggunaan akhiran -i    kita fahami bahawa Ahmad berkahwin dengan Suraya manakala dengan imbuhan –kan      kita fahami bahawa Ahmad akan ‘mewalikan’ Suraya.

4.3       Faktor Semantik
Di samping strategi sintaktik, orang juga menggunakan strategi semantik dalam memahami ujaran. Berikut adalah beberapa strategi semantik yang digunakan: 

4.3.1    Menggunakan akal dalam memahami ujaran
Kita hidup dalam masyarakat yang memiliki persepsi yang sama tentang pelbagai perkara. Misalnya, semua orang memahami bahawa di dunia ini anjing mengejar kucing, dan bukan sebaliknya. Dengan pengetahuan seperti ini maka jikalau kita diberi proposisi yang berkaitan dengan seekor kucing, seekor anjing, dan perbuatan mengejar, pastilah kita berfikir bahawa ayat yang kita dengar adalah ‘Anjing itu mengejar kucing’ dan bukan ‘Kucing mengejar anjing’. Apabila kita terdengar ayat ‘Kucing mengejar anjing’ pastilah kita hairan.

4.3.2    Cari konstituen yang memenuhi syarat-syarat semantik tertentu
Jikalau kita mendengar perkataan mencarikan, pastilah muncul dalam benak kita konsep-konsep semantik yang berkaitan dengan perkataan ini, iaitu (a) mesti ada pelaku perbuatan, (b) mesti ada objek yang dicari, dan (c) pasti ada orang lain yang dicarikan. Dengan demikian, jikalau ayat yang kita dengar hanyalah ‘Dia sedang mencarikan anaknya’ pastilah kita masih mengharapkan adanya kelanjutan daripada ayat itu kerana kata kerja mencarikan belum lengkap jikalau hanya diikuti oleh orang yang mendapat manfaat. Jikalau ayat yang kita dengar adalah ‘Dia sedang mencarikan pekerjaan’. Terdapat dua pengertian yang boleh difahami, iaitu ‘pekerjaan itu bukan untuk dia sendiri’, dan oleh sebab itu pasti ada orang lain yang sedang dia carikan pekerjaan itu, meskipun hal ini tidak dinyatakan secara eksplisit.

4.3.3    Urutan kata  
Apabila ada urutan kata KN + KK + K N, maka KN yang pertama adalah pelaku perbuatan, kecuali ada tanda-tanda lain yang mengingkarinya. Dalam ayat ‘Dia melanggar polis’, dia adalah pelaku perbuatan. Namun, bila kata kerjanya telah ditandai dengan imbuhan tertentu, misalnya, awalan di, sehingga ayatnya menjadi ‘Dia dilanggar polis’ perkataan dia tidak lagi menjadi pelaku perbuatan. Dalam bahasa Inggeris, begitu kita mendengar perkataan the man pasti kita mengira orang itu sebagai pelaku dan mengharapkan adanya kata kerja perbuatan. Akan tetapi, kemudian yang muncul adalah verba was. Kita masih mengharap adanya kata kerja perbuatan seperti beating atau eating. Akan tetapi, apabila yang muncul kemudian ternyata adalah kata kerja beaten maka hilanglah harapan kita akan munculnya N sebagai pelaku perbuatan.

4.3.4    Maklumat lama biasanya mendahului maklumat baharu
Dalam kita bercakap, terdapat informasi-informasi yang kita anggap ada pada kesedaran si pendengar pada saat dia mendengar. Informasi seperti ini dinamakan informasi lama. Setelah informasi lama dinyatakan, barulah informasi baharu diberikan. Sewaktu kita berkata  ‘Ahmad menikahi Suraya pada 19 Januari 2011 pastilah kita berandaian bahawa pendengar menyedari bahawa rujukan yang dimaksud dengan Ahmad. Hal ini adalah informasi lama yang diandaikan diketahui oleh pendengar. Setelah informasi lama ini disampaikan, pembicara memberikan informasi baharu, iaitu orang tersebut menikahi Suraya pada 19 Januari 2011.
Apabila urutannya bukan informasi lama dan informasi baharu, biasanya ada tanda-tanda sintaktik yang muncul. Perhatikan ayat berikut ‘Surayalah yang dinikahi Ahmad Januari 2011’.
Dalam ayat ini terasa bahawa yang diberitakan (yang merupakan informasi baharu) adalah mengenai Suraya. Dalam ayat seperti, informasi baharu mendahului informasi lama ayatnya memiliki penanda khusus seperti adanya partikel –lah, munculnya kata relatif yang, dan munculnya awalan pasif di. Dari gambaran di atas jelas bahawa baik strategi sintaktik mahupun strategi semantik diperlukan untuk memahami ujaran.


5.0       Kesimpulan

Ringkasnya, terdapat hubungan yang erat antara ingatan dan proses pemahaman. Masalah kefahaman selalunya berpunca daripada masalah yang dihadapi oleh ingatan semasa memproses maklumat. Bagi mengelakkan berlakunya masalah-masalah dalam pemahaman, penutur atau penulis perlu memastikan agar bahasa yang digunakan mampu diproses oleh ingatan pendengar atau pembaca yang menjadi sasaran penyampaian mereka. Kosa kata dan gaya bahasa yang digunakan harus disesuaikan dengan keupayaan pendengar atau pembaca. Penggunaan gaya bahasa yang hebat dengan kosa kata yang jarang didengar boleh menyebabkan kerumitan dalam proses pemahaman. Hal ini tidak boleh dipandang enteng oleh para guru khasnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa bersama-sama pelajar di dalam kelas. Amat penting bagi guru untuk memastikan setiap isi pelajaran yang disampaikan dapat difahami oleh pelajar. Jika ilmu yang disampaikan tidak difahami oleh pelajar maka dapat dikatakan objektif pengajaran guru tidak tercapai pada ketika itu. Oleh hal yang demikian, kaedah, pendekatan dan strategi yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran haruslah bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan