Wasiat Umamah binti Harits
Rujukan :
ENSIKLOPEDIA DOA-DOA DAN SELAWAT
UNTUK HAJAT, REZEKI DAN RAWATAN
Oleh :
MAHMUD BIN ABDLLAH ASYRAM
Wasiat Umamah binti Harits, isteri Auf bin Malham As-Syaibani, kepada puterinya, Ummu Iyas, yang dipersunting menjadi isteri Amru bin Hajar, Penguasa Kawasan Kandah.
Wahai puteriku,
Andai sahaja nasihat itu tidak berguna bagi orang yang memiliki keutamaan dalam akhlak mahupun keturunan yang terhormat, pastilah engkau tidak memerlukan nasihat. Namun nasihat ini untuk mengingatkan orang yang mungkin lalai, ataupun sebagai bahan pertimbangan bagi seseorang yang berakal.
Wahai puteriku,
Andai sahaja isteri tidak memerlukan suami kerana merasa cukup dengan keberadaan orang tuanya dan kecintaan keduanya yang sangat terhadap puterinya, maka engkaulah orang yang paling tidak memerlukan pernikahan. Namun sudah kudrat, bahawa wanita dicipta untuk menjadi pasangan lelaki. Dan sebaliknya, lelaki tercipta untuk menjadi pasangan wanita.
Wahai puteriku,
Kini, engkau telah meninggalkan lingkunganmu yang dulu dan rumah tempat engkau dibesarkan ke dalam alam yang serba baru bagimu bersama pasangan yang sebelumnya engkau tidak mengenalnya.
Maka sejak hari ini, engkau telah menjadi milik seseorang. Jadilah, engkau sebaik-baik pelayannya, nescaya dia akan menjadi hamba bagimu.
Wahai puteriku,
Jaga sepuluh perkara yang akan kuberikan kepadamu, nescaya akan menjadi kekayaan berharga dan kenangan bagimu.
PERTAMA dan KEDUA
Temanilah suamimu dengan sifat qana'ah (apa adanya) dan dengar serta patuhilah perintahnya. Sesungguhnya dengan sifat qana'ah, hatimu akan tenang. Dan mendengar serta patuh kepadanya, engkau akan mendapatkan reda dari Rabb-Mu.
KETIGA dan KEEMPAT
Jagalah hidung dan matanya. Jangan sampai matanya melihat pada dirimu sesuatu yang tidak menyenangkan. Atau pun hidungnya mencium darimu, kecuali bau yang harum. Maka celak adalah sebaik-baik hiasan mata dan air cukup untuk menghilangkan bau.
KELIMA dan KEENAM
Ingatlah waktu makannya dan tenanglah ketika tidurnya. Sebab biasanya gejolak lapar akan dapat membakar amarah. Sedangkan kurang tidur akan menimbulkan emosi.
KETUJUH dan KELAPAN
Hormati dan pelihara keluarga, anak-anak dan hartanya. Jika engkau dapat menjaga hartanya, pastilah engkau akan mendapatkan kehormatannya. Jika engkau menjaga hak keluarga dan anak-anaknya maka akan membuatnya bersikap baik kepadamu.
KESEMBILAN dan KESEPULUH
Jangan sampai engkau menyebarkan rahsianya dan menentang perintahnya. Jika engkau membocorkan rahsianya, jangan harap engkau selamat dari pembalasannya. Jika engkau menentang perintahnya maka engkau akan membuat dadanya bergejolak. Kemudian janganlah engkau bergembira ketika dia sedia ataupun bersedih ketika dia sedang bergembira. Sebab, yang pertama adalah wujud kurangnya perhatianmu. Dan yang kedua akan mengeruhkan hubunganmu dengannya. Usahakan semaksima mungkin untuk menghormatinya nescaya dia akan memberikan penghormatan untukmu. Seperti itu pula, jadilah engkau sahabat yang paling setia padanya, pastilah dia akan berbuat serupa terhadapmu.
Ketahuilah wahai puteriku, bahawa engkau mustahil mendapatkan cintanya sampai dirimu rela untuk mengalah dan mengutamakan apa yang diinginkannya daripada harus mengikut apa yang engkau inginkan. Semoga Allah selalu memberikan kebaikannya kepadamu dan menjagamu.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua pembaca. Segala yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri.
Sekian, terima kasih.
~ Tiada Kerja Halal yang Sia-sia ~ Mya Tatyana ~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan