Isnin, 19 Oktober 2015

Jenis Ayat dalam Bahasa Melayu

1.0           JENIS-JENIS AYAT
1.1.     Pengenalan
Karya Pendeta Za’ba dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu Penggal I adalah suatu khazanah yang sangat berharga dalam proses pemantapan perkembangan Bahasa Melayu. Hal ini  demikian kerana, buku tersebut dijadikan sebagai panduan utama kepada pakar-pakar bahasa untuk menghasilkan karya-karya bahasa Melayu seperti Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga oleh Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa dan Abdul Hamid Mahmood dan Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar.
Menurut Za’ba, ayat merupakan satu susunan sekumpulan perkataan yang ada ‘benda’ dan ‘cerita’. Benda dan cerita inilah yang menjadi tunjang atau teras kepada ayat (Pelita Bahasa Melayu, 264-265).
Manakala Tatabahasa Dewan pula mendefinisikan ayat sebagai unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap, yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna (Tatabahasa Dewan, 2011:432).
1.2.     Pelita Bahasa Melayu
Menurut Pelita Bahasa Melayu, ayat-ayat Melayu ini terdiri daripada ayat sa-lapis (ayat tunggal) sahaja yang mengandungi satu benda dan satu cerita, dan kemudiannya daripada ayat selapis tadi menerbitkan dua jenis ayat iaitu ayat berlapis dan ayat berkait.
1.2.1.     Ayat Selapis
Ayat selapis didefinisikan sebagai ayat tunggal, sama ada pendek atau panjang, yang mengandungi satu ‘benda’ dan satu ‘cerita’ sahaja. Ikatan antara ‘benda’ dan ‘cerita’ itulah menjadi tunjang atau teras bagi sebarang ayat.
‘Benda’ ialah perkataan jenis nama, atau perkataan lain yang berfungsi sebagai kata nama seperti ganti nama, perbuatan nama dan rangkaian perbuatan atau ayat lain yang berfungsi atau berkuasa sebagai nama. Contohnya:
  1. Bendanya nama
a)     Bapanya pergi ke laut.
b)    Rumahnya ditepi sungai.

  1. Bendanya ganti nama
a)     Dia ada di situ sekarang.
b)    Siapakah datang ke sini tadi?
  1. Bendanya perbuatan nama
a)     Bermain bola itu menyihatkan badan.
b)    Mengembara itu amat besar faedahnya.

  1. Bendanya perbuatan atau sifat yang dipakai jadi nama
a)     Terlalu tinggi terbangnya.
b)    Panjangnya dua puluh lima kaki.

  1. bendanya yang berfungsi sesbagai nama:
a)     Ia berbuat demikian ini diketahui oleh bapanya.
b)    Bapanya mati itu sudah sepuluh tahun.

‘Cerita’ ialah perkataan jenis nama juga, atau perbuatan, atau sifat, atau rangkaian-rangkaian yang bekerja dengan kkuasa salah satu daripada tiga jenis. Contoh-contoh ayatnya seperti berikut:
  1. Ceritanya nama atau ganti nama
a)     Dia itu guru saya
b)    Namanya Muhammad Amin

  1. Ceritanya perbuatan
a)     Burung itu membuat sarang
b)    Pintu bilik itu dikkuncikannya

  1. Ceritanya sifat
a)     Ayahnya tiada di rumah
b)    Saya sakit kepala

  1. Ceritanya rangkaian lain atau ayat lain
a)     Kitab ini dialah mengarangnya.
b)    Kuih itu sedap benar rasanya.

Menurut Za’ba, ayat-ayat Melayu terbahagi kejadiannya kepada dua bahagian mengikut apa yang jadi ceritanya:
  1. Ayat nama – segala ayat yang memakai nama atau perkataan-perkataan yang berkuasa nama jadi ceritanya. Contohnya
a)     Dia itu adik saya.
b)    Inilah anaknya.
  1. Ayat perbuatan – segala ayat yang memakai perbuatan atau sifat, atau rangkaian-rangkaian yang berkuasa perbuatan atau sifat, jadi ceritanya. Contohnya:
a)     Burung itu membuat sarang.
b)    Ayahnya tiada di rumah.

Za’ba berpendapat ‘benda’ dalam sesuatu ayat itu boleh mengandungi dua pecahan iaitu:
  1. Benda betul atau penama
  2. Penerangnya

Benda betul atau penama itu ialah benda atau nama sebenar-benarnya jadi tumpuan cerita dalam ayat itu: dan penerangnya itu hanyalah perkataan yang meluaskan atau menerangkan benda itu sahaja, bukan menjadi tumpuan cerita ayat itu. Contohnya:

Kucing di rumah saya itu selalu sahaja menangkap tikus.

Dalam ayat di atas, ‘kucing di rumah saya itu’ ialah bahagian benda dan ‘selalu sahaja menangkap tikus’ ialah bahagian cerita. ‘benda betul’ dalam ayat ttersebut ialah ‘kucing’ yang berfungsi sebagai ttempatcerita itu bertumpu. Manakala perkataan ‘di rumah saya itu’ hanyalah sekadar menerangkan ‘kucing’ itu sahaja iaitu kucing mana.
‘Cerita’ pula boleh mengandungi enam pecahan:
1.    Cerita yang sebenar - dinamakan hal
Nama atau perbuatan atau sifat, yang sebenar-benarnya jadi teras cerita kepada ayat itu. Contohnya:
a)     Dia itu guru sekolah.
b)    Banyak burung membuat sarang di dalam kebun itu.

  1. Penerang hal
Perkataan-perkataan yang meluaskan atau menerangkan ‘hal’ itu. Contohnya:
a)     Dia itu guru sekolah
b)    Banyak burung membuat sarang dalam kebun saya itu.

  1. Penyambut
Nama atau perkataan-perkataan berkuasa nama yang jadi penyambut kepada perbuatan melampau pada ayat memakai perbuatan melampau jadi halnya. Contohnya:
a)     Kucing saya selalu menangkap tikus.
b)    Burung itu membuat sarang di situ.

  1. Penerang penyambut
Perkataan-perkataan sifat atau yang berkuasa sifat yang meluaskaan atau menerangkan kepada penyambut di daalaamnya. Contohnya:

a)     Berikanlah kepadanya kain itu sehelai.
b)    Mengapakah engkau simpan gulai sudah basi itu?

  1. Pencukup
Perkataan-perkataan atau rangkaian-rangkaian perkataan yang jadi pencukup kepada ‘hal’ jika hal itu ‘perbuatan kurang’ atau lain-lain perkataan yang tiada cukkup tujuannya. Contohnya:

a)     Ia jadi guru.
b)    Dipanggilnya saya abang.
c)     Adalah padi itu bermacam-macam jenisnya.

  1. Penerang pencukup
Perkataan yang meluaskan atau menerangkan pencukup itu pula pada ayat yang ada memakai pencukup dalam ikatannya. Contohnya:

a)     Ia menjadi guru bahasa Melayu kepada Tuan Gabenor.
b)    Kami jadikan dia ketua di tempat itu.

Dalam enam pecahan ini pecahan ‘hal’ atau ‘cerita yang sebenar’ itu mestilah ada kerana ia teras cerita bagi sesuatu ayat, sama ada yang jadi hal itu nama atau perbuatan atau sifat atau lainnya.

1.2.2.     Ayat Berlapis
Apabila dua atau lebih ayat selapis dirangkaikan menjadi satu oleh sendi kata penambah dengan setiap lapisnya yang sama besar dan tidak mempengaruhi maksud asal atau mengganggu lapis yang lainnya. Sendi kata penambahnya ialah dan dan tetapi.
Ayat berlapis ini pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
i.      Bendanya berlainan, ceritanya sama.
Contoh ayat: Getah, bijih timah dan kelapa kering banyak dibawa keluar dari Tanah Melayu.

ii.     Bendanya sama, ceritanya berlainan.
Contoh ayat: Dialah mengajar dan melatih saya.



1.2.3.     Ayat Berkait
Penyatuan satu atau lebih ayat kecil dengan sesuatu ayat yang besar samada disambungkan oleh sendi kata penambat atau menjadi sebahagian ayat besar tersebut.
Contoh ayat:
Saya pun naik ke rumah bersalin pakaian (ayat besar) dan setelah sudah saya mandi-manda di kolam itu (ayat kecil).
Apabila ayat kecil dan ayat besar ini bersatu, ianya akan menjadi ayat berkait. Hasilnya: ‘Setelah saya mandi manda di kolam itu saya pun naik ke rumah untuk bersalin pakaian’. Sendi kata penambat di sini ialah setelah.
Namun begitu ayat kecil dalam ayat berkait ini juga berfungsi sebagai menolong (penguat) ayat besar kepada dua fungsi:
  1. Menerangkan nama. Contoh ayat:

Buah nangka yang kita palut kelmarin sudah dicuri orang.

Ayat kecilnya ‘yang kita palut kelmarin’ iaitu menerangkan benda ayat ‘buah nangka’ dan kata penambatnya pula ialah ‘yang’.

  1. Menerangkan lain daripada nama. Contoh ayat:

Negeri Tanah Melayu ini sangat makmur kerana hasil bijih timah dan getah terlalu banyak diperolehi di sini.
Ayat kecilnya ialah ‘kerana hasil bijih timah dan getah terlalu banyak diperolehi di sini’ yang menerangkan sebab cerita ayat, dan sendi namanya pula ialah ‘kerana’.
Selain itu, Za’ba juga menerangkan bahawa, ayat kecil juga mempunyai peranan yang sangat penting iaitu sebagai penubuh kepada ayat besar, sehinggakan ayat kecil ini boleh menyebabkan ayat besar tersebut tidak akan boleh berdiri sendiri tanpa ayat kecil tadi.
Contohnya: Ia tidak datang mengaji itu diketahui oleh ayahnya. ‘Ia tidak datang mengaji itu’ adalah ayat kecil, dan diketahui oleh ayahnya itu adalah ayat besar, dan sudah tentu tanpa ayat kecil tersebut, ayat besar itu tidak bermakna.


1.2.4.     Ayat Bercampur
Perrsatuan yang mengandungi di dalamnya ayat selapis denngan ayat berkait, atau ayat berlapis dengan ayat berkait, atau ayat berkait dengan ayat berkait iaitu berangkai-rangkai atau bermasuk-masukkan di antaranya. Contoh ayat:
‘Orang Cina sangat kuat bekerja, dan kita hanya akan dapat melawan mereka jika kita kuat bekerja seperti mereka pula.’
Ayat selapisnya orang Cina sangat kuat bekerja‘: ayat berkait ialah ‘Kita hanya akan dapat melawan mereka’. ‘Jika kita kuat bekerja seperti mereka pula’ ialah ayat kecil jadi penerang syarat kepada cerita ayat besarnya itu. Maka di antara ayat selapis dan ayat berkait itu disambungkan oleh sendi kata penambah ‘dan’ menjadikan ayat bercampur.
1.3.     Tatabahasa Dewan
Menurut Tatabahasa Dewan pula ayat ialah  unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap, yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang semp. Ayat hanya terbahagi kepada dua golongan iaitu:
1)    Ayat Tunggal
2)    Ayat Majmuk
1.3.1.     Ayat Tunggal
Ayat tunggal ialah ayat yang mengaandungi satu klausa sahaja, iaitu mempunyai satu konstituen predikat. Oleh yang demikian, ayat tunggal, seperti ayat-ayat jenis lain juga, terbit daripada ayat dasar. Binaan ayat dasar ini mempunyai konstituen subjek yanng mendahului konstituen predikatnya. Contoh-contoh ayatnya seperti berikut:
Subjek
Predikat
Ayah Ali
polis.
Dia
membaca akhbar itu.
Murid-murid mereka
sungguh rajin.
Jadual 2.1: Binaan Ayat Tunggal
Perbezaan antara ayat tunggal dan ayat dasar ialah semua ayat terdiri daripada ayat penyata manakala ayat-ayat tunggal boleh juga terdiri daripada ayat jenis lain seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.
Persamaannya pula terletak pada kenyataan bahawa kedua-duanya mengandungi satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat, tetapi jika bertukar kedudukan subjek-predikatnya, maka ayat tunggal itu tidak lagi menjadi ayat dasar. Walau bagaimanapun, tidak semua ayat tunggal terdiri daripada subjek yang diikuti oleh predikat. Ada susunan yang berbeza, iaitu predikat (seluruh atau sebahagian) mendahului subjek seperti yang terdapat dalam ayat songsang (b).
Ayat 1
a)     Fatimah ke Melaka tadi.
b)    Ke Melaka Fatimah tadi.
Jenis-jenis ayat tunggal terbahagi kepada empat iaitu:
1.3.1.1.         Ayat Penyata
Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Ayat jenis ini disebut juga ayat berita atau ayat keterangan. Contohnya:
a)     Nadia jurutaip.
b)    Pesakit itu berada di hospital.

1.3.1.2.         Ayat Tanya
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu, ayat Tanya ini dapat digolongkan kepada dua jenis iaitu:

                        i.         Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
Ayat tanya tanpa kata lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada ini dilambangkan  oleh tanda soal (?). Contoh ayat:
Encik Zulkifli pengurus syarikat itu?
Ayat tanya jenis ini juga boleh disertai partikel tanya –kah, yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus atau judul ayat. Dalam bahasa Melayu lisan partikel –kah biasanya diletakkan pada hujung ayat. Contohnya:
Encik Zulkifli pengurus syarikat itukah?
Dalam bahasa tulisan pula, unsur fokus dalam sesuatu ayat mengalami proses penjudulan iaitu pendepanan konstituen-konstituen yang menjadi fokus itu. Struktur ayat berubah, iaitu mempunyai susunan yang berikut:
Konstituen yang dijudulkan + -kah
subjek
Unsur predikat lain
Ke sekolahkah
dia?

Pagi tadikah
mereka
berlepas?
Jadual 2.2: Struktur Ayat yang Mengalami Proses Penjudulan
Namun demikian terdapat juga beberapa ayat yang subjeknya kelihatan menngalami pendepanan dengan partikel –kah seperti contoh-contoh berikut:
a)     Encik Alikah guru itu?
b)    Orang muda itukah pengurusnya?
Sebenarnya ayat-ayat tersebut di atas merupakan ayat songsang hasil daripada pendepanan predikat.
a)     Guru itu Encik Ali. (merujuk ayat (a))
b)    Pengurusnya orang muda itu. (merujuk ayat (b))
Selain itu, ada juga ayat-ayat yang mengandungi kata hubung relatif yang kelihatan mengalami pendepanan dengan partikel –kah. Contohnya:
a)     Diakah yang ke sekolah?
b)    Merekakah yang berlepas pagi tadi?
Sebenarnya ayat-ayat tersebut adalah ayat songsang, hasil daripada pendepanan predikatnya. Ayatnya yang sebenar adalah seperti berikut:
a)     Yang ke sekolah dia.
b)    Yang berlepas pagi tadi mereka.
Demikian juga halnya dengan ayat-ayat pasif seperti yang berikut:
a)     Surat itu ditulis oleh Ahmad.
b)    Surat itu ditulis oleh Ahmad?
c)     Ditulis oleh Ahmadkah surat itu?
Kesemua ayat di atas, yang merupakan ayat tanya tanpa kata tanya boleh dijawab dengan jawapan ya, tidak, atau bukan.
                       ii.         Ayat Tanya Dengan Unsur Tanya

Ayat tanya dengan unsur tanya ialah ayat tanya yang mengandungi unsur seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila.Ayat-ayat ini terdiri daripada tiga golongan iaitu:
a)     Ayat tanya dengan kata tanya
b)    Ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya
c)     Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya
Selain cara penggolongan yang berdasarkan struktur, ayat tanya juga boleh dilihat dari segi jawapan yang dikehendaki iaitu:
                     iii.         Ayat Tanya Tertutup

Ayat tanya tertutup ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan ya/tidak/bukan. Contoh:
a)     Encik Hassan seorang guru?
b)    Ya, Encik Hassan seorang guru.
                     iv.         Ayat Tanya Terbuka

Ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada jawapan ya, tidak dan bukan, tetapi lebih bersifat subjektif  bergantuk kepada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut. Contohnya:
a)     Siapakah guru kelas tahun dua Mawar?
b)    Guru Kelas Tahun dua Mawar ialah Cikgu Syadwani.


1.3.1.3.         Ayat Perintah
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan sebagainya yang biasanya digugurkan. Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:

i.      Ayat Suruhan

Ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Subjek ialah kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, engkau dan selainnya yang biasa digugurkan. Walau bagaimanapun, kerana tujuan penegasan, subjek boleh juga dikekalkan. Contoh:
a)     Keluar dari bilik ini!
b)    Awak siapkan kerja itu sekarang.
Ayat suruhan juga boleh menggunakan partikel –lah untuk melembutkannya disamping menegaskan predikat, juga mengalami proses pendepanan. Contohnya:
a)     Keluarlah dari bilik ini!
b)    Awak siapkanlah kerja itu sekarang.
Bagi kata kerja transitif yang menerima awalan meN-, awalan itu digugurkan dalam ayat suruhan seperti ayat contoh diatas. Dalam binaan ayat suruhan dan ayat perintah jenis lain yang mengandungi kata kerja tak transitif dan menerima awalan, awalan tersebut tidak boleh digugurkan seperti dalam contoh berikut:
a)     Menangislah sepuas-puas hatimu.
b)    Bersiaplah untuk bertolak sekarang juga.
ii.     Ayat Larangan

Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseoranng melakukan sesuatu. Contoh ayat:
a)     Jangan ambil harta oranng.
b)    Awak tak usah datang lagi.
Ayat di atas dapat dilembutkan dengan menambahkan partikel –lah, seperti yang berikut:
a)     Janganlah ambil harta orang.
b)    Awak tak usahlah datang lagi.
Ada sejenis ayat larangan lagi yang bersifat umum yang tidak menggunakan kata larangan dan tidak menerima partikel –lah. Contoh ayat:
a)     Dilarang merokok.
b)    Ditegah berludah di sini.
iii.   Ayat Silaan

Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Lazimnya, kata silaan digunakan pada permulaan ayat seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
a)     Sila datang ke rumah saya.
b)    Jemput minum teh yang terhidang itu.
Ayat ini juga boleh dilembutkan dengan penggunaan partikel penegas –lah, seperti yang terdapat dalam contoh berikut:

a)     Silalah datang ke rumah saya.
b)    Jemputlah minum teh yang terhidang itu.
iv.   Ayat Permintaan

Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan seperti yang terdapat dalam contoh berikut:
a)     Minta tuan benarkan kami masuk.
b)    Tolong hantarkan jawapan sebelum hari Ahad.
Bentuk ayat silaan dan permintaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam jenis ayat larangan. Oleh sebab itu, contoh ayat berikut tidak dianggap betul:
a)     *Sila jangan merokok.
b)    *Tolong jangan ambil.
c)     *Minta jangan berludah.
Bentuk ayat larangan yang betul bagi contoh seperti yang diberi ialah:
a)     Jangan merokok.
b)    Jangan ambil.
c)     Jangan berludah.
Ayat larangan dapat juga dilembutkan dengan menggunakan perkataan harap pada bahagian hadapannya:
a)     Harap jangan merokok.
b)    Harap jangan ambil.
c)     Harap jangan berludah.

1.3.1.4.         Ayat Seruan
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan, seperti takkut, marah, takjub, geram, sakit dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dalam tulisan dengan tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahulu oleh kata seru atau tidak. Kata seru yang sering digunakan ialah oh, amboi, wah, cis, eh, aduh, syabas dan sebagainya. Contoh ayat:
a)     Wah, cantiknya bunga itu!
b)    Aduh, sakitnya kaki saya!
c)     Cis, berani awak mencuri buku saya!
Susunan konstituen ayat tunggal terbahagi kepada 2 iaitu:
Susunan biasa
Susunan songsang
Perangainya baik sungguh.
Baik sungguh perangainya.
Orang tua itu sangat rajin.
Sangat rajin orang tua itu.
Surat itu dari seberang laut agaknya.
Dari seberang laut agaknya surat itu.
Rasa buah itu enak sekali.
Enak sekali rasa buah itu.
Bayi itu menangis setiap malam.
Menangis bayi itu setiap malam.
Jadual 2.3: Susunan konstituen ayat tunggal.

1.3.2.     Ayat Majmuk
Ayat majmuk ialah ayat yang dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih, dan pencantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.
Ayat 1 misalnya, ialah ayat hasil daripada cantuman ayat 1 (a) dan 1(b)
1.     Ali sedang menyanyi dan menari.
a)     Ali sedang menyanyi.
b)    Ali sedang menari.
Ayat 2, juga terhasil daripada cantuman ayat 2(a) dan 2(b)
2.     Abu rajin tetapi adiknya malas.
a)     Abu rajin.
b)    Adiknya malas.
Daripada contoh-contoh di atas, jelas kelihatan bahawa terdapat berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Denngan berdasarkan cara ayat-ayat majmuk itu dibentuk, boleh dikatakan terdapat tiga jenis utama iaitu:



1.3.2.1.         Ayat Majmuk Gabungan
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan sebagainya seperti dalam contoh-contoh berikut:
a)     Murid-murid berlari dan bernyanyi.
b)    Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk.
c)     Encik Abu hendak ke sekolah atau ke pejabat?
Ayat-ayat yang disambungkan itu setara sifatnya dan boleh berdiri sendiri. Hubungan antara satu sama lain wujud disebabkan ayat tersebut disusun berturut-turut. Ayat-ayat ini juga boleh disambung tanpa kata hubung. Apabila keadaan ini berlaku, nada suara berfungsi sebagai penanda, iaitu disuarakan sebagai derretan penyataan seperti dalam contoh berikut:
a)     Ali berdiri tegak, memerhatikan gerak geri mereka.
b)    Penari-penari itu sungguh lincah, melompat ke kiri, melompat ke kanan.
Dalam contoh di atas kelihatan bahawa ayat-ayat digabungkan itu, dalam bentuk tulisan, dipisahkan oleh tanda baca koma (,).
Ayat-ayat berikut merupakan ayat majmuk yang dibentuk dengan menggunakan kata-kata hubung seperti dan, lalu, lagi, serta dan sebagainya. Contoh ayat:
a)     Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak.
b)    Mereka bangun lalu turun ke serambi.
c)     Ayahnya banyak pengalaman lagi besar pengaruhnya.
Perkaitan antara ayat-ayat dalam ayat majmuk jenis ini dapat digambarkan secara gambar rajah seperti berikut:



Dalam rajah di atas, ayat majmuk gabungan terdiri daripada gabungan ayat 1 dengan ayat 2 melalui kata hubung.
Kata hubung seperti contoh-contoh berikut letaknya antara dua ayat yang dihubungkan dan tidak berpihak pada mana-mana ayat. Tugas kata hubung adalah untuk menggabungkan ayat-ayat yang menjadikannya suatu ayat yang lebih besar.
a)     Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak.
b)    Mereka bangun lalu turun ke serambi.
c)     Ayahnya banyak pengalaman lagi besar pengaruhnya.
d)    Dia bercakap dengan kuat serta menepuk-nepuk dadanya.
Dari segi teori, ayat majmuk ini boleh terdiri daripada beberapa ayat tunggal, seperti dalam gambar rajah berikut:



Dengan mengambil ayat ‘Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak’ sebagai contoh, gambar rajahnya dapat dibuat seperti berikut:



Dalam penyambungan ayat-ayat ini beberapa perkara dapat berlaku pada bahagian-bahagian ayat yang terlibat. Dalam contoh-contoh berikut kesemua bahagian-bahagian yang digabungkan itu dikekalkan iaitu ayat (a) digabungkan dengan ayat (b) dengan kata hubung untuk menghasilkan ayat (c).
Contoh ayat 1:
a)     Saya minum teh.
b)    Aminah makan nasi lemak.
Kata hubung: dan
c)     Saya minum teh dan Aminah makan nasi lemak.
Contoh ayat 2:
a)     Ahmad kurus.
b)    Adiknya gemuk.
Kata hubung: tetapi
c)     Ahmad kurus tetapi adiknya gemuk.
Jika ayat-ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama dan diulang, maka bahagian-bahagian yang sama itu boleh digugurkan. Contohnya daripada ayat-ayat berikut:
a)     Ali pandai bermain bola.
b)    Ali pandai hoki.
Boleh menghasilkan ayat:
c)     Ali pandai bermain bola dan hoki.
Ayat-ayat yang dihubungkan daripada jenis yang sama dan boleh terdiri daripada ayat penyata, ayat perintah dan ayat tanya tetapi ayat-ayat tersebut biasanya tidak boleh dicampur adukkan jenisnya. Contoh ayat-ayatnya seperti berikut:
a)     Ahmad rajin belajar tetapi adiknya malas.
b)    Pergilah masuk bilik dan tidur!
c)     Bolehkah anda datang esok dan menyelesaikan kerja itu?
Ayat-ayat di bawah, seballiknya tidak gramatis:
a)     *Ahmad rajin belajar dan tidur!
b)    *Pergilah masuk bilik dan sungai itu cetek.
c)     *Bolehkah anda datang esok tetapi adiknya malas.
Selain itu, ayat-ayat terbitan yang merupakan ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung dan perlu mempunyai hubungan makna untuk menjadikan ayat-ayat tersebut gramatis. Perhatikan contoh-contoh berikut:
a)     Ali bermain bola dan adiknya bermain guli.
b)    *Ali bermain bola dan rumah itu terbakar.
Proses penggabungan ayat-ayat boleh digunakan untuk deretan beberapa ayat. Perhatikan ayat berikut:
a)     Pada cuti sekolah yang lalu, saya melawat datuk, nenek, pak cik, makcik, dan saudara- mara di kampung.
Kelihatan bahawa ayat di atas terdiri daripada lima ayat tunggal yang boleh dijadikan satu ayat majmuk dengan menggugurkan empat frasa yang berulang-ulang, iaitu ‘Pada cuti sekolah yang lalu, saya melawat’. Demikian juga kehadiran dan yang berulang-ulang boleh dihilangkan kecuali yang akhir, seperti dalam contoh berikut:
Ibu memasak, ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio.

Yang berasal daripada:
            Ibu memasak dan ayah membaca akhbar dan abang mendengar radio.
Kadangkala penggunaan kata hubung dihilangkan sama sekali, misalnya:
Adik ke sekolah, ayah ke pejabat.
Ayat di atas merupakan kelainan bagi ayat berikut:
Adik ke sekolah dan ayah ke pejabat.
Dalam ayat ini, oleh sebab dan tidak menerima tekanan, maka dan boleh digugurkan, tetapi ayat itu tetap tidak berubah.
 Ayat-ayat gabungan dibentuk dengan menggunakan beberapa kata hubung. Penggunaan kata hubung yang berbeza ini menghasilkan dua jenis gabungan utama. Gabungan yang menyusun faktanya berurutan iaitu satu demi satu. Kata-kata hubung yang digunakan adalah seperti dan, lalu, lagi, serta, dan sambil. Contohnya:
a)     Beliau memandang saya sambil tersenyum.
b)    Wanita itu baik orangnya,malahan jarang-jarang sekali dia menyakiti hati saya.
c)     Pertama saya tidak berwang, kedua saya kurang berminat dalam hal ini dan ketiga saya sekarang terlalu sibuk dengan urusan belajar.
Gabungan yang susunannya memberikan maksud pertentangan fakta dalam ayat yang digabungkan itu. Contohnya:
a)     Ayahnya rajin bekerja tetapi anaknya tidak berminat sama sekali.
b)    Bukan orang jahat yanng menang, melainkan orang yang sentiasa berbuat baik.
c)     Kain yang dibelinya terlalu mahal, padahal ada yang lebih murah.


1.3.2.2.         Ayat Majmuk Pancangan
Ayat majmuk pancangan ialah ayat majmuk yang terdiri daripada beberapa ayat yang berkedudukan antara ayat-ayat itu tidak sama. Dalam ayat majmuk pancangan, terdapat satu ayat induk dan ayat atau beberapa ayat kecil yang lain yang dipancangkan di dalam ayat induk untuk menjadi sebahagian daripada ayat induk itu.
Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan dalam bahasa Melayu, yang ditentukan oleh  cara pembentukan dan jenis ayat yang dipancangkan, iaitu:
1.     Ayat relatif
2.     Ayat komplemen
3.     Ayat keterangan

1.3.2.2.1.              Ayat Relatif
Ayat yang ditanda dengan penggunaan perkataan yang, seperti dalam contoh-contoh berikut:
a)     Saya membeli baju yang berwarna merah.
b)    Budak yang sedang membaca itu anak saya.
c)     Bas yang dinaiki adik itu bas ekspres.
Contoh ayat (a) di atas sebenarnya terdiri daripada dua ayat iaitu:
a)     Saya membeli baju.
b)    Baju itu berwarna merah.
Apabila ayat-ayat itu dimajmukkan, ayat ‘Baju itu berwarna merah’ dipancangkan ke dalam ayat induk ‘Saya membeli baju’. Oleh sebab ungkapan ‘baju’ diulang, maka ‘baju’ yang kedua itu digugurkan dan digantikan dengan kata relatif ‘yang’.
Proses ini dianggap sebagai mengalami tingkat-tingkat perubahan seperti yang berikut:
            Pertama           : Saya membeli baju.     
Kedua              : Baju itu berwarna merah.
            Ketiga              : Saya membeli baju yang berwarna merah.
Dalam ayat ‘Saya membeli baju berwarna merah’, ayat induknya ialah ‘Saya membeli baju’, sementara ayat kecil relatif yang dipancangkan ke dalamnya ialah ‘Baju itu berwarna merah’ yang kemudiannya menjadi ‘yang berwarna merah’.
Demikian juga dengan contoh ayat ‘Budak yang sedang membaca itu anak saya’ yang terdapat dua ayat di dalamnya iaitu:
a)     Budak itu anak saya.
b)    Budak itu sedang membaca majalah.
Ayat ‘Budak itu sedang membaca majalah’ dipancangkan ke dalam ayat ‘Budak itu anak saya’. Oleh sebab frasa budak itu diulang maka frasa nama kedua yang serupa telah digugurkan dan digantikan dengan kata relatif ‘yang’ secara kasar proses ini digambarkan seperti yang berikut:

            Pertama           : Budak itu anak saya + Budak itu sedang membaca majalah
            Kedua              : Budak itu + Budak itu sedang membaca majalah + anak saya
            Ketiga              : Budak yang sedang membaca majalah itu anak saya.
Kedua-dua contoh yang diutarakan dilihat mempunyai perbezaan yang terletak pada hakikat bahawa dalam contoh ayat pertama, ayat kecil yang dipancangkan ke dalam predikat ayat itu, bertugas sebagai objek, sementara contoh ayat kedua menerima ayat pancangan sebagai subjeknya dengan menukarkan ayat itu kepada ‘Budak yang sedang membaca majalah itu anak saya’.
Contoh ayat ketiga ‘Bas yang dinaiki adik itu bas ekspres’ juga berbeza daripada kedua-dua contoh ayat yang sebelumnya. Seperti ayat-ayat relatif lain, ayat ini juga terdiri daripada ayat induk dengan ayat kecil seperti berikut:
a)     Bas itu bas ekspres.
b)    Adik saya menaiki bas.
Pemajmukan ayat induk ‘Bas itu bas Ekspres’ dan ayat kecil ‘Adik saya menaiki bas’ telah melahirkan ayat baharu, iaitu ayat majmuk  relatif:
            ‘Bas yang dinaiki adik itu bas Ekspres.’
Contoh-contoh lain ayat majmuk pancangan relatif seperti berikut:
a)     Mereka melihat lukisan yang sunggh indah itu
b)    Pihak pengurussan membantu pekerja yang ditimpa pengalaman ditempat kerja.
c)     Guru sukan memuji murid-murid yang berjaya dalam pertandingan itu.
d)    Orang yang baru datang itu membawa buah tangan.
Seperti dalam contoh-contoh tersebut di atas, penanda relatif ialah yang. Walau bagaimanapun, dalam bahasa Melayu perkataan yang bukan sahaja digunakan sebagai penanda relatif, tetapi digunakan juga sebagai nama yang digugurkan daripada frasa nama + yang seperti dalam contoh-contoh berikut:
Contoh 1:
a)     Warna yang biru itu warna kegemaran ibu saya.
b)    Yang biru itu warna kegemaran ibu saya.
Contoh 2:
a)     Bangunan yang tinggi itu bangunan bank Bumiputera.
b)    Yang tinggi itu bangunan bank Bumiputera.
Perhatikan pula contoh ayat berikut:
a)     Murid yang sakit itu telah pulang
b)    Dia menerangkan bahawa murid itu sakit
Ayat ini juga merupakan ayat relatif. Seperti yang telah diterangkan, perkataan yang dalam frasa ‘yang sakit’ itu menggantikan frasa yang diulang, iaitu ‘murid’ itu seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:
a)     Murid itu telah pulang.
b)    Murid itu sakit.
Ayat ‘Murid itu sakit’ telah dipancangkan sebagai ayat relatif ke dalam ayat ‘Murid itu telah pulang’.Dalam ayat ‘bahawa murid itu sakit’ merupakan objek kepada kata kerja transitif menerangkan, dan ayat ‘bahawa murid itu sakit’, seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Ini dapat digambarkan dengan gambar rajah berikut:









Dari satu segi, ayat di atas tidak jauh bezanya daripada ayat berikut:
            ‘Ahmad membeli buku’
Dalam ayat ini, ‘buku’ berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif membeli. Perbezaan terletak pada struktur kedua-dua ayat. Buku ialah objek bagi kata kerja membeli. Sementara ‘bahawa murid itu sakit’ ialah ayat yang bertugas sebagai objek kepada kata kerja menerangkan. Dia menerangkan bahawa murid itu sakit terdiri daripada dua ayat iaitu:
a)     Dia menerangkan sesuatu.       (Ayat induk)
b)    Murid itu sakit.                       (Ayat komplemen)
Ayat (b) telah dipancangkan ke dalam ayat (a) untuk melengkapi kata kerja dalam ayat tersebut, Hubungan seperti ini yang berbeza daripada hubungan relatif, disebut hubungan komplemen. Dalam ayat ‘Dia menerangkan bahawa murid itu sakit’ ayat induknya ialah ayat (a) sementera ayat (b) ialah ayat komplemen.
1.3.2.2.2.              Ayat Komplemen
Pembentukan ayat majmuk komplemen biasanya disertai penggunaan beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai kata komplemen untuk menandakan hubungan ini. Terdapat dua kata komplemen dalam bahasa Melayu , iaitu ‘bahawa’ dan ‘untuk’. Perhatikan contoh-contoh berikut:
a)     Dia mengetahui bahawa Ahmad telah pergi.
b)    Bahawa ekonommi negara pada masa itu telah merosot adalah kurang tepat.
c)     Untuk Ali melakukannya sangat sukar.
d)    Sungguh mustahil untuknya melarikan diri.
Kadang kala perkataan ‘yang’ digunakan sebagai kata komplemen bagi ayat-ayat berikut:
a)     Dia mengetahui yang Ahmad telah pergi.
b)    Penduduk kampung itu telah menyedari yang nasib mereka terancam.
Namun demikian, ayat-ayat tersebut tidak diterima sebagai bahasa persuratan. Tiap-tiap daripada ayat-ayat di atas itu tterdiri daripada dua ayat, iaitu satu ayat induk dan satu ayat komplemen yang dipancangkan seperti berikut:
‘Dia mengetahui bahawa Ahmad telah pergi’
a)     Dia mengetahui (sesuatu)
b)    Ahmad telah pergi.
Kata komplemen: bahawa
Bagi ayat-ayat yang mengandungi kata hubung komplemen ‘bahawa’ pada kedudukan objek, kadang-kadang pengguguran kata komplemen tersebut dibenarkan, yakni tidak menjejaskan makna. Walau bagaimanapun, pada kedudukan FN kata komplemen untuk tidak boleh digugurkan. Perhatikan ayat-ayat berikut:
Ayat 1
a)     Dia mengetahui bahawa Ahmad telah pergi.
b)    *Dia mengetahui Ahmad telah pergi.
Ayat 2
a)     Bahawa ekonomi negara kita pada masa itu merosot adalah kurang tepat.
b)    *Ekonomi negara kita pada masa itu telah merosot kurang tepat.
Ayat 3
a)     Untuk Ali melakukannya sangat sukar.
b)    *Ali melakukannya sangat sukar.
Dalam contoh ayat-ayat berikut, ayat komplemen telah menggantikan FN yang berfungsi sebagai subjek.
Ayat 1:           
Untuk Ali melakukannya sangat sukar.
a)     Ali melakukannya.
b)    Perkara itu sangat sukar
Kata komplemen: untuk
Ayat 2:           
Untuk dia lulus ujian itu amatlah senang.
a)     Perkara itu amatlah senang.
b)    Dia lulus ujian
Kata komplemen: untuk
Ayat 3:           
Penduduk kampung itu menyedari bahawa nasib mereka terancam.
a)     Penduduk kampung itu menyedari (sesuatu)
b)    Nasib mereka terancam
Kata komplemen: bahawa
Terdapat tiga jenis ayat komplemen:
i.       Ayat komplemen frasa nama
ii.     Ayat komplemen frasa kerja
iii.   Ayat komplemen frasa adjektif


1.     Ayat Komplemen Frasa Nama
Frasa nama boleh menduduki empat tempat dalam ayat iaitu sebagai subjek, predikat, objek tepat dan objek sisi. Tetapi ayat-ayat komplemen jenis frasa nama hanya boleh menduduki dua tempat, iaitu sebagai ayat komplemen frasa nama subjek dan ayat komplemen frasa nama objek tepat, seperti dalam contoh berikut:
                        i.         Ayat Komplemen Frasa Nama Subjek
a)     Bahawa Islam menjamin keadilan memanglah jelas.
b)    Sesungguhnya amat mustahil untuk pencuri itu melepaskan diri.
c)     Sangat tidak munasabah bahawa masalah itu tidak dapat diselesaikan melalui perundingan.
Objek dalam ayat boleh wujud sebagai objek tepat kata kerja transitif atau sebagai objek sipi, tetapi ayat komplemen boleh wujud hanya sebagai objek tepat sahaja. Perhatikan contoh-contoh ayat berikut:
                       ii.         Ayat Komplemen Frasa Nama Objek
a)     Orang itu menafikan bahawa barang-barangnya telah hilang.
b)    Pemuda itu menngakui bahawa dia telah memenangi peraduan mengarang cerpen.
c)     Berita itu menyebut bahawa semua penumpang terselamat.
Dalam ayat-ayat tersebut ayat komplemen merupakan ayat yang berfungsi sebagai objek tepat kata kerja transitif pada ayat induknya.
2.     Ayat Komplemen Frasa Kerja
Frasa kerja dalam ayat boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif iaitu yanng diikuti bokan oleh frasa nama tetapi ketterangan-keterangan lain yang bertujuan melengkapkan frasa tersebut. Ada ayat-ayat komplemen yang berfungsi sebagai pelengkap kepada kata kerja ini yang bukan frasa nama. Sekali imbas ayat-ayat ini kelihatan seolah-olah ayat komplemen frasa nama objek tetapi terbukti tidak demikian oleh sebab aayat ttersebut tidak boleh mengalami proses pasif, iaitu suatu ukuran bagi menentukan status frasa nama objek. Oleh itu ayat-ayat demikian digolongkan ke dalam ayat-ayat komplemen frasa kerja. Contoh-contoh ayatnya adalah seperti berikut:
a)     Pak Abu berpendirian bahawa tanah itu tidak patut dijual.
b)    Ibu Ali beranggapan bahawa anaknya telah berjaya.
c)     Saya berpendapat bahawa cadangan itu boleh diterima.

3.     Ayat Komplemen Frasa Adjektif
Frasa adjektif boleh menjadi unsur predikat sesuatu ayat. Demikian juga ayat komplemen boleh terdiri daripada ayat komplemen adjektif, iaitu yang merupakan ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat induk. Tetapi jumlah ayat jenis ini di dalam Bahasa Melayu adalah terhad. Contoh-contoh ayat komplemen frasa adjektif adalah seperti berikut:
a)     Saya sangat yakin bahawa dia akan berjaya.
b)    Dia amat percaya bahawa adiknya akan lulus dalam peperiksaan itu.
c)     Mereka sangat insaf bahawa mereka itu daif
d)    Pelajar itu sedar benar bahawa mereka harus belajar bersungguh-sungguh.

1.3.2.2.3.              Ayat Keterangan
Ayat majmuk keterangan ialah ayat yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat. Perhatikan contoh-contoh ayat berikut:
a)     Dia bukan  ketua saya ketika saya bekerja dahulu.
b)    Anak itu menangis kerana ia lapar.
c)     Ali tidak begitu pandai semasa saya mengajarnya dahulu
Kedudukan ayat keterangan ini tidak tetap, boleh hadir di belakang ataupun di hadapan ayat induk. Perhatikan contoh-contoh ayat berikut:
a)     Ketika saya bekerja dahulu, dia bukan ketua saya.
b)    Kerana lapar, anak itu menangis.
c)     Semasa saya menngajarnya dahulu, Ali tidak begitu pandai.
Dalam contoh tersebut, kedudukan ayat keterangan mendahului ayat induk. Jikalau ayat itu panjang, lazimnya tanda koma digunakan selepas ayat keterangan.
Ayat keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja ayat induk. Terdapat berbagai-bagai keteranngan yang disampaikan oleh ayat kecil jenis ini, bergantung kepada jenis kata hubung yang digunakan dan maksud yang tterkandung  didalamnya. Terdapat sembilan jenis keterangan.
  1. Keterangan musabab
  2. Keterangan akibat
  3. Keterangan syarat
  4. Keterangan waktu
  5. Keteranngan pertentangan
  6. Keterangan harapan
  7. Keterangan cara
  8. Keterangan tujuan
  9. Keterangan perbandingan


1.3.2.3.         Ayat Majmuk Campuran
Ayat majmuk campuran ialah ayat-ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat, iaitu terdiri daripada campuran ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk. Ayat sedemikian biasanya panjang, perhatikan contoh ayat di bawah:
‘Ahmad sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih lesu telah lama tidur’
Ayat ini terdiri daripada ayat majmuk gabungan yang disambungkan dengan kata hubung ‘tetapi’. Ayat pertama ialah ‘Ahmad sedang membaca buku’ sementara ayat yang kedua ‘kawan-kawannya yang suda letih lesu ttelah lama tidur’. Ayat yang kedua ini merupakan ayat majmuk juga kerana terdapat ayat relatif, iaitu ‘yang sudah letih lesu’, dipancangkan ke dalamnya.
Perhatikan pula contoh ayat majmuk campuran di bawah:
            ‘Kereta yang sentiasa rosak itu dibaiki lalu dijual olehnya’
Ada tiga ayat kecil dalam ayat majmuk di atas iaitu:
a)     Kereta itu dibaiki olehnya.
b)    Kereta itu dijual olehnya.
c)     Kereta itu sentiasa rosak.
Ayat (a) dan ayat (b) dihubungkan dengan kata hubung lalu ayat (c) dipancangkan melalui proses relatif dalam ayat induk.
Kesimpulannya, dalam bahasa Melayu sesuatu ayat itu boleh terdiri daripada deretan ayat yang dibina melalui proses gabungan, relatif, komplemen dan keterangan.

1.3.2.4.         Ayat Majmuk Pasif
Contoh ayat yang diberikan dalam huraian di atas merupakan contoh ayat majmuk aktif. Kesemua ayat majmuk aktif ini, jika mengandungi kata kerja transitif, boleh dijadikan ayat pasif. Contoh-contoh ayatnya:
1.     Ayat majmuk gabungan
Aktif   : Saya minum teh dan Aminah minum kopi.
Pasif    : Teh saya minum dan kopi diminum oleh Aminah.

2.     Ayat majmuk relatif
Aktif   : Mereka menonton wayang yang lucu itu.
Pasif    : Wayang yang lucu itu ditonton oleh mereka.

3.     Ayat majmuk komplemen : Komplemen objek
Aktif   : Guru menerangkan bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan.
Pasif    : Bahawa ujian akan bermula pada bulan hadapan diterangkan oleh guru.

4.     Ayat majmuk keterangan
Aktif   : Ali akan membeli buku itu kalau ayah membenarkannya.
Pasif    : Buku itu akan dibeli oleh Ali.

1.4.     Perbandingan Ayat Pelita Bahasa Melayu Penggal I Dan Tatabahasa Dewan
Aspek Ayat
Pelita Bahasa Melayu Penggal I
Tatabahasa Dewan
Definisi ayat
Satu susunan sekumpulan perkataan yang ada ‘benda’ dan ada ‘cerita’. Itulah tunjang atau teras bagi sebarang ayat.
Unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap, yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna.
Jenis-jenis ayat
    i.     Ayat selapis
Ayat tunggal yang mengandungi satu benda dan satu cerita sahaja.
·  Ayat penyata
·  Ayat tanya
·  Ayat kehendak
·  Ayat seruan

   ii.     Ayat Berlapis
Dua atau lebih ayat selapis dirangkaikan jadi satu oleh sendi kata penambah.

 iii.     Ayat berkait
Penyatuan satu atau lebih ayat kecil dengan sesuatu ayat besar, disambungkan oleh sendi kata penambat atau menjadi sebahagian ayat besar tersebut.

 iv.     Ayat bercampur
Persatuan yang mengandungi beberapa jenis ayat. Contohnya ayat selapis dengan ayat berkait, atau ayat berkait dengan ayat berkait.
    i.     Ayat Tunggal
Ayat yang mengandungi satu klausa iaitu mempunyai satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat.
·  Ayat penyata
·  Ayat tanya
·  Ayat perintah
·  Ayat seruan

   ii.     Ayat majmuk
Ayat yanng dibina dengan mencantumkan dua ayat tunggal atau lebih dan percantuman ayat-ayat itu disusun mengikut cara tertentu sehingga menjadikannya ayat baharu.
·  Ayat majmuk gabungan
·  Ayat majmuk pancangan
·  Ayat majmuk campuran
·  Ayat majmuk pasif

Struktur ayat
    i.     Ayat Selapis
·  Pecahan pihak ‘benda’
Benda betul/ penama
Penerang
·  Pecahan pihak ‘cerita’
Hal
Penerang hal
Penyambut
Penerang penyambut
Pencukup
Penerang pencukup

  ii.     Ayat berlapis
·  Bendanya berlainan, ceritanya sama.
·  Bendanya sama ceritanya lain-lain.

 iii.     Ayat berkait
·  Menerangkan nama
·  Menerangkan lain daripada nama
·  Penubuh kepada ayat besar

 iv.     Ayat bercampur
·  Ayat selapis + ayat berkait
·  Ayat berlapis + ayat berkait
·  Ayat berkait + ayat berkait
·  Boleh bercampur aduk

    i.     Ayat Tunggal
·  Ada subjek dan predikat
·  Susunan biasa
·  Susunan songsang

   ii.     Ayat Majmuk Gabungan
Dua ayat atau lebih yang setara sifatnya dengan disusun berturut-turut, digabungkan mennggunakan kata hubung.
·  Ayat Majmuk Pancangan
·  Ayat Relatif
·  Ayat Komplemen
·  Ayat Keterangan

 iii.     Ayat Campuran
Ayat panjang yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan berbagai-bagai jenis ayat majmuk.

    iv.     Ayat Majmuk Pasif
Kesemua ayat aktif yang megandungi kata kerja transitif boleh menjadi ayat pasif.
Jadual 2.4: Perbandingan Jenis Ayat


2.0           PERBANDINGAN AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF
2.1.     Tatabahasa Dewan
Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakan dalam Tatabahasa Dewan (2011:483) menyatakan bahawa ayat tunggal dalam bahasa Melayu terdiri daripada ayat aktif dan ayat pasif. Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat transitif dan ayat tak transitif. Contohnya:
a)     Ali menendang bola.                                        (aktif transitif)
b)    Anjing itu mengejar kucing.                             (aktif transitif)
c)     Dia mengelamun sepanjang hari.                     (aktif tak transitif)
d)    Murid-murid sekolah itu sedang belajar.         (aktif tak transitif)
Ayat pasif pula terbentuk asalnya daripada ayat aktif transitif, dan mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judulatau unsur yang diterangkan. Contohnya:
a)     Bola ditendang oleh Ali.
b)    Kucing itu dikejar oleh anjing.
c)     Pantai Timur dilanda banjir.
d)    Kitab itu hendaklah kamu simpan baik-baik.

2.2.     Pembahagian Ayat Aktif
Ayat aktif dapat dibahagikan kepada dua iaitu:



2.2.1.     Ayat Aktif Transitif
Menurut Tatabahasa Dewan (2011:484), selain mengutamakan subjek asal sebagai judul,ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif,iaitu yang diikuti oleh frasa nama ataupun klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambutnya. Walau bagaimanapun, ayat aktif transitif yang bersifat ayat tunggal terbentuk hanya daripada ayat yang mengandungi frasa nama subjek asal sebagai judul dan frasa nama objek sebagai unsur penyambut kata kerjanya.
Contohnya:
Subjek
Predikat
Kata Kerja Transitif
Objek
1.
2.
3.
4.
5.
Guru Besar
Mereka
Ibu bapa
Penyalahgunaan dadah
Banjir
memanggil
membaiki
harus mengawasi
mengancam
melanda
saya.
jalan itu.
anak-anak mereka.
keselamatan Negara.
pekan kami
Jadual 3.1: Contoh Ayat Aktif Transitif
Tentang ayat aktif transititf yang mengandungi klausa komplemen sebagai penyambut kata kerjanya, bentuk demikian sebenarnya merupakan ayat majmuk. Misalnya:
a)     Dia menyatakan bahawa Abu sudah meninggalkan kampungnya.
b)    Kami mengetahui bahawa Siti sudah berkahwin.
c)     Saya mengesahkan bahawa dia perlu membaiki sikapnya.
Ada juga segolongan ayat aktif transitif yang mengandungi kata kerja yang boleh menerima dua objek sebagai penyambut, iaitu objek tepat dan objek sipi. Contohnya seperti yang berikut:

Subjek
Predikat
Kata Kerja Aktif Transitif
Objek
Objek Sipi
1.
2.
3.
Pembantu rumahnya
Abang
Baginda
membawakan
membelikan
menganugerahi
saya
ibu
pahlawan itu
secawan kopi.
sebuah rumah.
bintang kehormatan.
Jadual 3.2: Contoh Ayat Aktif Transitif yang Menerima Dua Objek
Dalam rajah di atas, objek yang menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerja transitifnya disebut objek tepat, dan objek yang menjadi penyambut tak langsung kepada kata kerja itu disebut objek sipi. Ayat aktif transitif yang mempunyai dua objek boleh diubah binaannya seperti yang terdapat dalam rajah berikut,iaitu objek tepat menerima kata sendi nama di hadapannya lalu terbentuklah frasa sendi nama yang bertugas sebagai keterangan, manakala objek sipi asal menjadi objek tepat baharu.


Subjek
Predikat
Kata Kerja
Objek
Frasa Sendi Nama (Keterangan)
1.
2.
3.
Pembantu rumahnya
Abang
Baginda
membawa
membeli
menganugerahkan
secawan kopi
sebuah rumah
bintang kehormatan
untuk saya.
untuk ibu.
kepada pahlawan itu.
Jadual 3.3: Contoh Ayat Aktif Transitif yang Digugurkan Objeknya
            Terdapat segolongan ayat aktif transitif yang boleh digugurkan objeknya jika objeknya terdiri daripada orang pertama, sama ada berbentuk tunggal atau majmuk. Ayat yang demikian mengandungi kata kerja transitif yang memperoleh ciri adjektif, iaitu kata kerja itu boleh menerima kata penguat. Lazimnya kata dasar bagi kata kerja ini ialah kata adjektif.
a)     Kegagalannya amat menyedihkan saya.
b)    Keputusan itu sungguh memeranjatkan ibu bapanya.
c)     Saya yakin bahawa berita itu sungguh mendebarkan anda.

2.2.2.     Ayat Aktif Tak Transitif
Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya. Ada dua jenis ayat aktif tak transitif:
                        i.         Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan.
                       ii.         Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang tidak boleh digugurkan.

3.2.2.1.         Ayat Aktif Tak Transitif Dengan Keterangan Yang Boleh
Digugurkan.
Ayat aktif jenis ini ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif yang boleh mengandungi frasa keterangan secara pilihan. Contohnya:
1.     (a)        Kanak-kanak sedang mandi ­di kolam itu.
(b)       Kanak-kanak sedang mandi.
2.     (a)        Beberapa orang pengunjung masih bersiar-siar pada waktu senja.
(b)       Beberapa orang pengunjung masih bersiar-siar.
3.     (a)        Setengah-setengah belia berniaga di pasar malam.
(b)       Setengah-setengah belia berniaga.       
4.     (a)        Ombak memutih di pantai.
(b)       Ombak memutih.
3.2.2.2.         Ayat Aktif Tak Transitif Dengan Keterangan Yang Tidak Boleh
Digugurkan.

Ayat aktif jenis ini ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mesti diikuti oleh unsur pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini berfungsi sebagai frasa keterangan yang tidak boleh digugurkan. Misalnya:
1.     (a)        Dia berada ­di Kuala Lumpur.
(b)       *Dia berada.
2.     (a)        Kebanyakan mereka tinggal di rumah setinggan.
(b)       *Kebanyakan mereka tinggal.
3.     (a)        Saya bercadang untuk ke sana.
(b)       *Saya bercadang.        
4.     (a)        Pengembara itu berselimutkan embun.
(b)       *Pengembara itu berselimutkan.

2.3.     Pembahagian Ayat Pasif
Pada umumnya, ayat pasif dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada:






2.3.1.     Ayat Pasif dengan Imbuhan Kata Kerja Pasif
Ayat pasif jenis ini merupakan ayat yang kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-. Contohnya:
Subjek
Kata Kerja Pasif
Oleh + Frasa Nama
Keterangan
1.
2.
3.
4.
Barang itu
Sampah sarap
Istana raja
Tembok itu
sudah diambil
dibakar
terbina
terlanggar
oleh Ali
oleh ayah
oleh rakyat
oleh lori
semalam.
pagi tadi.
dalam masa setahun.
pada bahagian bawahnya.
Jadual 3.4: Contoh Ayat Pasif dengan Imbuhan Kata Kerja Pasif
Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Ayat-ayat di atas, misalnya, boleh menjadi:
a)     Barang itu sudah diambil Ali semalam.
b)    Sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi.
Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN itu terletak jauh daripada kata kerja, maka oleh tidak boleh digugurkan. Perhatikan contoh yang berikut:
1.     (b)       Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali.
(c)        * Barang itu sudah diambil semalam Ali.
2.     (b)       Sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah.
(c)        *Sampah sarap dibakar pagi tadi ayah.
Demikian juga, untuk ayat pasif dengan kata kerja pasif ter-, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan, misalnya:
1.     (a)        Istana raja terbina oleh rakyat dalam masa setahun.
(b)       * Istana raja terbina rakyat dalam masa setahun.
2.     (a)        Tembok itu terlanggar oleh lori pada bahagian bawahnya.
(b)       * Tembok itu terlanggar lori pada bahagian bawahnya.

Untuk ayat pasif di atas, semua bahagian binaan oleh + FN boleh juga digugurkan. Keadaan ini berlaku apabila unsur subjeknya hendak diberikan tekanan. Perhatikan contoh yang berikut:
1.     (a)        Barang itu sudah diambil Ali semalam.
(d)       Barang itu sudah diambil semalam.
2.     (a)        Sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi.
(d)       Sampah sarap dibakar pada pagi tadi.
3.     (a)        Istana raja terbina oleh rakyat dalam masa setahun.
(d)       Istana raja terbina dalam masa setahun.
4.     (a)        Tembok itu terlanggar oleh lori pada bahagian bawahnya.
(d)       Tembok itu terlanggar pada bahagian bawahnya.

Ayat pasif boleh juga dibentuk dengan kata kerja yang mengandungi imbuhan ber-dan ke-...-an. Dalam ayat berbentuk begini, bahagian oleh + FN biasanya tidak diperlukan. Contohnya:


Subjek
Predikat
1.
2.
3.
4.
Mereka
Seluruh kampung
Baju itu
Surat anaknya
kehujanan sepanjang hari.
kegemparan.
berjahit dengan benang sutera.
belum berjawab.
Jadual 3.5: Contoh Ayat Pasif Imbuhan ber- dan ke-...-an.

Perlu diterangkan bahawa ayat pasif dengan kata kerja di- digunakan hanya dengan frasa nama objek orang ketiga. Kata ganti nama diri orang pertama dan orang kedua mempunyai bentuk ayat pasif yang berlainan.

2.3.2.     Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Diri Orang Pertama dan Kedua
Untuk ayat pasif bentuk ini, kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar. Hal ini demikian kerana kata ganti nama diri orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif di-. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua yang hadir di hadapan kata kerja dasar itu boleh berbentuk kata penuh ataupun kata ringkas. Kata ganti diri yang berbentuk kata penuh adalah seperti saya, aku, engkau, awak, anda, kami, dan kita, manakala bentuk kata ringkas ialah ku bagi aku, dan kau bagi engkau. Contohnya:
Subjek
Frasa Kerja Pasif dengan Ganti Nama Diri Pertama/Kedua
Keterangan
1.
2.
3.
4.
Kerja itu
Makanan itu
Perkara tersebut
Tugas ini
sudah saya selesaikan
belum kurasai
belum awak putuskan
mesti kami pikul
semalam.
lagi.
sehiingga kini.
dengan sepenuhnya.
Jadual 3.6: Contoh Ayat Pasif dengan Kata Ganti Nama Diri

Terdapat juga bentuk pasif songsang seperti yang berikut:
Saya tendang bola itu.

Yang berasal daripada ayat pasif susunan biasa:
Bola itu saya tendang.

Kadangkala penutur bahasa Melayu terkeliru dengan menganggap ayat Saya tendang bola itu sebagai ayat aktif, iaitu sama seperti ayat Saya menendang bola itu. Kekeliruan ini dapat dielakkan dengan membezakan cara menyebutkan kedua-dua ayat itu melalui intonasi.
2.3.3.     Ayat Pasif dengan Kata Bantu Pasif Kena
Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. Binaan oleh + FN boleh, secara pilihan, digugurkan seperti contoh yang berikut:
Subjek
Kena
Kata Kerja Dasar
oleh + Frasa Nama
1.
2.
3.
4.
Pencuri itu
Dia
Parajurit itu
Budak-budak itu
kena
kena
kena
kena
tangkap
tipu
tembak
kejar
(oleh polis).
(oleh pemuda itu).
(oleh pengganas).
(oleh anjing).
Jadual 3.7: Contoh Ayat Pasif dengan Kata Bantu Kena

2.4.     PELITA BAHASA MELAYU PENGGAL I
2.4.1.     Bangun Membuat
Menurut Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal I, setiap perbuatan melampau sama ada asal atau terbitan, ada dua bangunnya iaitu bangun membuat dan bangun kena buat. Ayat bangun membuat sama seperti ayat aktif iaitu pembuat perbuatan menjadi benda yang diceritakan halnya. Contohnya:
a)     Ali membaca surat.
b)    Ia memandang saya.
Ayat bangun membuat itu terjadi dengan memakai perbuatan yang tidak bertambah apa-apa di pangkalnya atau yang bertambah me- atau per- di pangkalnya seperti:
a)     Kucing itu menangkap tikus.
b)    Engkau perhatikanlah kelakuannya.
Za’ba juga menegaskan, jika bangun membuat itu perbuatan melampau dan pembuatnya diri ketiga, maka perbuatannya wajib menggunakan me-. Misalnya:
a)     Dia menulis surat.
b)    Ali membaca kitab.
Sebaliknya, jika tidak menggunakan me- pada ayat tersebut, hendaklah disebut dia sebagai bangun kena buat. Ayat-ayat di atas akan menjadi seperti berikut:
a)     Ditulisnya surat itu.    (betul)
b)    Dia tulis surat itu.       (salah)
2.4.2.     Bangun Kena Buat
Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal I menyatakan bahawa, ayat pasif dikenali sebagai ayat bangun kena buat. Maksud bangun kena buat ialah jika penyambut atau benda yang kena buat oleh perbuatan itu jadi benda percakapan (benda yang diceritakan halnya), dan pembuat perbuatan itu tidak dikatakan dengan tepat dan terkadang tidak disebutkan langsung. Contohnya:
a)     Surat itu dibaca oleh Ali.
b)    Dibaca surat itu oleh Ali.
c)     Saya dipandangnya.
d)    Dipandangnya saya.
Za’ba menegaskan bahawa perbuatan tiada melampau hanya boleh dipakai dengan bangun membuat sahaja. Hal ini demikian kerana, tiada penyambut untuk jadi benda yang diceritakan halnya. Contohnya:
Ali pun datanglah.
Hal ini merupakan perkataan melampau sahaja yang boleh menggunakan ayat bangun kena buat. Contoh seperti ayat di atas, Surat itu dibaca oleh Ali, ialah ayat bangun kena buat melampau.
 Ayat bangun kena buat terjadi dengan memakai penambah di- atau perbuatan kena dahulu daripada perbuatan melampau itu dan pada pembuatnya kerap dipakai perkataan oleh. Misalnya:
a)     Tikus itu ditangkap oleh kucing.
b)    Kelakuannya diperhatikan orang.
c)     Ia kena pukul oleh ayahnya.

2.4.3.     Menukar Bangun Perbuatan
Za’ba membahagikan ayat bangun perbuatan dengan cara menukar-nukar bangun perbuatan.
2.4.3.1.         Bangun Membuat kepada Bangun Kena Buat
Jika perbuatan melampau bagi setiap bangun membuat, boleh diubah menjadi bangun kena buat. Contohnya:
a)     Cari penyambut perbuatan itu, jadikan bahan percakapan. Misalnya:
 Ia mengajar saya                   Saya ajarnya.
b)    Gunakan di- atau kena pada perbuatan itu, dan jika perbuatan itu ada penambah me-, imbuhan me- boleh digugurkan. Misalnya:
 tulis, menulis                          ditulis.
c)     Menukar pembuatnya. Misalnya:
Kucing menangkap burungnya.          Burungnya ditangkap kucing.
            Penyambut yang dijadikan benda percakapan tidak semestinya didahulukan, akan tetapi boleh dikemudiankan. Begitu juga dengan pembuatnya boleh didahulukan bersama-sama perkataan oleh dan pembuatnya -nya yang menghubungi perkataan tersebut. Contohnya:
Surat itu dibaca oleh Ali.
Oleh Ali dibcanya surat itu.
            Za’ba menegaskan jika pembuat perbuatan itu diri yang pertama atau kedua tidaklah biasa dicakapkan ayatnya dengan bangun kena buat. Misalnya:
a)     Saya baca surat itu.                            (betul)
Surat itu dibaca oleh saya.                 (salah)
b)    Mengapa engkau pukul budak ini?    (betul)
Mengapa budak ini engkau pukul?    (salah)

2.4.3.2.         Bangun Kena Buat kepada Bangun Membuat
Setiap perbuatan bangun kena buat boleh ditukarkan jadi bangun membuat dengan menyongsangkan kaedah berikut:
1.     Cari pembuat perkataan itu, jadikan bahan percakapan. Misalnya:
Kambing saya dikejar oleh anjing.                   Anjing mengejar kambing saya.
2.     Buang penambah di- atau kena (jika wajib ganti dengan penambah me-). Misalnya:
Dipukulnya budak itu.                                                Ia memukul budak itu.
3.     Kemudiankan penyambut perbuatan tersebut. Misalnya:
Oleh Ali dibacanya surat itu.                          Ali membaca surat itu.
            Jika perbuatan bangun kena buat tersebut tidak disebutkan pembuatnya, maka apabila menukarnya kepada bangun membuat hendaklah dikosongkan tempat pembuat atau benda percakapan itu. Misalnya:
Bangun Kena Buat
Bangun Membuat
1.
2.
3.
Surat itu pun dibacakanlah kepadanya.
Hal itu telah disebutkan di atas tadi
belum pernah didengarnya seperti itu.
(...) pun membacalah surat itu kepadanya.
(...) telah menyebutkan hal ini di atas tadi.
(...) belum pernah mendengar yang seperti itu.
Jadual 3.8: Contoh Mengosongkan Tempat Pembuat
2.4.3.3.         Bangun Perbuatan yang Memakai Dua Penyambut
Jika ia bangun kena buat boleh ditukarkan kepada bangun membuat dengan dicari mana pembuat perbuatan itu dijadikan benda percakapan dan diubah perbuatannya. Contohnya:
Bangun Kena Buat
Bangun Membuat
1.
2.
Dia diberi duit oleh abangnya.
Duit diberi kepadanya oleh abangnya.
Abangnya memberi dia duit.
Abangnya memberi dia duit.
Jadual 3.9: Contoh Ayat Bangun Perbuatan yang Memakai Dua Penyambut
2.4.3.4.         Perbuatan yang Berkembar Dua
Sekiranya perbuatan yang berkembar dua itu bangun kena buat hendak ditukarkan kepada membuat, caranya cari pembuat, jadikan dia benda percakapan, kemudian ubahkan perbuatan yang menggunakan di- itu kepada perbuatan me-.

2.4.4.     Jenis-jenis Bangun Perbuatan
Selain daripada menukar bangun perbuatan, Za’ba juga ada menyatakan ayat bangun perbuatan lain iaitu bangun perbuatan menggunakan imbuhan ber-, ter- dan ke-...-an.
2.4.4.1.         Bangun Perbuatan Memakai ber-
Perbuatan memakai ber- jika melampau. Ada yang membawa maksud bangun membuat sahaja seperti berkirim dan berjual. Contohnya:
a)     Ia berjual buah.
b)    Abang berkirim surat.
Membawa maksud bangun kena buat sahaja seperti bertulis, berjahit, berkupas, bermakan, berjalankan dan berbaiki. Akan tetapi, perkataan tersebut selalunya berkawan dengan perkataan sudah, belum dan tidak. Contohnya:
a)     Baju itu sudah berjahit.
b)    Bawang itu belum berkupas.
Sesetengah pula boleh kedua-dua bangun itu mengikut masing-masing tempatnya seperti berbuat, bertanam dan bertumbuk. Contohnya:
a)     Baiklah kita bertanam padi.               (bangun membuat)
b)    Biji itu belum bertanam lagi.              (bangun kena buat)
Jika perbuatan memakai ber- yang tiada melampau seperti berlari, berdiri, bercakap, berdiri dan bersedia, tetaplah bangunnya membuat sahaja.
2.4.4.2.         Bangun Perbuatan Memakai ter-
Perbuatan memakai ter- yang melampau terbahagi dua tentang bangunnya. Jika ter- dengan makna tidak sengaja atau ada upaya, bolehlah maksudnya membuat dan boleh kena buat mengikut tentangnya. Manakala ter- yang membawa makna sudah jadi adalah tetap perbuatan itu bagi maksud kena buat sahaja. Contohnya:
a)     Saya terbaca hal itu dalam surat khabar.      (tidak sengaja – membuat)
Surat itu terbaca oleh Ali.                            (kena buat)
b)    Nasibnya sudah tertulis.
Kampungnya akan terlelong.
            Jika perbuatan ter- tidak melampau, tetaplah bangunnya membuat sahaja seperti tersenyum dan tertawa. Bagi perbuatan ter- yang tidak boleh dipakai dengan maksud tidak sengaja atau ada upaya seprti perkataan tergadai, terdedah, tersiar dan tersemu maka bangunnya tetap kena buat sahaja.
2.4.4.3.         Bangun Kena Buat Pada Terbitan  ke-...-an
Bagi kata terbitan yang terjadi dengan penambah ke-...-an ada terdapat beberapa contoh yang dipakai seakan-akan perbuatan dengan maksud bangun membuat atau kena buat mengikut pada masing-masing letaknya seperti kelihatan dan kedengaran. Contohnya:
Membuat
Kesan Buat
1.
2.

Ia tiada kelihatan akan saya.
Saya kedengaran bunyi orang memanggil.
Bayang-bayang pun tiada kelihatan oleh saya.
Suaranya kedengaran sampai ke sini memanggil.
Jadual 3.10: Contoh Ayat yang Ada Penambah ke-...-an

Terdapat setengahnya pula boleh dengan maksud kena buat sahaja seperti kecurian, keairan, kesiangan, kebebangan dan terkadang kehilangan, kejatuhan, keputusan.




2.5.     Perbandingan Ayat Aktif dan Ayat Pasif
AYAT AKTIF
Aspek Ayat
Tatabahasa Dewan
Pelita Bahasa Melayu Penggal I
Istilah
Ayat aktif.
Ayat bangun membuat.
Definisi
Ayat yang mengutamakan subjek asal sebagai judul.
Ayat yang mengutamakan pembuat iaitu pembuat jadi benda yang diceritakan.
Jenis
    i.     Ayat aktif transitif
  ii.     Ayat aktif tak transitif
    i.     Ayat melampau
  ii.     Ayat tidak melampau
Kaedah 1
Ayat aktif transitif  yang mengandungi subjek + KKT + objek.
Contoh:
Guru + memanggil + saya
Perbuatan yang tiada bertambah apa-apa di pangkalnya atau bertambah me- atau per-.
Contoh:
Kucing itu menangkap tikus.
Kaedah 2
Ayat aktif transitif yang menerima dua objek iaitu objek tepat dan sipi.
Contoh:
Pembantu membawakan saya (OT) secawan kopi (OS).
Ayat bangun membuat yang memakai dua penyambut.
Contoh:
Abangnya memberi dia duit.
Kaedah 3
Ayat aktif transitif yang mengandungi objek tepat yang menerima kata sendi nama menjadi objek sipi dan kemudiannya menjadi objek tepat.
Contoh:
Pembantu membawakan secawan kopi (OT) untuk saya (OS)
Ayat bangun membuat yang berkembar dua.
Contoh:
Orang itu hendak memukul dia.
Kaedah 4
Ayat aktif tak transitif merupakan ayat aktif yang tidak diikuti objek. Ayat ini terbahagi kepada dua iaitu:
    i.     Ayat aktif tak transitif dengan keterangan boleh digugurkan.
Contoh:
a)     Kanak-kanak sedang mandi di kolam itu.
b)    Kanak-kanak itu mandi.

  ii.     Ayat aktif tak transitif dengan keterangan tidak boleh digugurkan.
Contoh:
a)     Dia berada di Kuala Lumpur.
b)    *Dia berada.
Ayat bangun membuat yang memakai ber-
Contoh:
Ia berjual buah.

Ayat bangun membuat yang memakai ter-
Contoh:
Saya terbacakan hal itu dalam surat khabar.

AYAT PASIF
Aspek Ayat
Tatabahasa Dewan
Pelita Bahasa Melayu Penggal I
Istilah
Ayat pasif.
Ayat bangun kena buat.
Definisi
Ayat pasif yang mengutamakan subjek terbitan sebagai judul.
Ayat yang mengutamakan bendakena buat jadi benda percakapan.
Jenis
    i.     Imbuhan kata kerja pasif
  ii.     Kata ganti nama diri pertama dan kedua
 iii.     Perkataan kena
    i.     Memakai penambah di- dan kena
  ii.     Kata ganti nama diri pertama dan kedua.
Kaedah 1
Ayat yang mengandungi imbuhan kata kerja pasif di-.
Contoh:
Burung itu sudah diambil oleh Ali.
Ayat bangun kena buat yang memakai penambah di-.
Contoh:
Tikus itu ditangkap oleh kucing.
Kaedah 2
Ayat yang mengandungi binaan
oleh + FN boleh digugurkan.
Contoh:
Barang itu sudah diambil Ali semalam.
Ayat bangun kena buat yang penyambut tidak semestinya didahulukan saja, iaitu boleh juga dikemudiankan.
Contoh:
Diajarnya saya, ditangkap burung olehnya.
Kaedah 3
Binaan oleh + FN  jika jauh daripada kata kerja tidak boleh digugurkan.
Contoh:
Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali.
Binaan ayat yang mengkemudiankan pembuatnya, didahulukan bersama-sama oleh dan diikuti –nya.
Contoh:
Oleh Ali dibacanya surat itu.
Kaedah 4
ber- dan ke-...-an
Binaan oleh + FN biasanya tidak diperlukan.
Contoh:
Baju itu berjahit dengan benang sutera.
Memakai ber- boleh tiga tentang melampau:
    i.     Bangun membuat seperti berkirim, berjual.
  ii.     Bangun kena buat seperti bertulis, berjahit.
 iii.     Kedua-dua bangun seperti berbuat, bertanam.
Contoh:
Baiklah kita bertanam padi. (bangun)
Biji benih itu belum bertanam lagi. Kena)

ke-...-an boleh dua bangun: kelihatan
Contoh:
Ia tiada kelihatan akan saya. (bangun)
Bayang-bayang pun tiadakelihatan oleh saya. (kena buat)

Kena buat sahaja seperti kecurian, keairan dan kesiangan.

Kaedah 5
Kata kerja pasif ter-
Kata sendi oleh tidak boleh digugurkan.
Contoh:
    i.     Tembok itu terlanggar oleh lori pada bahagian bawahnya.
  ii.     Tembok itu terlanggar lori pada bahagian bawahnya.
perbuatan memakai ter- jika melampau terbahagi kepada dua:
    i.     ter- tiada sengaja (surat terbaca oleh saya)
  ii.     ter- ada upaya (balak itu terangkat oleh Ali)
Jika ter- tiadamelampau tetap sebagai bangun membuat sahaja seperti tertawa.
Makna sudah jadi tetaplah kena buat sahaja.
Contoh:
Nasibnya sudah tertulis.
Kaedah 6
Kata ganti nama diri pertama dan kedua diletakkan di hadapan kata kerja dasar kerana tidak boleh menerima imbuhan pasif di-
Contoh:
   i.     Kerja itu sudah saya selesaikan semalam.
  ii.     Makanan itu belum kurasai lagi.

Jika pembuat diri pertama atau kedua tidak biasa dicakapkan ayat bangun kena buat. Sebaliknya penyambut diletakkan di pangkal dan perbuatan jangan diubah.
Contoh:
Surat itu saya baca.
Kaedah 7
Kata bantu pasif kena terletak di hadapan katakerja yang tidak menerima awalan. Binaan oleh + FN boleh digugurkan secara pilihan.
Contoh:
Pencuri itu kena tangkap (oleh polis).
Memakai perbuatan kena dahulu daripada perbuatan melampau.
Contoh:
Ia kena pukul oleh ayahnya.
Jadual : Perbandingan Ayat Aktif dan Ayat Pasif
Keseluruhannya, perbezaan ayat aktif dan pasif antara buku Tatabahasa Dewan dengan Pelita Bahasa Melayu Penggal I dapat dilihat berdasarkan kaedah-kaedah yang digunakan dalam setiap ayat. Selain itu, terdapat empat kaedah yang digunakan dalam membezakan ayat aktif dan tujuh kaedah untuk ayat pasif.

3.0           KESIMPULAN
Pelita Bahasa Melayu Penggal I dan Tatabahasa Dewan kebanyakannya hanya mempunyai perbezaan daripada aspek istilah. Za’ba membahagikan golongan kata kepada lima iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi dan seruan. Tatabahasa Dewan pula mengkategorikan golongan kata kepada empat iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Perkataan tersebut pula, digolongkan berdasarkan kriteria sintaksis dan semantik kerana penggolongan sedemikian didapati lebih selaras dengan status perkataan sebagai satu bentuk bebas yang menjadi unsur dalam binaan ayat.
Selain itu, jenis-jenis ayat antara Pelita Bahasa Melayu Penggal I dan Tatabahasa Dewan mempunyai perbezaan yang meliputi istilah, definisi jenis-jenis ayat, binaan ayat dan penggunaan ayat sebagai perbandingan. Pelita Bahasa Melayu Penggal I menjelaskan bahawa setiap ikatan perkataan yang mempunyai benda dan cherita dinamakan ayat. Daripada benda dan cherita tadi kemudian dipecahkan lagi menjadi beberapa bentuk ayat yang lain. Manakala ayat dasar yang dinyatakan dalam Tatabahasa Dewan mengalami perubahan melalui proses seperti peluasan, penggantian, pengguguran dan penyusunan semula unsur-unsur yang terkandung dalam ayat sehingga membentuk pelbagai ragam ayat. Hal ini termasuklah jenis ayat penyata, tanya, perintah, seruan, majmuk, aktif, pasif dan sebagainya.
Pelita Bahasa Melayu penggal I yang dikarang oleh Za’ba, banyak mengambil acuan daripada nahu bahasa Inggeris dan Arab yang telah dipadankan dengan kesesuaian penutur natif bahasa Melayu. Latar belakang dan pendidikan yang diterima oleh Za’ba sedikit sebanyak mempengaruhi corak penulisan beliau yang bersifat tradisional. Berbeza pula dengan Tatabahasa Dewan yang ditulis oleh Nik Safiah Karim dan rakan-rakan yang lebih menjurus kepada teori tatabahasa transformasi generatif. Beliau berpendapat bahawa seorang penutur asli bahasa Melayu boleh menentukan sama ada ayat itu gramatis, iaitu boleh diterima atau tidak. Perkataan dan ayat yang menyalahi peraturan tatabahasa tidak diterima kerana tidak memberikan pengertian yang wajar. Kesimpulannya, walau apapun pegangan kedua-dua buku yang dikaji, analisis perbandingan yang dilakukan ini menunjukkan bahawa golongan kata dan jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu mempunyai pelbagai ragam dan bentuk sehingga menjadi kumpulan kata dan ayat yang memurnikan tatabahasa bahasa Melayu pada masa kini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan